Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia ulangi sokongan pada Gambiar untuk Rohingya

Malaysia menganggap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) meluluskan langkah-langkah sementara yang dimohon oleh Gambia berhubung Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid, sebagai hala tuju yang betul untuk menangani keadaan kaum Rohingya.

Wisma Putra berkata Malaysia juga mengulangi sokongannya terhadap Gambia - yang membawa kes berkenaan kepada ICJ - selaras dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Ad Hoc Jawatankuasa Kementerian berhubung Pelanggaran Hak Asasi Manusia, yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Dalam satu kenyataannya di Putrajaya lewat malam tadi, Wisma Putra berkata sebagai anggota jawatankuasa itu dan Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1948, Malaysia turut menggesa Myanmar memenuhi obligasi di bawah konvensyen itu bagi memastikan krisis tidak berlarutan.

“Keputusan itu mencerminkan kebimbangan serius komuniti antarabangsa terhadap keperluan menangani dengan efektif penderitaan yang dialami Rohingya, di samping menampilkan akauntabiliti serta keadilan berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi manusia yang serius terhadap kaum Rohingya.

"Kira-kira 100,000 pelarian Rohingya kini berada di Malaysia, yang meninggalkan Myanmar susulan krisis yang melanda,” menurut kenyataan itu.

Agensi berita Turki, Anadolu, sebelum ini melaporkan Mahkamah Tertinggi PBB pada Khamis mengeluarkan satu perintah dalam kes yang membabitkan pertuduhan bahawa Myanmar telah melakukan genosid terhadap minoriti Islam Rohingya di negara itu.

Ketika mengeluarkan perintah itu dalam kes yang difailkan Gambia bulan lepas, Presiden ICJ, Abdulqawi Ahmed Yusuf, memberi tempoh empat bulan kepada Naypyitaw untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan memastikan etnik Rohingya di negara itu tidak diapa-apakan.

Wisma Putra berkata Malaysia akan melihat dengan penuh minat prosiding ICJ berikutnya berhubung permohonan Gambia berhubung lima perkara.

“Ia terdiri daripada pengisytiharan Myanmar sebagai melanggar obligasi di bawah Konvensyen Genosid untuk menghentikan segera apa-apa perbuatan salah yang sedang berlaku dan menghormati sepenuhnya obligasinya di bawah Konvensyen Genosid.

"Juga bagi memastikan orang yang melakukan genosid dihukum oleh tribunal yang kompeten; untuk melaksanakan kewajiban membayar ganti rugi demi kepentingan mangsa perbuatan genosid yang merupakan dari kaum Rohingya; dan memberikan jaminan bahawa pelanggaran Konvensyen Genosid tidak akan berulang,” menurut kenyataan itu.


- Bernama

Lihat Komen
ADS