Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Iran akui 'tersilap' tembak pesawat Ukraine
Diterbitkan:  Jan 11, 2020 1:32 PM
Dikemaskini: 5:59 AM

GLOBAL | Iran hari ini mengakui "tersilap" menembak pesawat Ukrainian International Airlines pada 8 Januari lalu, yang mengorbankan 176 nyawa.

Menurut Reuters, Presiden Iran Hassan Rouhani berkata negara itu amat mengesali kejadian itu.

"Republik Islam Iran amat mengesali kesilapan malang ini. Doa saya mengiringi semua keluarga yang sedang berdukacita.

"Takziah paling jujur daripada saya," katanya di Twitter, seperti dipetik Reuters.

Sementara itu, Menteri Luar Iran Javad Zarif menyifatkan nahas kapal terbang itu berpunca daripada kesilapan manusia dan "adventurisme Amerika Syarikat".

Menulis di Twitter hari ini, dia berkata ia kesimpulan oleh siasatan dalaman tentera.

"Hari yang menyedihkan. Kesimpulan awal siasatan dalaman tentera: Kesilapan manusia di saat krisis yang berpunca daripada adventurisme AS yang membawa bencana," katanya di Twitter.

Dia menyatakan permohonan maaf dan takziah kepada "rakyat kami, keluarga mangsa, dan negara lain yang terkesan".

Pesawat Boeing 737 itu terhempas sebaik saja berlepas dari Lapangan Terbang Antarabang Imam Khomeini di Tehran untuk perjalanan ke Kyiv.

Semalam, Presiden Majlis Eropah (EC) Charles Michel menggesa satu siasatan teliti dibuat terhadap nahas itu. Gesaan sama dibuat Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky serta perdana menteri Kanada dan Britain, Justin Trudeau dan Boris Johnson.

Lihat Komen
ADS