SURAT

Kisah pendapat tidak popular di kedai kopi

Ben Zack

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Mac 2020, 11:02 tengahari

Di sudut sebuah kedai kopi, duduk beberapa orang lelaki sedang rancak berbual tentang hal ehwal politik semasa. Ini terutama selepas kerajaan Perikatan Nasional mengumumkan senarai kabinetnya baru-baru ini.

Salah seorang daripada mereka berkata: "Bagus kerajaan PN ni, tak ada DAP. Ada PAS lagi bagus."

Semua lelaki yang duduk di meja itu mengangguk setuju. Cuma seorang sahaja tidak, sebaliknya hanya senyum sinis.

Yang senyum sinis itu bersuara: "Aku tak tahulah. Aku tengok dah berpuluh tahun dok cakap semua salah DAP, DAP mengancam umat Islam dan kepentingan Melayu semua, tapi aku tak rasa itu yang terjadi masa DAP pegang kerajaan."

Pendapat itu ternyata tidak popular. Ada yang menjeling pelik kepada kawan mereka seorang ini. Seolah-olah dia melakukan jenayah yang teramat besar.

"Okay, kau bagi tahu aku apa yang DAP dah buat untuk orang Melayu," tanya seorang daripada kumpulan tersebut kepada kawan mereka itu.

"Aku taklah ingat secara spesifik, tapi ada juga terdengar kata MOF (Kementerian Kewangan) ada bagi peruntukan untuk sekolah agama, bagi sasterawan negara elaun. Pemimpin DAP ada pertahan Jawi," jawabnya.

"Pertahan Jawi? Kau jangan merepeklah. Terang-terang depa tak sokong. Apa bukti?"

Lalu 'di-Google' beberapa laporan berita tentang pendirian DAP terhadap Jawi. Beberapa laporan akhbar media arus perdana menyiarkan komen-komen pemimpin DAP yang menyokong tulisan warisan berkenaan.

Wakil majoriti: Ah, aku tak percayalah. Yang kau ni kenapa? Sokong DAP pula ke?

Si minoriti: Taklah, aku cuma nak bagi kau orang perspektif berbeza sikit. Asyik hentam DAP saja, boring juga. Takkan semua salah DAP?

Perdebatan ini berlanjutan. Umpama perlawanan gusti handicap, lima lawan satu.

Wakil majoriti: Apa-apa pun, aku sokong kabinet baru ni. Nampak berfungsi, tak macam sebelum ni.

Si minoriti: Aku tak boleh komen apa-apa lagi sebab depa baru lagi. Tapi yang boleh aku cakap, kabinet sebelum ni pun ada ramai menteri-menteri berwibawa.

Ada Dr Dzulkefly Ahmad yang urus isu Covid-19, Yeo Bee Yin cemerlang isu pencemaran, Hannah Yeoh angkat isu wanita, Anthony Loke 'setel' masalah pengangkutan, Gobind Singh berusaha perluas capaian 5G. Tak adil kalau kau cakap kabinet sebelum ini tak berfungsi.

Pelbagai isu seterusnya didebatkan termasuk perihal Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, kehadiran PAS dalam kerajaan baru, kebebasan bersuara dan Akta Hasutan dan sebagainya. Seperti sebelum ini, kawan mereka yang minoriti ini tetap membawa persepsi berbeza, melawan arus dan mencetuskan amarah kepada majoriti kumpulan ini.

Seolah-olah mamat yang minoriti ini sengaja mahu membuat provokasi. Padahal, pendapat-pendapat yang dinyatakannya itu adalah jujur dan datang ikhlas daripada hatinya.

Namun begitu, titik persetujuan mereka akhirnya tercapai. Kesemua mereka sepakat bahawa perkara yang paling penting di sebalik perbezaan pendapat itu adalah, setiap seorang daripada rakyat negara ini perlu menolak sama sekali perkauman. Hujah mereka, negara ini dibina bersama oleh semua etnik dan latar belakang.

Keharmonian negara ini perlu dijaga secara bersama kerana negara ini tiada galang gantinya. Oleh itu ia perlu dipertahankan tanpa mengira siapa sahaja yang mentadbir negara ini.

Selepas persetujuan itu, mereka berlalu dan masing-masing pulang ke rumah.

Malam itu, si minoriti ini mendapat mesej-mesej di aplikasi Whatsapp dari beberapa rakannya di kedai kopi tadi. Rata-rata daripada mereka rupa-rupanya bersetuju dengan kebanyakan hujahnya, namun tidak berani bersuara.

Mereka lebih rela senyap dan membiarkan rakan-rakan mereka lain mengawal naratif perbualan tersebut. Barulah si minoriti itu sedar rakan-rakannya itu merupakan majoriti senyap atau silent majority.

Meskipun cerita di atas adalah rekaan tetapi, kumpulan majoriti senyap ini sememangnya ada dalam kalangan masyarakat kita. Kumpulan ini tidak menyatakan pendapat mereka secara terbuka, berbeza dengan segelintir yang lain.

Jadi, adakah anda sebahagian daripada kumpulan majoriti senyap itu? Tanyalah kepada diri sendiri.


BEN ZACK ialah seorang pemerhati politik negara. Berbekalkan pengalaman hampir sedekad sebagai pengamal media arus perdana, beliau kini aktif menulis di portal-portal berita untuk menyampaikan pendapatnya

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.