KOLUM

Virus korona dan virus taasub

Wan Ji Wan Hussin

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Mac 2020, 11:03 tengahari
0

Menteri kesihatan Malaysia dalam kerajaan Perikatan Nasional adalah seorang doktor perubatan. Malah, beliau sendiri diberitahu mempunyai beberapa buah klinik yang beliau telah usahakan sejak sekian lama.

Saya pula, tak ada asas langsung berkenaan ilmu perubatan. Semenjak kecil, pendidikan saya adalah agama. Bermula dengan hafazan al-Quran sehingga di peringkat master dalam kajian maqasid syariah. Pengetahuan saya berkenaan ilmu perubatan amat dangkal.

Apabila Menteri kesihatan memberi tips, bahawa untuk hapuskan virus Corona dengan minum air suam, orang macam saya percaya. Mujur tak sampai tahap beriman.

Tiba-tiba, Dr Amalina Bakri yang diakui keilmuan beliau dari sudut perubatan menyanggah dan memberi hujah bahawa dakwaan menteri kesihatan itu tidak benar. Beliau tidak bercakap kosong, malah beliau bawakan hujah-hujah yang meyakinkan.

Bukan sekadar itu, bahkan kementerian kesihatan Malaysia pula mengeluarkan kenyataan menolak tips menteri kesihatan.

Dr Amalina Bakri

Apabila ini berlaku, orang seperti saya mula ragu-ragu dengan kredibiliti ilmu perubatan yang ada pada menteri kesihatan. Apa lagi, pihak yang menyangkal dakwaan menteri terbabit bawakan hujah saintifik, jurnal dan mereka diperakui ramai sebagai pakar dan ilmuwan dalam bidang terbabit.

Namun, tidak semua berfikir seperti saya. Berapa ramai pula akui bahawa menteri kesihatan itu benar. Apa lagi, menteri terbabit tidak ada sikap bertanggungjawab yang sehingga hari ini, tips air suam itu tidak ditarik balik. Jauh sekali beliau memohon maaf.

Bagi pendukung menteri kesihatan itu, cara mereka berfikir, percaya apa sahaja yang menteri terbabit cakap. Pada mereka, apabila ia datang dari seorang yang berjawatan tertinggi dalam negara dan dalam bidang kesihatan, maka itu adalah kebenaran. Tidak ada yang tidak benar, kecuali semuanya benar-benar belaka. Mereka tidak melihat kepada hujah, tetapi melihat kepada personaliti sebagai orang berjawatan tinggi dalam negara.

Lebih parah, mereka cuba mewajarkan lagi tips mengarut menteri terbabit. Hujah dan jurnal tidak dijawab. D Amalina yang bertanggungjawab dengan ilmunya pula, peribadinya diserang.

Saya membaca beberapa serangan peribadi Dr Amalina dalam media sosial. Mengejutkan, sampai ada yang sanggup menggunakan tuduhan murtad terhadap Dr Amalina, hanya kerana dahulu beliau seorang yang bertudung, dan kini sudah membuka tudung.

Personaliti

Pernah tak kita fikir, bahawa orang beragama juga begitu. Apabila orang yang bergelar ustaz, tuan guru, maulana, Ayatollah bercakap agama, mereka terus dipercayai, walaupun mereka tidak bersandarkan kepada hujah. Kalau ada yang membawa hujah pun, didapati tidak berpijak kepada disiplin ilmu. Malah, tidak sedikit dari kalangan mereka berhujah dengan bersandarkan hadis-hadis palsu.

Mereka tetap diikut kerana faktor gelaran dan personaliti. Mereka dianggap benar, hanya kerana mereka pakai jubah dan serban.

Kalau datang pihak lain yang menyangkal dengan hujah yang bertepatan dengan disiplin ilmu, belum tentu lagi diterima. Mungkin sahaja dia akan dicemuh, gara-gara dia berselisih pendapat dengan guru terbabit.

Walhal, dari sudut Islam sendiri, kebenaran bukan dilihat pada personaliti, bukan pada jubah dan serban. Tetapi dilihat pada hujah dan fakta.

Saidina Ali pernah berkata: "lihat kepada apa yang diperkatakan, bukan siapa yang berkata.”

Dalam ungkapan lain, Saidina Ali turut berkata: "Kebenaran bukan dikenali melalui personaliti. Kenalilah kebenaran terlebih dahulu, pasti kamu akan kenal orang yang berada atas kebenaran.”

Gerakan Tabligh

Semenjak Covid-19 menyerang dunia, kita sudah mendengar fatwa dari ramai ulama terkenal bahawa solat Jumaat digugurkan dengan digantikan dengan solat Zuhur di rumah. Mesir yang merupakan sebuah negara yang setiap tahun melahirkan ribuan ulama pun telah membuat ketetapan larangan solat jemaah di masjid.

Semua ini bertujuan untuk mengelak dari wabak yang merbahaya pada nyawa ini dari meragut ramai nyawa.

Sementara itu, semenjak gelombang kedua Covid-19, jemaah Tabligh yang merupakan satu gerakan Islam dunia, telah menjadi buah mulut rakyat Malaysia. Ia berikutan himpunan mereka di pusat utama mereka, Sri Petaling, menyaksikan ramai terjebak dengan virus Corona.

Sehingga hari ini, pihak Kementerian kesihatan Malaysia pun sudah berkali-kali meminta mereka yang terlibat dalam himpunan tersebut agar membuat saringan. Namun, berbagai respons kedengaran. Ada yang baik dan tidak sedikit respons yang tidak baik.

Semenjak itu juga, tersebar beberapa video ceramah dan ucapan dari sebilangan (bukan semua) guru-guru agama dari jemaah Tabligh. Ucapan yang tidak hiraukan bahawa virus memberi bahaya pada nyawa manusia. Ucapan yang bercanggah dengan fatwa majoriti ulama dunia.

Ucapan itu memang kedengaran dangkal, tetapi mendapat sokongan padu daripada muridnya. Ucapan yang mempunyai retorik yang mengagumkan, walaupun tidak berpijak pada hujah, fakta dan cara pendalilan agama yang betul.

Semua ini terjadi, sebab agama sudah tidak dilihat pada hujah lagi. Agama sudah berdiri atas personaliti - jubah dan serban sehingga melahirkan taasub kepada guru.

Murid-murid itu terlalu taasub kepada guru mereka, dengan itu guru mereka ditaati. Malahan, jika ada pihak yang berbeza dengan guru mereka, tidak ditolak kemungkinan bahawa pihak itu pula dianggap jahat, walaupun pihak itu memberikan hujah agama yang tepat dengan disiplin ilmu.

Ya, memang kita kini sedang berhadapan dengan koronavirus. Tetapi, virus taasub juga, kadangkala penyebab koronavirus susah nak dibendung.

Kita mungkin perlu beberapa bulan untuk atasi koronavirus. Tetapi, puluhan tahun pun, belum tentu kita dapat atasi virus taasub.

Wallahu 'alam.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.