KOLUM

Nik Aziz berpantun khianat

Faisal Tehrani

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Mac 2020, 11:02 tengahari
0

Sebelum ini tidak pernah terjadi. Dalam dua minggu ini muncul sejenis obor-obor menebar racun. Kata pandai-pandai yang mengkaji, ia dinamai ‘Portuguese Man of War’ atau ‘Feringgi Siap Bertempur’. Atau gelar saintifiknya, Physalia Physalis. Ia tiba-tiba hanyut ke Pulau Kekabu, Marang dan ada yang ditolak air sampai ke pantai.

Obor-obor menebar racun dalam masa tiga minit. Sebelum ini tidak pernah terjadi. Obor-obor beracun dari Marang. Ia menjadi-jadi dua minggu lepas, serentak, dengan segala kegalauan.

Obor-obor itu menyerang rumah kami, ia hinggap di belakang rumah; ia jatuh dari atap menebuk lubang; ia terapung keluar dari lantai. Obor-obor yang tidak pernah dialami hanyut dan tersadai di pantai Marang itu memancutkan racun, dan ditolak arus mendarat di luar kediaman kami. Mungkin ia melintas Rantau Panjang dalam perjalanan ke sini.

Orang hartawan, kaya-kaya dan bangsawan belaka boleh sahaja meninggalkan negeri. Kami, rakyat dikuarantin selamanya di negeri yang diserang obor-obor beracun ini.

---

Timbalan Menteri muda mengatakan “Semoga dipermudahkan demi agama, bangsa dan Negara”. Ia memetik segala macam fikah untuk menghalalkan perbuatan curi. Asalnya mereka sekadar menunggang agama. Kini mereka sudah bertambah berani menunggang juga bangsa, mereka juga sekarang tergamak pula menunggang negara.

Kami hairan. Setiap pengkhianat lelaki sudah beristeri. Apakah perasaan isteri mereka meniduri pencuri?

Seorang isteri yang tiada kena mengena dengan pengkhianat dan suaminya bukan seorang pengkhianat menuturkan peribahasa Bajau; “Uwa bino mangan buas nia so”, maksudnya “anjing diberi makan nasi tidak kenyang”.

Kami bertanya berulang kali, “Setiap pengkhianat lelaki sudah beristeri, apakah perasaan isteri meniduri pencuri?” Ada peribahasa Bajau berbunyi begini; “Anak kunsi raat, tumpa durhaka”; atau “anak kunci jahat, mangga derhaka”.

Apakah ertinya peribahasa itu? Jikalau suami jahat, isteri akan khianat juga. Maka apa hairan mereka tidur bersama-sama.

Simpanlah laknat untuk kedua-duanya; suami pengkhianat, isteri yang merelai itu khianat juga.

---

Ada perbezaan antara obor-obor dan obor. Begini, obor itu jamung. Suluh. Atau penerang jalan. Ada Melayu memanggil dila. Manjung. Karuk. Andang. Lakai-lakai. Suar. Semua itu obor. Ia bererti pedoman. Ia tidak sama dengan obor-obor dari Marang. Obor-obor tiada otak. Tiada hati. Ia hidup beribu tahun, ditolak badai dan ombak ke tengah ke tepi.

Obor-obor api pun tiba di Pantai Marang entah dari neraka mana. Ia menebar racun sehingga bencana seisi negeri. Ia bangga menebuk atap rumah kami.

Pengkhianat berhimpun di masjid, berkenduri, bertahnik, dan membaca Yaasin. Mereka membaca tanpa mengerti maksud ayat, “Wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan”. Akan tetapi obor-obor bukan sahaja syaitan. Untuk pengkhianat lelaki, racun adalah isteri, tidak menangkal dengan surah Yaasin. Nama surah Yaasin tidak melindungi.


Kalian, duit saku dua juta sehari, boleh sahaja lari lintang pukang meninggalkan negeri. Kami tinggal diracun obor-obor. Dan ingatan kami, kepada bekas menteri yang menguncup payung.

Seorang bekas menteri memberitahu kami, “Setelah menempuh alam siasah, kami tidak lagi disibukkan oleh gagasan murni. Sekarang kami mencari seorang yang dapat memayung kerana dalam dunia politik ini, ‘payung’ yang perlu dijaga dan digemukkan”. Kami bertanya, “Jika demikian siapa yang akan memayung kami rakyat jelata yang mengembangkan kalian agar berpayungan?” Payung bekas menteri gesit menguncup.

Setiap yang memerintah mesti memiliki taqwa. Mereka tertawa. Mereka lebih gerun akan kuman. Semua ingin melarikan diri dari kuman. Kuman ditakuti daripada Tuhan. Waspada dari kuman itulah taqwa, dan setiap yang memerintah jarang-jarang memiliki taqwa, yakni seperti berhati-hati agar tidak dijangkiti.

Apabila kuman menjadi wabak. Kami bertanya menteri, “Kami orang biasa akan lari ke mana?” Kalian kaya-kaya dan bangsawan belaka, boleh sahaja meninggalkan negeri.

---

Seorang penyair besar dari Parsi, Shirazi, dalam Gulistan pernah menyatakan, “Jangan bersimpati dengan kelemahan musuh, kerana apabila ia gagah, nescaya ia tidak akan memberi peluang kepadamu. Jangan lagakkan misai tebal jika lemah musuhmu, ada rongga di balik tulang temulang mereka demikianlah di sebalik jubah, ada kamu.”

Siapa sahaja yang berdamai dengan musuh rakannya justeru mencederakan hati rakannya. Kata Shirazi lagi, masih dengan Gulistan; “Berlepas tangan, sang budiman, daripada kawan. Yang dengan musuhmu duduk bermesraan.” Kami ramai kehilangan kawan. Seperti kamu, kami ramai kehilangan teman.

Seharusnya terdapat pesan lain berbunyi, “Pukullah kepala ular dengan tangan musuhmu kerana terdapat kelebihan daripada keduanya. Jika musuhmu berjaya - ular itu ‘kan dibunuh, tetapi jika tidak, kau selamat dari musuhmu.”

Kami melihat pemimpin berkumpul dan saling tertawa, mencari peluang membidik di belakang. Mereka menyembah ketuanya dan saling tertawa lantas terlupa perintah Allah, “Wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan.”

Menteri-menteri yang panjang rantaunya itu bertanya kembali kebodoh-bodohan, “Siapakah anak Adam?” Kami anak fulan dan fulan, bin atau binti fulan bin fulan (36: 60). Astaga ya Tuhan.

---

Pada zaman dahulu ada seorang ulama tua yang bijaksana. Namanya Nik Aziz. Dipanggil Tuan Guru. Ramai menganggapnya sebagai obor.

Ketika majlis perasmian Konsert Nasyid Antara Dunia pada 10 Syaaban 1430 bersamaan 1 Ogos 2009 (Sabtu), jam 8.00 malam bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam, Almarhum ada berpantun:

Ikan belanak ditutup saji

Saji dianyam oleh Pak Mahat

Orang khianat jangan dipuji

Makin dipuji makinlah jahat.

Obor umat itu memanggil siapa agaknya ‘orang khianat?’ Mengapa tidak kami membuat renungan yang dalam di fikiran, dan hati. Apakah Tuan Khianat bin Tuan Khianat? Kami, anak fulan dan fulan, bin atau binti fulan bin fulan.

Nik Aziz juga seperti Shirazi. Ada pantunnya dapat diambil menjadi obor, seperti Shirazi. Almarhum mengingatkan kita jangan dibuat berkawan orang merasuah.

Tanam halia tumbuh lengkuas

Semak daun si api-api

Apa guna kaya rasuah

Esok dipanggang di atas api.

Siapa yang ingin dipanggang di atas api? Jawapannya ada pada isteri-isteri lelaki pengkhianat. Kerana mereka rela meniduri pencuri. Mereka sudi dibakar bersama-sama suami.

Nik Aziz juga berpantun khianat mengenai menikam orang dari belakang, menebuk atap dan membunuh orang. Seperti nasib Uthman bin Affan yang dikerkah kepala, kerana pembelot masuk dari bumbung rumah di tengah rampasan kuasa menggila.

Terbang kuning di tengah malam

Hinggap masuk di tiang seri

Tangan kanan ajak bersalam

Apa maksud pisau di kiri.

Sungguh ada pengkhianat dan pencuri yang mengajak kami menjahat. Kepala siapa yang ingin dikerkah?

Melayu, sedih sekali. Sungguh tiada obor untuk menegah dan berpantun lagi. Nik Aziz tiada. Sungguh hati sayu menangis lara.

Kami tidak lagi mengenal maksud ayat surah Yaasin. Ia sudah diputar-putar. Obor seperti Nik Aziz sudah pergi. Yang ada hanyut di hadapan rumah kami; sejumlah obor-obor api. Beracun. Obor tiada otak dan hati. Obor dari Marang.

Sial, habis bencana negeri!


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.