Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rahman Dahlan cabar calon Warisan jawab isu royalti minyak dalam kempen
Diterbitkan:  Jan 4, 2020 4:36 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

PRK KIMANIS | Bekas menteri BN, Abdul Rahman Dahlan mencabar calon Warisan bagi pilihan raya kecil (PRK) Kimanis, Karim Bujang menjawab isu berkaitan tuntutan royalti minyak dalam kempennya.

Abdul Rahman berkata, ini kerana sehingga hari ini rakyat tertanya-tanya status terkini tuntutan tersebut.

"Bercakap pasal tuntutan royalti minyak 20 peratus oleh Warisan, rakyat sekarang tertanya-tanya apa status terkini perkembangan tuntutan ini?

"Bolehkah calon Warisan jawab sama ada tuntutan 20 peratus ini sudah dicapai atau tidak semasa kempen di Kimanis ini? Rakyat mahu tahu bah," katanya dalam satu kenyataan.

PRK Kimanis akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Karim dan calon BN Mohamad Alamin.

Sementara itu, Abdul Rahman turut mengkritik Ketua Menteri Sabah, Shafie Afdal yang menyalahkan BN apabila menyifatkan Kimanis dan negeri di bawah bayu itu secara keseluruhannya masih mundur.

Abdul Rahman mempersoalkan peranan Shafie sebelum ini, ketika menjawat jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar di bawah pemerintahan BN.

Katanya, kementerian Shafie juga turut diberi keistimewaan dan keutamaan lebih daripada kebanyakan kementerian yang lain oleh bekas perdana menteri, Najib Razak dalam mengendalikan proses kelulusan dan agihan belanjawan.

"Bagus juga kita imbas kembali sejarah. Sebenarnya Shafie pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar yang pertama berasal dari Sabah, yang dilantik secara khusus oleh Najib dengan harapan beliau (Shafie) dapat menyelesaikan masalah pembangunan luar bandar terutamanya di negeri Sabah.

"Aduan yang disebut dalam ucapan beliau itu sebenarnya boleh saja diselesaikan dalam tempoh tujuh tahun beliau menjadi menteri, itu pun kalau beliau mahu...," katanya.

Jelas Abdul Rahman, Shafie turut pernah memberi alasan dengan mengatakan peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) tidak mencukupi.

Namun kata Abdul Rahman, belanjawan pembangunan berpuluh-puluh bilion ringgit diperuntukkan selama Shafie menjadi menteri KKLW, Sabah boleh saja menjadi keutamaan nombor satu semasa beliau menerajui kementerian tersebut.

"Anehnya parti Warisan menuntut 20 peratus royalti minyak dengan harapan tambahan 15 peratus royalti dapat digunakan untuk membangunkan negeri Sabah, sedangkan semasa memegang portfolio KKLW, dengan bajet pembangunan berpuluh-puluh bilion yang sudah pun tersedia, KKLW masih tidak dapat mengutamakan penyelesaian pembangunan Sabah," katanya.

PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

Lihat Komen
ADS