KOLUM

Merakam sejarah: Kita berkhalwat

Hishamuddin Rais

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Mac 2020, 2:23 pagi
0

Saya menangguhkan semua siri tulisan Merakam Sejarah yang bersangkutan dengan keadaan politik tanah air sesudah Mahathir meletak jawatan. Pada hemat saya, pada saat dan ketika ini saya memaksa diri saya untuk menulis, merakam dan memberi pendapat tentang keadaan negara kita yang sedang diserang oleh koronavirus – Covid-19.

Saya mahu merakam sejarah yang saya anggap lebih besar dari pertukaran pentadbiran kerajaan. Yang lebih besar dari perdana menteri baru. Yang lebih besar dari segala-segala yang besar yang pernah kita ketahui dahulu.

Saya menerima satu pesanan ringkas dari seorang kawan. Isinya pendek padat dan amat amat mengejutkan. Pesanan ringkas itu berbunyi: THE GREAT RESET - terjemahan dalam bahasa Melayu berbunyi: semuanya sekali lagi akan diubah.

Pesanan ringkas ini memaksa saya befikir. Pesanan ringkas ini memaksa saya melihat diri. Melihat makna kehidupan. Mencari makna perjalanan hidup dalam dunia ini. Melihat dan menilai modeniti. Melihat dan menilai politik. Memikirkan apa seterusnya. Saya jangka perasaan sedemikian bukan saya seorang sahaja yang merasakannya.

Anak semua bangsa di bumi manusia pada bulan Mac 2020 ini pasti sama seperti saya – bertanya, befikir, bertanya apa sesudah ini.

Ketika saya mengetik tulisan ini Malaysia telah memasuki hari ke enam berkurung. Saya mengunakan perkataan berkhalwat. Anak semua bangsa – warga semua agama diminta oleh kerajaan untuk duduk berkhalwat di rumah.

Berkhalwat dari pandangan agama dan budaya Melayu kita seharusnya menjadi tenang. Merehatkan jiwa dari alam maya. Tetapi berkhalwat pada bulan Mac 2020 ini tidak sama seperti Hang Tuah berkhalwat sebelum dan sesudah bertikam dengan Hang Jebat.

Berkhalwat tahun 2020 - duduk dihadapan komputer menjadikan jiwa gelisah. Amin.

Virus tak kenal bangsa

Sayugia saya rakamkan bahawa berkhalwat ini bukan hanya kita di Malaysia malah seluruh dunia sedang berkhalwat. Koronavirus sedang mengampuh, mengamuk untuk menyerang penduduk dunia. Virus ini tidak mengenal Melayu, Cina, India atau Iban. Virus ini tidak mengenal ahli parti PKR, DAP, Umno, Bersatu atau PAS.

Virus ini tidak mengenal tua muda sida pondan jantan atau betina. Tak kenal miskin kaya. Untuk korona jika kamu duduk di Country Height Kajang atau di PPRT Kampong Kerinchi semua sama. 

Virus ini tidak mengenal alim beragama atau tak beragama. Tak mengenal Islam atau bukan Islam. Mangsa pertama di Malaysia seorang paderi manakala mangsa kedua seorang ahli Tabligh. Amin.

Dalam hikayat klasik Melayu yang kita baca kita akan bertemu dengan watak-watak yang menakutkan orang kampung. Kesah burung geruda datang menyerang hinggakan negeri menjadi padang jarak padang terkukur. Kesah naga masuk kampung mencari anak dara. 

Cerita kumpulan penyamun masuk kampung membunuh sesiapa saja yang cuba menghalang. Cerita seram Nenek Kebayan menjampi anak dara menjadi batu. Semua kesah-kesah ini menakutkan. Tapi koronavirus lebih menakutkan dari serangan burung geruda. Lebih menakutkan dari serangan pelisit dan polong. Koronavirus lebih menakutkan dari Raja Bersiong.

Yang amat-amat sahih menakutkan ialah kita semua diberi tahu bahawa pada ketika ini tidak ada ubat atau vaksin yang boleh melawan dan menumpaskan jangkitan virus ini. Amin.

Untuk tulisan pertama ini saya tidak akan menulis tentang asal usul koronavirus. Blog Tukartiub saya menerima banyak surat yang membocorkan pelbagai teori dan pendapat tentang virus ini. Ramai pembaca blog saya mengasak dan meminta saya menulis pencerahan.

Saya sedar dan faham atas segala permintaan ini. Malah saya juga membaca, meneliti dan mengkaji semua fakta yang bersangkutan dengan virus ini. Saya menyelongkar dan mengeledah pelbagai laman dan portal yang menulis tentang koronavirus.

