Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysia, Singapura komited muktamadkan perjanjian RTS

Malaysia dan Singapura komited untuk memuktamadkan perjanjian membabitkan projek Sistem Transit Rapid (RTS) menjelang April ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke memaklumkan perkembangan itu menerusi catatan terbaru di laman rasmi Facebook beliau, hari ini.

Beliau berada di republik itu bagi menemui rakan sejawatannya, Khaw Boon Wan.

“Saya mengunjungi Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan dan membincangkan perkembangan projek RTS yang menghubungkan Johor Bahru dan Woodlands. Perbincangan itu berhasil dan kami komited untuk memuktamadkan perjanjian itu menjelang April tahun ini,” katanya.

Pada 5 November lepas, Loke berkata Malaysia memerlukan tempoh lanjutan enam bulan bagi meneliti semula aspek pelaksanaan dan beberapa perjanjian berkaitan projek RTS tersebut, susulan keputusan Malaysia meneruskan usaha tersebut.

Sebelum itu pada 31 Okt, 2019, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan meneruskan laluan RTS itu dengan kos terbaharu RM3.16 bilion iaitu penjimatan sebanyak 36 peratus atau RM1.77 bilion berbanding kos asal RM4.93 bilion.

Sementara itu, Khaw menerusi catatan di Facebook beliau berkata : “Gembira dapat saling bertukar limau mandarin dengan Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke! Kami saling mengucapkan Selamat Tahun Baru dan mengharapkan kemajuan seterusnya dalam kerjasama pengangkutan dua hala. Banyak yang boleh diusahakan bersama demi rakyat masing-masing.”

Malah, kedua-dua menteri itu turut berkongsi paparan foto pertemuan mereka di media sosial tersebut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS