Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RUU355: Mana lebih utama kita dahulukan, kata menteri agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad berkata pihaknya akan meneliti keutamaan terlebih dahulu berkenaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau RUU355.

“Soalan yang baik. Awal sekali dah tanya soalan tu. Saya tak masuk lagi pejabat. 

"(Tapi) Insya-Allah kita tengok yang mana lebih aula (utama) kita didahulukan dulu. Insya-Allah,” katanya dalam sidang media selepas Tausiyah Am agensi agama, di Putrajaya, hari ini.

Zulkifli berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan pelaksanaan RUU355 khususnya di Kelantan dan Terengganu.

RUU355 adalah usul persendirian yang pernah dibawa Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355) bagi meningkatkan hukuman mahkamah syariah.

Melalui pindaan itu, mahkamah syariah boleh mengenakan hukuman lebih tinggi berbanding penjara sehingga tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam kali pada masa ini.

Pindaan itu mencadangkan seorang pesalah boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan sebatan sehingga 100 kali.

Beberapa pihak menganggap langkah tersebut akan membuka pintu kepada pelaksanaan hukum hudud yang dahulu diperjuangkan PAS namun tidak lagi dibangkitkan parti itu ketika ini.

Satu daripada pihak yang menolak cadangan pindaan itu ialah MCA, yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional yang disertai PAS.

Meskipun usul tersebut pernah dibentangkan di Dewan Rakyat namun perbahasan mengenainya ditangguhkan sehingga kini.

Serah isu LGBT pada jabatan berkaitan 

Sementara itu, mengulas sama ada pihaknya akan memberi fokus kepada isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Zulkifli berkata beliau menyerahkan perkara itu untuk dijawab jabatan berkaitan berdasarkan garis panduan ditetapkan.

“Saya sebenarnya nak dan kalau boleh setiap jabatan yang ada kena mengena dengan Yapiem, saya kena serah kepada Yapiem (untuk jawab).

"Yang ada kena mengena dengan Tabung Haji saya akan serahkan kepada Tabung Haji. Tetapi, maklumat itu perlu (sampai) kepada saya dahulu supaya selaras.

“Saya tak nak jawab, jawab dan terus jawab. No way,” tegasnya.

Menurut Zulkifli, ini kerana beliau tidak mahu memberikan maklum balas yang tidak tepat.

“Bab Jakim, Jakim ada. Timbalan (menteri) kita pun ada, tetapi kita nak jawab dengan jawapan yang profesional, tepat, padu dan yang kena pada sasarannya.

“Jadi, tak payah tanya dua, tiga kali macam hibah (Tabung Haji) berapa peratus. Saya pun tak dapat maklumat lagi. Jadi tak kenalah macam itu,” jelasnya.

Datang awal ke tempat kerja

Selain itu, Zulkifli dalam amanat sulungnya sebagai menteri agama menyeru pegawai dan kakitangannya mengubah gaya kerja dengan menetapi masa.

Memetik kata- kata Imam Syafie, beliau berkata, masa ibarat mata pedang.

"Kalau kamu tidak pancung, masa akan pancung kamu. Kalau lambat, pasti ketinggalan.

"Cukuplah stigma orang agama lemah, agensi agama lemah, tidak pandai urus tadbir. Itu bukan cara kita sekarang ini. Datang awal, punch card awal dan siap (kerja) awal," katanya.

Zulkifli turut menggesa jabatan dan agensi di bawahnya menepati masa.

"Sengaja saya tidak percepatkan dan melambatkan masa, seboleh-bolehnya saya ikut tepat masa.

"Janji pukul berapa, sebolehnya tunaikanlah melainkan takdir Allah SWT," katanya yang menegaskan kemajuan dunia pada masa kini bersandarkan kepada kepantasan.

"Tanpa kepantasan, satu kelemahan berlaku. Buat tak ada hasil, malang kita sebagai Islam hendakkan keberkatan," katanya.

Dalam ucapan sulungnya itu, Zulkifli turut melahirkan hasrat memberi penghargaan kepada pegawai dan kakitangan yang cemerlang setiap bulan.

"Setiap bulan jika dipanjangkan umur saya akan diberi hadiah kepada pekerja melebihi sasaran tinggi," katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalannya, Marzuk Shaary.

Lihat Komen
ADS