Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM, menteri potong 2 bulan gaji untuk Tabung Covid-19
Diterbitkan:  Mar 26, 2020 2:49 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Perdana menteri, menteri dan timbalan menteri akan memotong dua bulan gaji mereka untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet semalam, menurut Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan.

"Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu mereka yang menerima kesan akibat penularan wabak Covid-19," kata kenyataan itu.

Pejabat Perdana Menteri juga memaklumkan sehingga semalam, jumlah yang telah dikumpul tabung itu, termasuk geran kerajaan, adalah sebanyak RM8,493,103.48.

Pada 11 Mac lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melancarkan Tabung Covid-19 dengan dana permulaan RM1 juta, yang akan diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menurut Muhyiddin, ia antara lain bagi membantu rakyat yang terjejas akibat tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjalani tempoh kuarantin 14 hari sebelum pulih.

Pada Jumaat ini pula, Muhyiddin dijadual mengumumkan pakej rangsangan baru bagi merancakkan ekonomi negara yang merosot akibat pandemik Covid-19.

Pada masa ini, gaji perdana menteri adalah RM22,826.65. Dua bulan gaji bermakna RM45,653.30.

Gaji menteri pula RM14,907.20, bermaksud dua bulan gaji mereka berjumlah RM29,814.40.

Terdapat 31 menteri penuh, termasuk empat menteri kanan, dalam kabinet Perikatan Nasional.

Memandangkan tiada peruntukan yang menyentuh soal gaji menteri kanan, dapat dijangkakan gaji mereka sama dengan menteri lain. Ini bermakna sumbangan keseluruhan mereka berjumlah RM924,246.40.

Gaji timbalan menteri pula RM10,847.65, bermaksud dua bulan gaji mereka berjumlah RM21,695.30.

Terdapat 37 timbalan menteri dalam kabinet Muhyiddin.

Jumlah keseluruhan sumbangan timbalan menteri berjumlah RM802,726.10.

Ini bermakna sumbangan keseluruhan Muhyiddin, menteri dan timbalan menteri untuk Tabung Covid-19 berjumlah RM1,772,625.80.

Lihat Komen
ADS