Saya tahu apa yang saya tahu. Saya juga ada pandangan. Saya tahu apa itu biological warfare – perang biologi. Saya tahu di mana letaknya Wuhan. Saya tahu apa makna imperialisme. Saya tahu peranan modal.

Tetapi buat masa ini pada hemat saya pencerahan jalur ini tidak akan memberikan apa manfaat kepada kita semua. Saya mengharapkan kita semua – anak semua bangsa – warga semua negara – bangsa semua agama selamat dari serangan virus ini. Keselamatan umat manusia untuk terus hidup pada ketika ini pada hemat saya adalah agenda numero uno – agenda utama.

“If the epidemic continues its mathematical rate of acceleration, civilization could easily disappear from the face of the earth within a few weeks.”

‘Spanish Flu’ 1918

Kalau epidemik ini berterusan dengan jumlah hitungan kematian meningkat dalam beberapa minggu umat manusia akan lupus dari muka bumi ini.

Kata-kata dari Victor Vaughan, surgeon general tentera Amerika. Surgeon general ialah sosok perubatan yang tertinggi dalam ranking bala tentera Amerika.

Ucapan ini dilaporkan pada bulan Oktober 1918 ketika Spanish Flu sedang memuncak menewaskan tentera dalam Perang Dunia Pertama. Spanish Flu ini dilaporkan membunuh lebih dari 50 juta warga Eropah. Flu ini membunuh kedua-dua pasukan soldadu yang sedang berperang dan merebak ke penduduk di Eropah. Ia hanya dapat dialahkan pada bulan Disember 1920.

Membaca sejarah Spanish Flu ini menjadikan saya takut.

Takut! Arwah emak dan arwah abah saya pernah bersurah tentang takut. Mereka merasa takut ketika Jepun melanggar Tanah Melayu dalam perang dunia ke dua. Pada 8 Disember 1941 soldadu Jepun mendarat di Kota Baru. Saya belum lahir lagi.

Keluarga saya pada ketika itu duduk Kampung Tengah Tengkek Negeri Sembilan. Ini wilayah yang dibuka oleh Tok Sidek ayah kepada Zaleha Sidek dan datuk kepada Hishamuddin Rais.

Emak pernah bersurah bagaimana abah mendirikan pondok dalam paya hutan rumbia dalam sawah. Emak dan Abah menyorokkan kakak saya kerana didesas-desuskan soldadu Jepun akan menangkap budak perempuan. Ini hanya desas -desus sama seperti desas desus Whatsapp dan Facebook hari ini.

Untuk generasi ibu dan ayah kita mereka telah mengalami perang dunia. Saya amat yakin masih ramai lagi otai-otai yang pernah membesar ketika Jepun mengganas. Untuk otai yang muda pasti mereka ada mengalami perintah berkurung pada bulan Mei 1969.

Dua perintah berkurung

Saya sendiri pernah dua kali mengalami berkurung. Kali pertama pada tahun 1953 ketika saya berumur empat tahun. Emak kami seorang guru wajib berpindah dari Sekolah Tapak Jempol Kuala Pilah ke Sekolah Umum Kuala Klawang Jelebu. 

Pada ketika itu wilayah Jelebu diisytihar kawasan hitam. Ini bermakna di wilayah Jelebu ramai Tentera Pembebasan Rakyat Malaya sedang aktif melawan soldadu Inggeris yang menjajah Tanah Melayu.

Saya masih ingat lagi pekan Kuala Klawang mendapat perintah berkurung dari Baginda Queen Elizebeth. Kuala Klwang telah dipagar dengan kawat berduri. Pagar berduri di Kuala Klawang hanya ada tiga pintu. Satu pintu masuk dari Jalan Seremban. Satu pintu keluar masuk ke Titi dan satu lagi pintu masuk keluar ke Peradong. Soldadu Gurkha – soldadu upahan Baginda Queen – lengkap bersenjata mengawal pintu-pintu ini. Kami diwajibkan berada dalam rumah dari jam 6 petang hingga jam 6 pagi.

Soldadu Ghurka diarahkan untuk menembak mati sesiapa sahaja yang didapati keluar dari rumah ketika waktu berkurung. Hingga ke hari ini pada tahun 2020 setiap kali saya melintasi tiga bekas tapak pintu ini ingatan saya akan datang kembali. Pancaran imej soldadu Gurkha yang lengkap bersenjata akan segar bermain dikepala.

Di pintu ada khemah khas. Perempuan dibawa ke bilik khas untuk diraba badan agar tidak menyorokkan apa-apa – senjata atau makanan. Saya yang memerhati apa yang berlaku akan setia menunggu bila emak saya diperiksa oleh soldadu.

