Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari 9: Arul Kanda janji beri maklumat penuh tapi akhirnya hanya beri 60 peratus - saksi

LANGSUNG | Perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang melibatkan dakwaan mengubah laporan audit 1MDB masuk hari kesembilan hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan anda laporan langsung prosiding.


4.20 petang: Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan memberitahu peguam kedua-dua pihak bahawa beliau akan mengadakan sesi pengurusan kes pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Zaini berkata, ia bagi membincangkan tarikh perbicaraan untuk masa akan datang.

Beliau juga memberitahu mahkamah yang tarikh perbicaraan yang ditetapkan untuk Mac dan April mungkin tidak terpakai lagi, dan perlu berbincang dengan seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Zaini kemudian menangguhkan perbicaraan hari ini.


4.10 petang: Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy beberapa kali berjanji untuk memberikan semua maklumat kepada Jabatan Audit Negara (JAN) untuk tujuan audit, tetapi membiarkan jabatan itu menunggu selama berbulan, kata Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

Dia yang telah bersara daripada jabatan itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.

"Dia (Arul Kanda) kata tiada masalah. Tetapi maklumat itu tidak pernah sampai kepada kami (JAN).

"Saya jumpa dia banyak kali, tetapi maklumat tak pernah sampai. Saya tidak tahu sejauh mana kerjasama (antara kedua-dua pihak).

"Ketika kami (JAN) bertemunya (pada 2015), dia (Arul Kanda) berjanji, ketika itu dia CEO, kami menunggu maklumat itu tetapi tidak pernah sampai," kata Saadatul Nafisah.

Arul sepatutnya memberitahu JAN dan bukan membiarkan mereka menunggu berbulan-bulan, katanya lagi.

Ketika Shafee bertanya sama ada JAN akhirnya menerima apa-apa maklumat, Saadatul Nafisah menjelaskan bahawa Arul Kanda akhirnya memberikan 60 peratus maklumat yang diperlukan JAN untuk audit 1MDB.

"Kami tak dapat 100 peratus, hanya 60 peratus. Ia ambil masa yang lama," kata Saadatul Nafisah.


4.07 petang: Pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) yang telah bersara, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad setuju dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah bahawa bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi menghalang usaha untuk mengaudit 1MDB.

Ketika pemeriksaan balas, Shafee bertanya sama ada Shahrol sentiasa menghalang usaha JAN untuk mengaudit 1MDB sebelum Arul Kanda menyertai syarikat itu pada 2015.

Shafee: Saya boleh tunjuk bagaimana lelaki ini (Shahrol) bersikap menghalang.

Saadatul: Ya.

Shafee: Dia menghalang siasatan oleh Jabatan Audit?

Saadatul: Ya pada masa itu (ketika Shahrol menjadi CEO sehingga 2013).

Shafee: Shahrol bantah agar 1MDB dan JAN berseteru?

Saadatul: Ya.

Shahrol menjadi CEO 1MDB dari 2009 hingga 2013.


4 petang: Saadatul Nafisah, bekas pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) yang mengetuai pasukan khas untuk audit 1MDB pada 2015, setuju bahawa laporan audit yang disediakan mereka pada Februari 2016 bukan laporan akhir dan masih boleh dipinda.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili bekas perdana menteri Najib Razak.

Shafee: Adakah anda sedar apa yang dikatakan laporan akhir, (ketua audit negara) Ambrin Buang dalam keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2018 (berkata) bahawa ia adalah draf laporan akhir.

Ia bukan laporan yang sudah dimuktamadkan (finalised). Ia adalah draf laporan akhir. Anda sedar atau tidak?

Saadatul: Ya.

Shafee: Jadi dia kata ia draf laporan akhir.

Saadatul: Ya, laporan itu bukan final.

Shafee: Ini bermakna (laporan audit) belum dimuktamadkan. Jadi ia boleh dipinda. Jika ia bukan laporan akhir, ia boleh dipinda.

Saadatul: Ya ia boleh dipinda.

Shafee: Asalkan anda gembira untuk memindanya, Tan Sri (Ambrin) gembira untuk pindanya. Itulah apa yang akan dibuat oleh juruaudit dan orang yang diaudit. Anda tidak menjejaskan kedudukan anda, tetapi boleh buat penyesuaian (adjust) selagi integriti tidak terjejas.

