mk-logo
Berita
Lepas tahan ‘Ayah Bos’, IGP ikrar banteras kongsi gelap
Diterbitkan:  Jan 21, 2020 9:00 AM
Dikemaskini: 9:00 AM

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menegaskan pihaknya akan membanteras habis-habisan budaya gangsterisme atau kongsi gelap, bagi mengelak ia hidup kembali seperti era 60-an dan 70-an.

"Kita mesti berusaha untuk patahkan apa juga cubaan hidupkan kegiatan kongsi gelap ini. 

"Segalanya akan mereka lakukan demi mendapatkan duit termasuk mengawal premis hiburan, malah sanggup melanggar undang-undang atas nama persatuan atau kesatuan, mereka menakutkan orang lain.

"Kecenderungan untuk melakukan kesalahan amat besar apabila bergabung dalam macam-macam geng, ia memang tidak baik. Itulah kebiasaan kongsi gelap lakukan," katanya, lapor Bernama.

Hamid berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada lebih 400 anggota dan pesara polis, di Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta di Ipoh hari ini.

Beliau mengulas penahanan 114 individu dipercayai ahli kongsi gelap Pertubuhan Amal Kebajikan Insan Sejagat (Pakis) termasuk ketuanya yang dikenali sebagai ‘Ayah Bos’ dalam serbuan di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur, Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed mengesahkan selain Ayah Bos yang berusia 50 tahun, turut ditahan Ayah TCB atau Taucu Bhai, Ayah Man Keramat serta beberapa individu lain dipercayai pemimpin Pakis dan Badan Amal Tarbiyah Sejagat Malaysia (Batas) di sekitar Lembah Klang.

Abdul Hamid menegaskan, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan memastikan hukuman maksimum dikenakan kepada semua tahanan, berdasarkan siasatan rapi yang dibuat termasuk rekod jenayah lampau selain latar belakang.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS