KOLUM

Rakyat bukan kristal

Faisal Tehrani

Diterbitkan
Dikemaskini 10 Mac 2020, 4:23 pagi
0

Kita rakyat, kita bukan kristal. Tetapi itulah yang terjadi. Kristal tidak sekadar pecah apabila ia jatuh. Ia malah berkecai. Seperti itulah rakyat kalian lakukan. Akan tetapi politikus mahu rakyat percaya, mereka adalah daddy (mungkin juga Tuhan) dan konon mereka tahu semua yang terbaik untuk rakyat. Maka sesetengahnya pun berkumpul di Sheraton. Kucar-kacir pun terjadi. Kerajaan pilihan rakyat dalam tahun 2018 pun jatuh.

Slogan politikus selalu, “Selamatkan Malaysia”. Kita rakyat, tidak tahu kita hendak diselamatkan dari apa.

Ada yang mengatakan kita perlu diselamatkan dari pemimpin yang tidak bermoral. Soalnya di kedua-dua belah pihak ada sahaja pemimpin yang terlihat tidak bermoral. Kedua-dua kem misalnya dituding ada video, kedua-dua kem ada terdakwa, kedua-dua kem seperti kerbau, ada lumpur. Kita rakyat jadi saksi. Kerbau-kerbau ini saling bertandukan sesama sendiri.

Dalam kumpulan yang disokong lebai, ada bapak lebai. Kita ingin percaya bila dia melabun ayat suci. Tetapi, masya-Allah rekod kehadiran ke Dewan Rakyat beliau ‘macam’ penuh, pendek kata macam ‘cemerlang’. Susah untuk kita percaya ayat suci yang keluar daripada mulut kaki tuang. Dalam kumpulan itu juga ada laksawan (duit juta-juta macam bilion kita panggil laksa). Rakyat tahu pun setelah didedahkan dalam kes mahkamah yang sedang berlangsung. Kita rakyat diminta terkenan adanya aset sebanyak RM782,748,061 dalam tabungan. Kita terkenangkan, kasihan pekerja Utusan, ada Melayu kaya tapi tak dapat menolong mereka. Rakyat memang sentiasa piatu tiada penjaga.

Dalam kumpulan itu juga ada sekelompok bukan Islam yang nampaknya terselit dan terpinga-pinga tidak ketahuan mengapa mereka berada di situ. Macam ada secokol orang Segamat (mungkin dia patut masuk parti kasihan MIC). Kemudian dalam kumpulan itu juga ada kem Sarawak, mungkin kerana mereka negeri di bawah bayu, maka kalau bayu tiup ke Wuhan mereka pun ikutlah ke Wuhan; kalau bayu lambung ke Gua Niah, mereka terhempas di dalam gua; kalau bayu bertiup ke pelimbahan, mereka pun terbang melangsuir juga ke belakang jamban.

Pun, kita masih belum tahu mereka, politikus ini mahu selamatkan kita rakyat dari apa. Jika mahu selamatkan dari pencuri, nampak gaya yang ada beberapa ketul dalam kumpulan itu sukar untuk kita percaya.

Dalam kumpulan yang satu lagi, kita lihat ada rasa curiga dan tidak percaya yang sangat tebal dan dalam antara mereka. Malah mereka saling menyalahkan. Mereka saling tuding-menuding. Kita rakyat memang terdiam melihat mereka saling lempar melempar tahi. Shahnon Ahmad mengatakan Shit. Untuk melindungi kenajisan itu mereka juga kadangkala guna frasa yang membingungkan kita macam fiqh tabayyun. Kita rakyat melihat mereka malaun. Ada sesetengah tersalah dengar pemimpin ini mengamalkan fikah mangkuk hayun.

Cina itu pun orang Malaysia juga

Mereka saling prasangka. Ada Melayu melolong bilang kumpulan ini dikuasai kumpulan Cina sombong. Melayu melolong ini ‘dibakar’oleh cukong pencuri duit.

Jadi konon, maka perlu diselamatkan Malaysia. Padahal Cina itu pun orang Malaysia juga. Saya berpendapat sombong perihal perangai, dan boleh berubah jika diberi ‘penampar keras’ dua tiga kali. Tapi untuk menyelamatkan Malaysia dari orang sombong, dan menyerahkan Malaysia kepada cucu-cicit lanun dan badut berketayap, itu lebih mudarat. Belum apa-apa, habis nanti saku kita diseluk.

Maka pilihan untuk rakyat oleh mereka yang dikatakan tahu, tidak banyak.

Kita rakyat juga dirayu agar merestui kumpulan yang naik ini sebagai kumpulan yang diundi rakyat terbanyak. Padahal ia adalah gabungan orang kalah. Dan dalam gabungan kalah yang berpakat itu ada pula orang sekumpulan terdesak berebut entah apa. Lebai-lebai yang paling sedikit dalam gabungan terbaru ini, sudah terangkat menjadi lebih terpercaya tiba-tiba. Padahal kerja mereka hanya tahu melolong macam polong, bila dicukong toyol kaya, ketayap mereka tegak mencanak. Dan kemudian tiba-tiba Melayu pun bersorak sorai mengatakan tak apa mencuri, kalau mencuri hak Cina. Apatah lagi kalau Cina itu angkuh. Kita tak tahu mereka belajar dari nabi mana. Semua itu ditokok oleh sekumpulan pemimpin dari Sarawak, yang akan terbang melayang ditiup bayu ke mana-mana yang boleh. 2020, Tahun Melawat Malaysia memang meriah. Ada macam-macam acara.

