KOLUM

Dari mufti kepada menteri

Wan Ji Wan Hussin

Diterbitkan
Dikemaskini 10 Mac 2020, 1:33 tengahari
0

Dunia politik dan dunia mufti adalah dua dunia yang berbeza. Dunia politik dipenuhi dengan perbalahan. Dunia politik dipenuhi dengan perebutan kuasa.

Dalam dunia politik, fatwa dianaktirikan. Fatwa diterima ketika menguntungkan.

Dalam politik, fatwa bukan diikut, tetapi mengikut. Fatwa yang dipuji, jika berpihak kepada kelompok parti politik tertentu. Sudah pasti dikeji di pihak parti politik yang tidak sebulu.

Kuasa politik, jika berada di tangan orang yang amanah, ia memang baik. Namun, politik tidak cukup sekadar amanah, tetapi perlu kepada kelicikan.

Orang yang tidak licik dalam politik, baik macam mana pun, dibimbangi gugur di tengah jalan. Makanya, orang yang licik dalam politik, jahat pun akan kekal berkuasa.

Lihat sahaja watak BJ Habibie semasa menjawat jawatan presiden Indonesia. Habibie dikenali dengan watak berilmu, genius, beragama dan pencinta. Walaupun terkenal dengan empat ciri ini, beliau "gugur syahid" dalam dunia politik. Dalam kadar masa yang cukup sekejap, beliau dilengserkan dari jawatan tertinggi negara.

Mufti wilayah

Secara peribadi, saya amat kagumi peribadi Dr Zulkifli Mohamad. Beberapa kali berjumpa, berforum dan berbual dengan beliau, secara peribadi saya akui beliau orang yang cukup berakhlak dan berilmu. Ditambah lagi dengan kesederhanaan dan amat merendah diri. Tidak malu bertanya pandangan, walaupun dari orang bawahan.

Dalam jawatan mufti, boleh dikatakan beliau antara mufti di Malaysia yang paling rajin. Bukan sekadar rajin menjawab soalan-soalan berkaitan Islam, malah konsisten turun padang untuk menyampaikan mesej dakwah.

Di samping kuliah agama di masjid dan surau yang beliau tidak pernah tinggalkan, kita boleh lihat sikap beliau terhadap golongan lesbian, biseksual, gay dan transgender (LGBT). Beliau bukan menghukum, tetapi menyantui mereka agar tidak jauh daripada agama. Beliau umpama doktor yang mahu merawat pesakit.

Dialog mufti dengan kumpulan mak nyah pada 2017

Rakan-rakan saya yang bukan Muslim, tidak kurang dari kalangan mereka menghormati dan memuji Dr Zulkifli.

Kadangkala saya berfikir, tidak tahu apa keburukan yang ada pada bekas mufti wilayah itu sehingga layak dikeji. Atas asas itu, pernah saya berkata kepada rakan-rakan:

"Sesiapa yang mengatakan Dr Zul Bakri orang jahat, bermakna orang yang berkata itu memang jahat.”

Bin Bayyah

Saya pernah menulis dalam dua status Facebook saya bahawa di dunia Islam, kita ada ulama yang mengangkat keamanan bernama Syaikh Abdullah bin Bayyah. Sebenarnya, kita sudah ada Bin Bayyah Malaysia, iaitu Dr Zulkifli Al-Bakri.

Saya sedar, ada yang tidak senang dengan status Facebook saya itu. Ada dari kalangan rakan-rakan mengejek. Tidak kurang juga, mempertikaikan perbandingan yang saya berikan itu.

Itu hak mereka. Secara peribadi, saya hormati dan kagumi beliau.

Dari sudut keilmuan agama, itu sudah pasti ramai akuinya. Tidak bermakna saya perlu bersetuju dengan semua pandangan beliau, tetapi secara dasarnya saya hormati keilmuan yang ada pada beliau.

Pepatah Arab ada menyatakan: "Orang yang ada kelebihan tidak akan diketahui, kecuali diperakui oleh orang lain yang ada kelebihan juga.”

Dengan makna, tanpa perakuan dari orang yang hebat, seseorang itu tidak layak dikatakan hebat.

Syaikh Abdullah bin Bayyah

Imam Syafie itu adalah orang hebat. Beliau itu hebat kerana Imam Malik yang hebat telah memperakui bahawa Imam Syafie sebagai hebat.

Dari sudut ilmu, Syaikh Wahbah Al-Zuhaily daripada Syria pernah menyebut dalam satu syarahan beliau di Masjid Shah Alam suatu ketika dahulu bahawa Dr Zulkifli Al-Bakri adalah orang berilmu dan wakil beliau di Malaysia.

Syaikh Wahbah Al-Zuhaily itu adalah orang hebat, sehingga menjadi rujukan agama di seluruh dunia. Sudah pasti, kealiman ilmu Islam yang ada pada Dr Zulkifli Al-Bakri itu diperakui dengan sebab pengiktirafan dari Syaikh Wahbah Al-Zuhaily.

Menteri agama

Kadangkala saya terfikir betapa bahayanya jawatan menteri agama. Lihat sahaja serangan terhadap Dr Mujahid Yusuf semasa beliau menjawat jawatan tersebut.

Polisi agama yang dibuat oleh Dr Mujahid, jika dilihat secara rasional, pasti kita terpaksa akui bahawa ia baik, walaupun tidaklah sampai seratus peratus.

Tetapi, propaganda politik amat tajam menyebabkan, Dr Mujahid menjadi sasaran serangan secara persepsi sehingga ramai Melayu yang amat membenci beliau.

Dr Mujahid dibenci kerana propaganda politik yang mengangkat sentimen kebencian, bukan kerja buat beliau. Kalau menilai secara rasional, kerja buat Dr Mujahid itu sudah baik untuk orang Melayu.

Dr Zulkifli dan lima lagi senator yang mengangkat sumpah hari ini

Namun, apa boleh buat - itulah politik. Politik tidak pernah berdiri atas kebenaran. Politik penuh kesadisan. Orang yang baik, bakal dilihat jahat. Orang jahat, boleh sahaja dilihat baik.

Dengan sebab itu, saya secara peribadi bimbang kesediaan Dr Zulkifli menjadi menteri agama. Kebimbangan itu kerana melihat, menjawat jawatan tersebut membuka ruang untuk beliau diserang secara sadis, tanpa rasional dan tanpa kebenaran.

Pelbagai perkara yang saya fikir apabila nama Dr Zulkifli naik sebagai menteri agama. Antara yang saya terfikir adalah sejarah kehidupan Syaikh Bin Bayyah.

Semasa muda, Bin Bayyah juga seorang ulama yang terlibat dalam politik. Keterlibatan itu sehingga beliau menjawat jawatan wakil presiden Mauritania.

Namun, Bin Bayyah kini telah meninggalkan dunia politik. Beliau seakan-akan frust dengan ketajaman politik.

Beliau kini fokus dalam dunia keilmuan dan jelajah dunia untuk adakan wacana dalam usaha mengangkat keamanan di dunia.

Semoga Allah merahmati Syaikh Bin Bayyah dan Dr Zulkifli.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.