Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan simpan rasa iri hati pada orang kaya, pesan Dr M
Diterbitkan:  Jan 6, 2020 10:41 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

Dalam mengejar pembangunan negara, Perdana Menteri meminta semua pihak supaya tidak berasa “iri hati” dengan orang kaya.

Dr Mahathir Mohamad berkata, hal ini kerana Malaysia mengamalkan dasar ekonomi bebas yang membenarkan sesiapa sahaja yang sanggup berusaha untuk menambah pendapatan mereka.

Lebih-lebih lagi, katanya, golongan tersebut mempunyai sumbangan tersendiri dalam bentuk cukai yang dibayar kepada kerajaan, dan ia dijadikan dana untuk mentadbir negara.

“Ada daripada kita yang berasa iri hati melihat mereka begitu kaya, terutama apabila mereka menjadi kaya hasil daripada sumbangan kita. Tapi perasaan iri hati ini perlu dipendam, jangan dibiar untuk mempengaruhi diri kita.

“Kerana yang kaya ini diperlukan supaya mereka membayar cukai yang tinggi, kadang-kadang ratusan juta dibayar kepada kerajaan, dan wang inilah yang kita guna untuk membayar gaji kita semua dan untuk membangunkan negara.

“Kalau semua penduduk negara kita ini miskin belaka, atau tak (mempunyai) keupayaan untuk membayar cukai, dari manakah kita akan dapat dana untuk mentadbir negara? Ini perkara yang kita harus fikir sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perjumpaan perdana menteri dengan warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra pagi ini.

Dalam pada itu, Mahathir turut menyeru golongan miskin untuk menyambut usaha kerajaan yang akan dilakukan bagi membantu mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

Miskin, kaya semua ada tempat

Katanya, jentera kerajaan - baik menteri mahupun pegawai kerajaan - perlu bekerjasama untuk menjelaskan kepada golongan miskin bahawa kemiskinan tidak mungkin diatasi dengan subsidi dan bantuan, tetapi dengan produktiviti.

“Kenapa mereka miskin? Sebabnya ialah kerana mereka tidak produktif, tidak menyumbang sesuatu kepada masyarakat yang mana masyarakat akan membalas dengan memberi upah dan balasan kepada mereka.

“[...] Kita akan perkenalkan cara-cara si miskin menambah pendapatan mereka. Tetapi mereka mestilah sambut cara-cara ini dan amalkannya,” katanya lagi.

Tambah Mahathir, kekurangan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan golongan miskin boleh diatasi jika mereka sanggup belajar, bukan sahaja cara membuat kerja, tetapi juga berkaitan sikap dan amalan baik dalam menunaikan tugas, iaitu untuk ikhlas, tidak menipu dan tidak terlibat dalam rasuah.

“Ada tempat bagi yang miskin, ada tempat bagi yang kaya. Tetapi yang kaya mestilah berusaha untuk menolong yang miskin (dalam bentuk tanggunjawab sosial korporat dan cukai),” tambahnya.

Mengulas tentang kerjasama dalam jentera kerajaan juga, Mahathir meminta semua pihak mengetepikan perasaan peribadi bagi memastikan segala dasar untuk membangunkan negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dapat dilaksanakan dengan jayanya.

WKB 2030 ialah rangka tindakan kerajaan untuk tempoh 2021 hingga 2030 bagi meningkatkan pendapatan semua kumpulan rakyat, yang mempunyai matlamat untuk menyediakan taraf hidup wajar kepada semua rakyat menjelang 2030.

Ia dilancarkan Mahathir sendiri pada 5 Oktober 2019 bagi menyelesaikan masalah jurang ekonomi yang luas antara rakyat dan pengagihan pendapatan dan pembangunan yang adil, akibat salah guna kuasa dan amalan rasuah di kalangan ahli politik dan penjawat awam.

“Perasaan diri sendiri tak sepenting seperti kejayaan pembangunan negara. Kemungkinan untuk kita berjaya mencapai matlamat kita adalah amat besar, tapi kita harus tahu bagaimana nak melaksanakan dasar-dasar, rancangan dan strategi kita.

“Saya harap semua pihak akan tumpukan pada negara, bukan pada diri sendiri.

“[...] Kita berada di sini, dan rakyat bersedia untuk memberi jawatan kepada kita, memberi upah kepada kita, sebabnya kita ditugaskan untuk menentukan kejayaan negara untuk rakyat. Rakyat akan berterima kasih kalau kita berusaha untuk memenuhi kehendak mereka,” katanya lagi.


Baca 'Melayu masih tak sedar, serah kerja ke bangsa asing'


Dan untuk membangunkan negara juga, Mahathir sekali lagi berpesan, agar semua pihak, baik kerajaan mahupun rakyat, berusaha untuk membebaskan daripada amalan rasuah.

Katanya, negara yang kaya sekalipun tidak akan dapat dibangunkan akibat rasuah.

Sebaliknya, menurut beliau, negara yang mempunyai rakyat yang berpegang teguh dengan semangat mahu menyumbang kepada negara tanpa mengamalkan rasuah, negara itu akan mencapai kejayaan.

Tambahnya lagi, sekiranya kerajaan dan rakyat memainkan peranan masing-masing, Malaysia akan mampu mencapai negara maju pada 2030, malah mungkin lebih awal daripada itu sekiranya semua pihak betul-betul berusaha ke arah itu. 

Lihat Komen
ADS