Shad Saleem Faruqi 

Siapa yang membuat pilihan politikus-politikus ini naik dan berkuasa, sejak dari dulu? Adakah rakyat benar-benar diberi pilihan membuat pilihan? Kata Profesor Shad Saleem Faruqi dalam forum “Checkmate! Death of Democracy in Malaysia” minggu lalu, kerajaan pintu belakang mungkin sah, tetapi tidak bermoral. Sah tetapi tidak bermoral ini banyak contoh kita boleh bawa. Macam sah dan diperbolehkan untuk kencing, tetapi jangan kencing di khalayak ramai. Jadi Profesor Shad mengatakan, untuk mengelak sah tapi tidak bermoral itu, ada negara mensyaratkan pemimpin yang ingin merubah parti atau kem haruslah meletakkan jawatan dan bertanding semula, dan ada undang-undang di negara tertentu malah melarang untuk bertanding untuk satu tempoh dan perlu membuktikan tidak menerima rasuah. Profesor Shad sepatutnya bersuara pada 29 Februari, beliau terlambat enam hari.

Kerajaan pintu belakang ini tidak bermoral, macam kencing depan orang dan menayang kemaluan. Tetapi lebai tersipu-sipu percaya ia bermoral. Kita tidak tahu apa sebab lebai yang bergelumang dengan pahala tahajud boleh memilih untuk memalit diri dengan dosa kencing. Padahal kencing ini padahnya bahaya. Kencing tak tus dibawa sembahyang nanti diseksa kubur. Tapi lebai sanggup. Ini bukan kencing tak tus lagi. Ini kencing menabur. Sebab, untuk ‘Selamatkan Malaysia’. Akan tetapi kita masih belum diberitahu untuk selamatkan Malaysia dari apa.

Kita paling hairan lebai suka duduk berkumpul makan-makan dengan lanun. Lebai patutnya suka menadah kitab dan bercerita hal akhirat. Kita hairan mengapa lebai hari ini dah tak macam Tuan Guru Nik Abdul Aziz atau Ustaz Fadzil Noor. Tapi ini lebai cinta amat dengan polong dan toyol. Lebai suka membela ini kita tidak tahu nak bahasakan apa.

Majoriti lindungi minoriti

Sebaik gabungan baru ini naik, maka melesat kata ‘babi’ menjadi trending di Twitter. Kata babi itu diganding dengan kata Cina. Sungguh menakutkan. Padahal demokrasi tujuannya adalah agar majoriti dapat melindungi minoriti. Kemudian ada banyak kumpulan di media sosial yang berani mengancam kumpulan minoriti. Mereka meneriak kata-kata, “Siaplah kau LGBT”. Atau “Bunuh Syiah beramai-ramai”. Demikian berani. Ada YB perempuan parti DAP yang diganggu secara seksual di ruang siber. Siap ramai-ramai mentertawa. Dan konon ini semua untuk ‘Selamatkan Malaysia’. Semua yang ekstrem-ekstrem atas nama kaum, agama dan gender ini menjadi berani seolah-olah sangkar sudah terbuka, dan syaitan semua boleh berkeliaran.

Sebab apa dibiarkan jadi begini? Sebab rakyat perhiasan kaca. Rakyat adalah kristal.

Saya tak mahu katakan kita rakyat macam ayam KFC. Selepas digigit dibaham sekali dua, tinggal sisa disampah begitu sahaja. Saya penyair, jadi saya gunakan kias yang molek. Begini, kita rakyat dijadikan perhiasan kaca, macam kristal. Pemimpin percaya mereka lebih pandai dari rakyat. Maka rakyat diletakkan sebagai bodoh. Ikut cucuk hidung sahaja. Baik yang asal kayangan mahupun pengkhianat jemuran. Seperti kristal kami, rakyat kalian perlakukan.

Kita rakyat, kita bukan kristal. Tetapi itulah yang terjadi. Kristal tidak sekadar pecah apabila ia jatuh. Ia malah berkecai. Seperti itulah rakyat kalian lakukan.

Tapi pemimpin dari utara sehingga ke habis-habis hujung selatan itu terlupakan. Ada kandungan Tajus Salatin. Kitab karangan Bukhari al-Jauhari (semat dalam benak, dia dari Johor) pada tahun 1630. Lama sebelum Inggeris kenal demokrasi. Sistem demokrasi ini ada hati. Dan hatinya bukan kristal. Inti pati kandungan kitab al-Jauhari mengingatkan: “Rakyat dan bangsawan akan tetap bertemu Tuhan”. Dialah, Tuhan itu raja, sebenar-benar kerajaan. Manakala kita rakyat lah hati kepada demokrasi; bukan kristal dibuat permainan.

Bila hatinya iaitu rakyat disakiti, maka demokrasi sudah jadi taruhan. Namun slogan politikus tidak berubah, selalu, ‘Selamatkan Malaysia’.

Kita rakyat, sampai sekarang tidak tahu kita hendak diselamatkan dari apa.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.