KOLUM

Berakhirnya malang bahasa

Dr Muhaimin Sulam

Diterbitkan
0

Suatu ketika dulu, seorang menteri Umno mengambil tanggungjawab menghapuskan Program Pembelajaran dan Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeri (PPSMI).

Itu berlaku pada 2009. Hari ini menteri itu sudah tidak lagi menjadi menteri, sebaliknya diangkat parti dan sekutunya menjadi perdana menteri.

Dia itulah Muhyiddin, anak kepada seorang ulama terkenal di Johor, Cikgu Mohamad Yassin. Semasa penghapusan PPSMI yang menjadi legasi Dr Mahathir Mohamad itu, Muhyiddin hanyalah menteri pendidikan.

Sejak PPSMI diperkenalkan pada 2002 oleh Mahathir, dasar itu ditentang ramai. Bukan sekadar memorandum atau tindakan mahkamah saja, ia malah mencetuskan demonstrasi besar-besaran yang diketuai oleh Sasterawan Negara, A Samad Said.

Ketika itu Mahathir berdepan pelbagai kritikan hebat khususnya daripada cendekiawan Melayu.

Sayangnya ramai pemimpin Umno ketika itu bersikap akur dengan langkah yang diambil Mahathir sebagai perdana menteri. Jika mereka tidak setuju pun, mereka bercakap belakang-belakang. Tidak ada keberanian menyanggah.

PPSMI itu mengalami pelbagai masalah dan beberapa kajian dibuat selepas beberapa tahun pelaksanaannya mendapati ia merugikan orang Melayu khususnya yang ada di luar bandar.

Namun saranan yang dikemukakan oleh beberapa pihak tidak diendah oleh Mahathir.

Akhiri nasib malang bahasa

Untuk memansuhkan dasar itu, ia memerlukan seorang menteri yang berani luar biasa. Ternyata orang itu ialah Muhyiddin, walaupun ia dibuat beberapa tahun selepas Mahathir tidak lagi menjadi perdana menteri.

Pada 28 Feb lalu Muhyiddin mengulangi keberaniannya sekali lagi. Kali ini juga ke atas Mahathir. Dia membuat langkah politik yang nekad untuk memintas keramat Mahathir buat kali kedua.

Maknanya, keberanian Muhyiddin bukan suatu kebetulan tetapi merupakan sifat yang genuine. Jangan main-main dengan keturunan ulama. Tambahan pula kini kini dikelilingi alim ulama kontemporari khususnya daripada sekutu baru politiknya, PAS.

Mahathir harus memberikan tabik kepada Muhyiddin.

Saya memberikan kepercayaan 300 peratus kepada perdana menteri kelapan Malaysia ini bahawa dia memiliki ketegasan yang lebih ampuh dalam isu bahasa berbanding penyandang sebelumnya. Atau bekas calon perdana menteri kelapan itu.

Muhyiddin akan menjadi perdana menteri yang bakal mengakhiri rapatan nasib malang bahasa Melayu di tanah airnya sendiri.

Bekas menteri pendidikan sebelum ini, Dr Maszlee Malek, pada 12 Julai 2018 menekankan bahawa pelan komprehensif Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) akan dilaksanakan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/76.

DBK adalah projek besar Maszlee yang sepatutnya dilaksanakan mulai 2021 hingga 2030. Maszlee yang tercicir dalam kabinet Muhyiddin tentu boleh bernafas lega (dalam isu bahasa) apabila perdana menteri Malaysia kini bukan lagi Mahathir.

Setidak-tidaknya aspirasi perjuangan Maszlee semasa dalam kementerian pendidikan sudah ada cahaya penerusannya.

Memang pendekatan dan pendirian Mahathir tidak pernah berubah terutama dalam soal bahasa. Mahathir pernah menulis buku bertajuk Malay Dilemma yang mengusulkan kaedah untuk orang Melayu berubah maju.

Tuntut keberanian, kebijaksanaan

Buku itu ditulis dalam bahasa Inggeris yang kurang dibaca oleh orang Melayu. Dia sebenarnya semacam memaksa orang Melayu ‘berbahasa Inggeris’ untuk berubah dan maju.

