Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dong Jiao Zong tak rasis, tak tolak pelajaran Jawi - Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof bersama gabungan persatuan lembaga pengelola dan guru sekolah Cina, Dong Jiao Zong telah mencapai kata sepakat mengenai langkah kerajaan memperkenalkan pelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Ini selepas suatu mesyuarat berlangsung di Putrajaya hari ini.

Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) bersetuju dengan pihak menteri bahawa pelajaran Jawi bukan bertujuan untuk 'mengIslamkan' murid bukan Islam tetapi ia warisan kebudayaan Malaysia yang perlu dihormati.

"Kami juga bersetuju bahawa tidak timbul isu Dong Jiao Zong menentang pembelajaran dan pengajaran Jawi.

"Dong Zong bukan pertubuhan yang rasis.

"Isu yang dibangkitkan adalah kaedah perlaksanaan pembelajaran yang memerlukan perbincangan secara konstruktif oleh semua pihak," kata beliau sambil membacakan lima perkara yang dipersetujui bersama dalam mesyuarat itu.

Mujahid bercakap pada sidang akhbar di Kompleks Islam Putrajaya selepas pertemuan itu.

Katanya, beliau akan membawa hasil perjumpaan hari ini pada mesyuarat kabinet akan datang.

Menangguk di air keruh

Mujahid juga berkata peserta mesyuarat hari ini turut bersetuju bahawa semua pihak perlu "meredakan ketegangan" dalam isu-isu yang menyentuh sensitivitu mana-mana pihak.

"Kami bersetuju semua pihak perlu meredakan ketegangan dalam isu yang menyinggung sensitiviti mana-mana pihak melalui pendekatan penuh berhikmah dan bijaksana.

"Suasana ini amat penting agar pihak yang menangguk di air keruh selama ini tidak akan berpeluang mengeksploitasikan keadaan untuk agenda sempit mereka," katanya.

Berdasarkan polisi semasa yang berkuat kuasa sejak awal tahun ini, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah vernakular akan menghantar borang kaji selidik kepada ibu bapa bertanyakan jika mereka menyokong pengajaran pelajaran Jawi sebagai sebahagian daripada subjek Bahasa Malaysia.

Jika sekurang-kurangnya separuh daripada ibu bapa di sekolah tersebut bersetuju, maka tiga halaman pelajaran Jawi berkenaan akan diajar di sekolah itu.

Dong Jiao Zong telah mengkritik langkah berkata ia melemahkan kuasa lembaga pengelola sekolah untuk menguruskan hal ehwal di sekolah mereka sendiri, tetapi Timbalan Menteri Pelajaran Teo Nie Ching menafikan dakwaan ini.

Sebaliknya, Teo berkata kerajaan hanya mengutamakan suara ibu bapa.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS