KOLUM

Harapan orang Melayu kepada Perikatan Nasional

Aminuddin Yahaya

Diterbitkan
0

Pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dianggap oleh ramai pihak, termasuk penganalisis politik sebagai kerajaan bumiputera. Ini kerana daripada 70 jawatan menteri dan timbalan menteri yang dilantik, 63 daripadanya adalah bumiputera. Hanya tujuh orang sahaja menteri dan timbalan menteri yang bukan bumiputera.

Orang Melayu sendiri sudah pasti gembira dan bersyukur kerana daripada 70 jawatan ini, lebih 80 peratus adalah Muslim. Apa tidaknya, kerana selama 22 bulan orang Melayu terpaksa menanggung pelbagai tindakan dan kerenah DAP yang sentiasa dilihat menekan serta mengenepikan orang Melayu Islam. Sudah tentu dengan tersingkirnya DAP dari tampuk pimpinan negara sangat melegakan umat Islam. Orang Melayu harus bersujud syukur atas anugerah Allah ini.

Pada masa yang sama, kerajaan PN kena ingat bahawa antara penyebab berlakunya perpaduan ini adalah hasil dari penat lelah orang Melayu melalui NGO yang berjuang siang dan malam. Mereka tidak gilakan kuasa tetapi jangan pandang enteng akan suara mereka kerana mereka boleh mengubah negara. Ahli mereka mungkin tidak ramai tetapi pengaruh mereka menjangkau sempadan. Adalah satu kesilapan jika suara mereka dikesampingkan.

Tidak dapat dinafikan bahawa orang Melayu dan Bumiputera menaruh harapan yang sangat tinggi kepada kerajaan PN ini. Kesengsaraan mereka selama 22 bulan yang lepas, baik dari segi ekonomi mahupun agama perlu diterjemahkan oleh kerajaan ini dengan polisi-polisi dan tindakan yang segera dan tegas. Mereka mengharapkan agar tidak ada lagi sifat malu alah dan kompromi dalam perkara-perkara asas yang melibatkan orang Melayu dan agama Islam. Mereka mahu hak mereka yang telah hilang supaya dikembalikan sebagaimana yang terkandung didalam Perlembagaan Persekutuan dan Wasiat Raja-Raja Melayu. Bak kata pelbagai pihak, orang Melayu sudah hilang segala-galanya kecuali kuasa politik, tetapi sebenarnya sejak 22 bulan yang lepas orang Melayu juga telah hilang dominasi kuasa tersebut. Kita juga telah melihat bagaimana dalam masa yang singkat tersebut, kebobrokan DAP dan konco-konconya yang dilihat cuba meranapkan segala paksi kekuatan orang Melayu yang hanya mampu melihat dengan linangan air mata.

Kini, kekuasaan itu ditakdirkan Allah untuk kembali kepada orang Melayu. Saya perlu ingatkan bahawa ini adalah peluang kedua untuk mereka mengislah diri dan memperbaiki keadaan orang Melayu yang sudah terpinggir ini. Segala dakwaan kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan PH terhadap Mara, Tabung Haji, Khazanah Nasional, kedudukan penjawat-penjawat awam, pembiayaan pembelajaran, peluang-peluang pekerjaan, kehilangan tanah rizab dan pelbagai lagi perlu dibaiki segera. Begitu juga dakwaan penghinaan berterusan terhadap orang Melayu dan agama Islam disebabkan kegagalan menteri perpaduan PH yang didakwa rasis perlu diberi perhatian serius. Ini adalah antara perkara yang orang Melayu pantau dengan rapat, dalam segala bentuk tindakan dan polisi-polisi yang diadakan oleh kerajaan PN ini. Jika pemimpin-pemimpin Melayu PN masih terlena dengan tampuk kuasa yang ada, mungkin ini adalah peluang terakhir buat orang Melayu. Maka, jangan leburkan harapan ini.

Oleh itu, kerajaan PN perlu segera menjelaskan hala tuju mereka kerana komposisi kepimpinan negara kini dianggotai bekas pimpinan PH yang kita tahu sentimen mereka bukan kepada pro-Melayu dan bumiputera. Mereka juga adalah pejuang kepada Icerd dan Statut Rom. Jadi kebimbangan ini harus segera ditangani supaya rakyat, terutamanya orang Melayu yakin bahawa kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang mampu untuk diharapkan dan berbaloi untuk diletakkan untung nasib mereka.

Namun apa yang membimbangkan ialah, belum pun sempat rakyat mengecapi sinar pagi yang nyaman sudah ada suara-suara kokokan sumbang dari segelintir politikus PN sendiri yang gelojoh menyuarakan kritikan yang negatif terhadap kerajaan. Isu perjawatan menjadi perbahasan mereka seolah-olah kuasa adalah segala-galanya. Walhal orang yang sama, hanya sebulan yang lepas, merintih dan mengeluh mengenangkan kuasa orang Melayu yang hilang. Apakah mereka tidak sedar kenyataan-kenyataan mereka itu sebenarnya sedang meruntuhkan satu persatu kekuataan binaan dan kepercayaan yang baru diwujudkan ini? Apakah ketamakan mereka tidak boleh dibendung sekurang-kurangnya sementara waktu? Tidak cukupkah kekayaan yang mereka bolot selama ini sehingga masih mahu menagih kedudukan tatkala masa-masa genting ini?

Nasihat saya kepada mereka ini, bersabarlah sebentar kerana kehebatan seseorang itu bukan kerana kuasa yang ada di tangan tetapi kehebatan seseorang itu adalah apabila mampu menahan nafsu serakah. Jangan ingat rakyat tidak melihat tingkah laku saudara saudari semua. Percayalah, rakyat sedang menilai setiap kenyataan yang saudara-saudara buat kerana nasib saudara akan ditentukan oleh rakyat jua kelak. Kadangkala berdiam diri itu lebih mulia dari percakapan yang tiada kematangan.


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.