KOLUM

Melayu dah selamat

Abdullahjones

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Mac 2020, 2:43 pagi
0

Mohon dimaafkan akan budak-budak Tabligh yang menjerit mengenai teori konspirasi, Iluminati dan Freemason tu.

Dia macam kamu semua juga, asal nampak benda jahat saja, semuanya 'mesti' angkara Freemason dan Iluminati. Asal kamu miskin saja, semua kerana salah DAP sebab serah semua hasil negara kepada orang Cina semasa mereka jadi kerajaan sekejap tempoh hari.

Apabila kamu jadi malas bersembahyang pula, tentu kerana PAS belum memerintah negara ini.

Juga macam kamu yang percaya bahawa semua masalah orang Islam akan selesai apabila kamu lantik PAS jadi kerajaan.

OK, OK, dua perenggan diatas tu kami cuma bergurau. PAS pun sekarang dah jadi kerajaan, alhamdulillah. Semoga keadaan kita semua akan bertambah baik.

Semoga kita tidak lagi bergaduh macam yang lepas-lepas. Kita semua sudah letih duduk dalam kebodohan politik.

Hari ini tidak ada lagi kedengaran betapa kita - orang Melayu - semua dianiaya oleh bangsa lain. Hari ini kita sudah dapat apa yang kita semua mahu, iaitu kerajaan yang hampir semuanya adalah dari bangsa yang kita rasa memiliki negara ini.

Hari ini kamu semua sudah berpuas hati.

Seringgit kurang sikit

Negara Melayu sudah pulang ke tangan Melayu. Sireh sudah pulang ke gagang. Impian kamu kini sudah menjadi nyata. Bersyukurlah atas nikmat ini.

Semoga semua mereka yang diberi amanah itu jujur dalam melaksanakan tugas-tugas mereka.

Pepatah Inggeris ada mengatakan bahawa, berhati-hatilah dalam meminta kerana bimbang permohonan kamu itu akan ditunaikan.

Memgenai budak Tabligh yang disebut mula-mula tadi, kumpulan-kumpulan manusia yang percaya kepada semua jenis konspirasi yang kononnya ditunjangi oleh Freemason dan Iluminati ini adalah satu kumpulan manusia terpilih.

Mereka manusia istimewa dan kami memanggil mereka sebagai manusia dari kumpulan seringgit kurang tiga-puluh-lima-sen.

Pecahan kecil daripada kumpulan itu pula membentuk satu lagi kumpulan yang sangat meyakini akan keberkesanan air jampi. Air yang dikatakan boleh mengubati segala kesakitan yang datang dari alam ghaib dan juga alam nyata.

Daripada sengsara dikuasai saka, hinggalah mudaratnya kanser. Daripada derita sihir, kepada sembelit buasir.

Selepas daripada itu kumpulan berkenaan pula biasanya dianggotai oleh mereka yang percaya bahawa Bumi ini adalah datar dan sudah semestinya mereka juga terdiri daripada kumpulan yang tidak memberikan vaksin kepada anak-anak mereka.

Siapa kepala anjing

Seperti yang dikatakan tadi, mereka adalah kumpulan istimewa dan cuma ada dua ubat yang sesuai untuk diberikan kepada kumpulan tersebut.

Satu ialah, menjadi cerdik; dan satu lagi ialah, menjadi mayat.

Biasanya kumpulan seringgit kurang tiga-puluh-lima-sen itu lebih rela mati daripada menjadi cerdik kerana mereka mahu membawa kepercayaan berkenaan mengadap tuhan.

Pada mereka, sakit mati adalah keindahan jika dibandingkan dengan otak yang lebih berwibawa.

Bukan semua budak Tabligh begitu. Jenis percaya melulu dan kerana percaya bahawa dia sedang membantu agama maka dia akan dilindungi tanpa perlu berpada-pada dan mengikuti saranan pihak yang berpengetahuan tentang wabak yang sedang melanda dunia sekarang ini.

Biasanya yang bodoh-bodoh alang begitu adalah kumpulan remaja. Budak-budak yang baru sehari dua dalam Tabligh. Mereka - memiinjam kata-kata budak Tabligh sendiri, sedang josh, tengah semangat. Tengah asyik.

Jenis yang balik dari keluar tiga hari dah jadi mufti. Keluar fatwa itu ini. Juga yang menyalahkan sesiapa saja yang mereka lihat sebagai anti kumpulan mereka.

Kaca mata mereka lain daripada yang dipakai oleh orang banyak. Lensa yang diguna membolehkan mereka nampak siapa yang berkepala anjing dan siapa yang berkepala kucing.

Superpower khas yang ada pada budak-budak yang baru mengenal agama itu bukan hanya ada pada budak-budak Tabligh tetapi dikuasai juga oleh siapa saja yang sedang semangat dalam beragama.

Pakcik yang baru pencen dan mula rajin ke masjid pun ada memiliki kuasa itu.

Maafkan mereka kerana mereka juga seperti kamu yang yakin bahawa partai politik dan politikus kesayangan kamu adalah 'al-Masih' yang dinanti, yang akan menjadi penyelamat daripada segala macam musibah dan akan memberikan segala kekayaan yang kamu impikan walaupun mereka sebelum ini dikenal sebagai sang musibat.


ABDULLAHJONES adalah penulis pelukis penyair dan perasan pemikir.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.