Saadatul: Ya.


3.17 petang: Pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) yang telah bersara, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad berkata bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa tidak membuat permintaan secara langsung agar perkara tertentu dalam laporan audit 1MDB dipadamkan.

Saksi pendakwaan ketujuh Saadatul Nafisah berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee bertanya tentang bahagian dalam transkrip audio mesyuarat pada 24 Februari 2016, ketika keputusan untuk memadamkan beberapa perkara kontroversi dalam laporan audit 1MDB didakwa dibuat.

"Ia dikatakan dengan cara baik. Dia (Ali) tidak akan kata secara terus untuk padamkan (bahagian tertentu dalam laporan audit)," kata Saadatul.

Selain Ali, turut hadir dalam mesyuarat itu ialah bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy, setiausaha sulit kanan Najib, Shukry Mohd Salleh, dan bekas pegawai Pejabat Peguam Negara Dzulkifli Ahmad.


3.10 petang: Bekas pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) menyifatkan permintaan oleh ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa pada 2016 agar ketua audit negara menimbang untuk memadamkan satu bahagian dalam laporan audit 1MDB, sebagai satu paksaan untuk berbuat demikian.

Saadatul Nafisah, ketika itu ketua pasukan khas untuk mengaudit 1MDB, berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee memintanya memberitahu mahkamah bagaimana Ali memaksa JAN agar membuat keputusan untuk meminda laporan audit 1MDB ketika mesyuarat pada 24 Februari 2016.

Menurut Saadatul, bukti boleh dilihat di perkara 325 transkrip mesyuarat itu, yang dibuat berdasarkan rakaman audio rahsia oleh seorang lagi pegawai JAN, Nor Salwani Muhammad.

Ali didakwa berkata kepada ketua audit negara ketika itu Ambrin Buang: "Bolehlah ni. AG (peguam negara) boleh guna budi bicara untuk drop (gugurkan).

Shafee kemudian bertanya Saadatul, bagaimana kata-kata itu boleh dianggap sebagai paksaan kerana Ali seperti mencadangkan Ambrin untuk menimbangnya.

"Ini satu paksaan. Kalau kami tak drop (perkara itu), isu itu akan dibangkitkan lagi," kata Saadatul.

Bagaimanapun Saadatul juga mengaku bahawa dia mahupun Ambrin tidak membantah Ali pada masa itu.


2.22 petang: Mahkamah mengeluarkan arahan agar Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memberikan salinan nota prosiding ketika bekas ketua audit negara Ambrin Buang memberi keterangan kepada badan itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan salinan itu.

Ketua DPP Gopal Sri Ram dan peguam Arul Kanda, N Sivananthan tidak membantah permohonan itu.

Shafee meminta nota prosiding PAC ketika Ambrin memberi keterangan kepada badan itu pada 4 Disember 2018.

Permohonan itu untuk membantu pasukannya dalam pemeriksaan balas dengan saksi pendakwaan.

Ambrin Buang



2.15 petang: Prosiding bermula dan Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy masuk ke kandang tertuduh.

Turut dilihat di mahkamah ialah ketua pasukan pembelaan mereka, iaitu Muhammad Shafee Abdullah dan N Sivananthan.


2 petang: Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan duduk di barisan depan galeri awam.


1.55 tengah hari: Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dilihat berbincang dengan peguamnya.

Turut dilihat di ialah ketua DPP Gopal Sri Ram dan para DPP lain.


Selepas prosiding dibatalkan semalam, perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB terhadap Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy bersambung pada kira-kira pukul dua petang hari ini.

Prosiding semalam dibatalkan ekoran DPP Gopal Sri Ram perlu menyelesaikan urusan mahkamah di Istana Kehakiman di Putrajaya.

Hari ini pasukan pembelaan Najib dijangka akan melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan yang telah memberi keterangan.

Antaranya bekas ketua audit negara Ambrin Buang, bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) yang telah bersara Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, dan Nor Salwani Muhammad, yang merupakan penyelaras bagi pasukan khas JAN untuk soal berkaitan 1MDB.

Pasukan pembelaan bekas CEO 1MDB Arul Kanda memilih untuk tidak lagi memeriksa balas saksi untuk tidak menjejaskan kedudukannya sebagai saksi pendakwaan terhadap Najib dalam kes ini.

Lihat Komen
ADS