Berkurung ketika itu selain dari tidak boleh keluar rumah makanan warga daerah Jelebu dicatu. Setiap anggota rumah dikira. Berapa kati gula, berapa gantang beras, berapa botol minyak kelapa semuanya ditetapkan oleh Baginda Queen. 

Satu keluarga memiliki satu permit untuk membeli barang-barang ini. Tanpa permit barang makanan tidak dapat dibeli. Susu tin – cap teko - dan apa saja barang dalam tin akan ditebuk dahulu. Semua ini bertujuan agar gerila Parti Komunis Malaya akan mati kelaparan tanpa penyokong dapat menghantar makanan.

Makanan ke Jelebu akan dihantar melalui ‘convoy’ pada hari Rabu. Lori lori membawa makanan ini datang dari Seremban akan melintas Bukit Tangga. 

Wilayah hutan yang dikendalikan oleh gerila anti Baginda Queen. Di hadapan dan belakang lori makanan ini ialah kereta perisai soldadu Gurkha. Convoy ini dikawal ketat oleh soldadu yang lengkap bersenjata.

Rumah kami – kuaters guru – betul-betul dua ela dari laluan pagar berduri. Malah saya kerap bermain dengan arwah abang saya di tepi pagar berduri ini. Kami amat takut jika terusik pagar atau guli kami terlepas ke luar pagar.

Gurkha periksa pagar

Saya masih ingat lagi tentang takut. Di waktu malam setiap kali ada ‘bunyi di luar kebiasaan ‘ mata kami sekeluarga akan berpandangan. Apakah bunyi itu? Apakah Gurkha sedang berjalan memeriksa pagar. Atau gerila anti soldadu Queen sedang beroperasi. Dalam rumah sekeluarga diam senyap.

Kali kedua saya mengalami berkurung ialah pada bulan Mei 1969. Ketika itu saya belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Setiap pagi Isnin semua murid akan berkumpul dalam Dewan Hargreaves. 

Di atas pentas ialah guru besar dan jemaah guru-guru duduk beratur. Guru besar akan berucap. Dormitari terbaik akan mendapat hadiah. Juga nama-nama murid nakal yang yang akan masuk DC - detention class - akan diumum. 

Bila nama disebut diumum maka murid ini akan ‘bangun malu’ untuk dilihat oleh 500 kawan-kawan sekolah. Mereka yang kena DC tidak dibenarkan keluar ke pekan Kuala Kangsar di hujung minggu. Mereka dikurung dalam kawasan sekolah.

Tetiba pada Jumaat 16 Mei 1969 semua murid diarah berhimpun di Dewan Hargreaves. Saya hairan dan tertanya-tanya. Apa terjadi. Isnin 12 Mei kami telah berhimpun. Kenapa minggu ini berhimpun sekali lagi pada hari Jumaat.

Bila kami masuk ke Dewan Hargreaves maka saya lihat semuanya berlainan. Ini bukan himpunan biasa. Saya masih ingat lagi di barisan depan ialah OCPD Kuala Kangsar dengan pakaian seragam polis. Tuan Pegawai Daerah, Megat Khas Pengerusi Kolej Melayu dan Dr Underwood ahli majlis sekolah.

Guru Besar Aziz Ismail memberi taklimat tentang apa yang berlaku di Kuala Lumpur. Pengerusi Kolej Melayu Megat Khas berucap pendek. Kami diberitahu darurat telah diisytihar. Parlimen telah digantung. Kami pelajar Kolej Melayu diminta awas berjaga jaga. Makanan akan dicatu. Tapi semua sedang diusahakan.

Ini berkurung pada tahun 1969. Kami tidak ada radio. Akhbar terputus semenjak 14 Mei. Kuala Kangsar yang jauh dari Kuala Lumpur menjadikan suasana tidak tegang. Komunikasi yang terputus tidak menambah keruh keadaan. Pada Mac 2020 semua ingatan ini datang kembali.

Berkurang kali ini saya bukan di West Wing Dorm 19. Saya di Brickfeild. Saya telah berkhalwat semenjak arahan dibuat. Kali ini bukan arahan Megat Khas Pengerusi Kolej Melayu. Bukan arahan OCPD Kuala Kangsar. Bukan kerana pergaduhan Melayu China. Bukan berkurung di pekan Kuala Klawang Jelebu kerana gerila PKM sedang membantai soldadu Baginda Queen. Bukan. Bukan. Bukan.

Kali ini seperti pesanan ringkas kawan saya – the great reset – sedang berjalan. Koronavirus sedang menyerang. Apa seterusnya. Tunggu minggu hadapan untuk sambungan. 


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.