Idea itu masih kekal dalam pemikiran Mahathir dulu dan kini.

Tersingkirnya Mahathir daripada jawatannya sebagai perdana menteri seperti suatu permainan politik yang sudah sampai ke penghujung. Game over. Inilah zaman Muhyiddin dan era kebangkitan kuasa Melayu.

Gandingan politik Muhyiddin dengan Zahid Hamidi, Hadi Awang dan Azmin Ali adalah anugerah Tuhan.

Mesej perjuangan ‘bahasa jiwa bangsa’ menuntut keberanian dan kebijaksanaan. Melihat realiti politik pada hari ini, tiada alasan yang dapat menghalang usaha pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Pembinaan bangsa tanpa bahasa ibarat kerangka kosong. Bahasalah yang menjadi jiwa bangsa yang menerbitkan keindahan, kemakmuran dan kesejahteraan hidup bernegara.

Ramai kalangan pemimpin terutama ahli politik naif dalam memahami falsafah pembinaan negara. Pembinaan negara bukan sebagaimana membuat kabinet dapur atau rumah tanpa pintu.

Tuntutan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) oleh kementerian yang dikatakan sudah diluluskan oleh kerajaan PH sebelum ini haruslah ditarik balik.

Namun pihak PH sendiri memaklumkan bahawa sebenarnya kerajaan BN secara senyap-senyap mengiktiraf UEC tersebut tanpa pengetahuan umum.

Yang nyata pihak MCA dan DAP bersepakat untuk mengiktiraf UEC sebagai syarat untuk kemasukan di insititusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

Amat malang sekali warga Malaysia tidak boleh menguasai bahasa kebangsaan sendiri. Adalah lebih malang, apabila jika terdapat pemimpin politik yang telah menjadi ahli parlimen atau menteri masih gagal menguasai bahasa kebangsaan.

Oleh sebab itu ramai dalam kalangan masyarakat kita buta sejarah perkembangan bahasa Melayu dan gagal memahami bahawa tulisan bahasa itu dulu menggunakan aksara Jawi.

Buta sejarah kosong jiwa

Walaupun ia aksara berasal dari bahasa Arab, terdapat beberapa penyelarasan untuk disesuaikan dengan sebutan lidah orang Melayu. Adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa tulisan Jawi adalah tulisan Arab atau al-Quran.

Justeru langkah Kementerian Pendidikan mengurangkan jumlah halaman pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu dari enam muka surat kepada tiga muka surat sahaja adalah langkah politik tolak ansur yang salah.

Maka kerajaan sekarang wajib mengabaikan sahaja bantahan pada zaman PH dulu. Sekarang zaman Malaysia yang lebih baru daripada zaman Malaysia Baru edisi 9 Mei 2018.

Kementerian Pendidikan PN seharusnya boleh saja mengabaikan tuntutan yang tiada asas dan sarat dengan sentimen dulu itu. 

Tidak wajar kerajaan PN melayan kehendak minoriti dan pertubuhan yang disebut oleh Mahathir sebagai ekstremis. Itu Mahathir yang cakap, bukan Muhyiddin.

Tulisan Jawi itulah yang digunakan dalam pengisytiharan kemerdekaan yang dibaca oleh Tunku Abdul Rahman enam dekad lalu. Generasi baru kini bukan sahaja buta sejarah tetapi kosong jiwa kebangsaannya.

Jiwanya penuh dengan unsur penjajahan dan pembaratan. Identiti kebangsaannya keliru dan kabur.

Tulisan Jawi perlu diangkat kembali martabatnya bukan sahaja sebagai warisan sepanjang zaman tetapi satu pembinaan identiti negara. Zaman Melayu dan Islam terancam sudah berakhir sejurus selepas Muhyiddin diangkat menjadi perdana menteri.


DR MUHAIMIN SULAM ialah pencatat sejarah suka dan duka bangsa. Daripada pensyarah universiti, penyair, aktivis politik dan budaya kini dia menjadi penghuni tanah perkebunan di pinggir kota Melaka.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.