Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pesakit Covid-19 di acara dihadiri bekas menteri, timb menteri
Diterbitkan:  Mar 2, 2020 12:18 AM
Dikemaskini: Mar 2, 2020 1:13 AM

Seorang pesakit Covid-19 dipercayai berada dalam keadaan kontak rapat (close contact) dengan seorang bekas menteri dan bekas timbalan menteri.

Malaysiakini difahamkan bahawa pesakit itu, yang merupakan pegawai kanan pengurusan Khazanah dan ketua sebuah syarikat berkaitan kerajaan, telah menghadiri satu acara kementerian yang dihadiri bekas menteri dan bekas timbalan menteri itu.

Ia merupakan satu majlis penghargaan untuk kedua-duanya yang meninggalkan kementerian tersebut, susulan pembubaran kerajaan PH.

Acara itu diadakan pada 27 Februari lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Terdahulu hari ini, Khazanah Nasional Berhad mengesahkan salah seorang kakitangannya telah dijangkiti wabak Covid-19.

Hari ini Kementerian Kesihatan mengumumkan empat kes positif Vocid-19 yang baru, menjadikan jumlah keseluruhan kes itu kepada 29.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa kakitangan itu ialah Kes 26, iaitu salah satu daripada empat kes baru tersebut.

Menurut Kementerian Kesihatan, pesakit Kes 26 telah ke Shanghai pada pertengahan Januari lalu.

Dia kemudian mengidap demam dan sakit tekak pada 27 Februari - hari sama acara itu diadakan - dan disahkan positif Covid-19 dua hari kemudian.

Dia kemudian dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh.

Berdasarkan bukti bergambar acara pada 27 Februari itu, pesakit Kes 26 dilihat berdiri beberapa kaki daripada bekas menteri dan bekas menteri itu.

Malaysiakini telah menghubungi kedua-duanya. Seorang enggan mengulas perkara itu, manakala seorang lagi belum memberi maklum balas.

Malaysiakini difahamkan yang sekurang-kurangnya seorang daripada mereka kini mengasingkan dirinya (self-quarantine) dan akan membuat pemeriksaan dalam masa terdekat.

Seorang telah menyertai kerajaan Perikatan Nasional manakala seorang lagi kekal bersama PH.

Mereka telah berhubung dengan kalangan anggota parlimen dalam siri pertemuan politik, di tengah-tengah kebuntuan berikutan tumbangnya kerajaan PH pada Isnin lalu.

Perlu dinyatakan bahawa setakat malam ini, belum ada bukti bahawa dua individu itu telah dijangkiti Covid-19.

Tambahan pula, Covid-19 mempunyai tempoh pengeraman (incubation period, iaitu tempoh antara pendedahan dengan virus dengan kemunculan simptom pertama) antara dua hingga 14 hari.

Maka hampir mustahil untuk kalangan yang ditemui bekas menteri dan bekas timbalan menteri itu untuk dijangkiti dalam tempoh masa yang begitu singkat, walaupun jika mereka berdua positif Covid -19.

Lihat Komen
ADS