mk-logo
Berita
Dr Amalina: Tiada bukti petua minum air elak Covid-19
Diterbitkan:  Mar 20, 2020 11:14 PM
Dikemaskini: 4:12 PM

Doktor pakar bedah Dr Amalina Bakri menyangkal petua daripada Menteri Kesihatan Dr Adham Baba supaya orang ramai digalakkan minum air panas bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

"Ia bukan nasihat (doktor) dan tiada bukti di sebalik syor ini.

"Sila ikuti nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan WHO," katanya pada kicauan di Twitter, membalas suatu ciapan yang menyertakan pautan mengenai saranan menteri kesihatan itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah menolak mitos yang sama pada 26 Februari lalu.

"Walaupun mengekalkan hidrat (kandungan air dalam badan) dengan minum air adalah penting untuk kesihatan keseluruhannya, namun ia tidak menghalang jangkitan koronavirus," kata WHO Pasifik Barat pada hantaran di Twitter.

Sementara itu, Amalina juga menegaskan petua minum air untuk menghalang jangkitan Covid-19 sebagai mitos.

"Tidak kiralah di mana anda dengar tips ini walaupun di stesen televisyen nasional, tips ini adalah mitos.

"Tips yang betul adalah jaga kebersihan, basuh tangan, jangan sentuh muka, amalkan etika batuk serta bersin, duduk rumah dan amalkan penjarakkan sosial pada kadar satu meter.

"Hanya menjelaskan, kepanasan kira-kira 60 darjah Celcius boleh menyahaktifkan virus di luar badan, tapi bila sudah di dalam badan kita, minum air panas tak akan lemahkan virus tu.

"Tiada bukti asid di dalam perut kamu boleh membunuh virus itu.

"Dengan demikian, minum air bagus mengekalkan kamu senantiasa hidrat, tetapi ia tidak akan menyebabkan virus itu tidak aktif dengan apa jua sekalipun," katanya.

Ketika wawancara di saluran televisyen RTM TV1 semalam, Adham menasihakan minum air suam sebagai petua bagi menghalang jangkitan Covid-19.

"Virus ini tak suka panas. Jangan (air) panas sangat lah.

"Virus ini akan dinyahkan, disingkir, dan di perut. Kalau masuk perut ada asid, dia kalah.

"Yang penting kita mesti singkirkan virus ini dari kerongkong sebelum dia boleh masuk ke paru-paru. Virus ini dia suka paru-paru bawah," katanya sambil minum air.

Ketika wawancara itu juga, Adham berkata China mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu negara-negara lain yang mendapat kesan Covid-19 kerana virus itu 'dieksport' dari sana.

"Kalau di China pun telah mengurang, wabak yang ditularkan, mereka mungkin boleh deploy aset-aset yang mereka tak pakai itu.

"Kita kena berhubung dengan pihak Wisma Putra dan Kementerian Luar negara China supaya mereka yang bertanggungjawab selama ini dalam mengeksport Covid-19 ini ke negara luar, adalah satu tanggungjawab sosial terbesar dalam dunia, yang mungkin boleh beri (bantuan) kepada kita," kata Adham.

Adham berkata, bantuan China boleh dihulurkan khususnya dalam membekalkan cecair pembasmi kuman, topeng muka, serta keperluan lain dalam menangani wabak berkenaan.

China pada hari ini buat kali pertama mengesahkan tidak ada kes domestik baru selepas wabak Covid-19 menular di negara itu sejak Januari lalu.

Bagaimanapun, kes import bagi Covid-19 dilaporkan terus meningkat.

 

Lihat Komen
ADS