Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
20 juta warga Indonesia mungkin tak boleh mudik rai Aidilfitri
Diterbitkan:  Mar 26, 2020 11:21 PM
Dikemaskini: 3:21 PM

GLOBAL | Kira-kira 20 juta warga Indonesia mungkin tidak dapat berhari raya di kampung masing-masing hujung Mei ini sebagai tindakan diambil kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19.

Media melaporkan kemungkinan larangan itu tidak ditolak oleh Jakarta.

Ramadan dijangka bermula 24 April ini manakala 1 Syawal pula diraikan sebulan kemudian.

Biasanya arus "mudik" di Indonesia berlaku secara besar-besaran membabitkan pergerakan lebih 20 juta orang yang mahu meraikan Aidilfitri di kampung masing-masing.

Ia juga menyaksikan kesesakan lalu-lintas serta kesibukan sistem pengangkutan awam.

Setakat hari ini sebanyak 893 kes positif Covid-19 direkodkan di negara itu berbanding 2,031 di Malaysia. Bagaimanapun jumlah kematian di negara terbabit sehingga hari ini ialah 78 orang.

Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia, Jodi Mahardi, berkata cadangan menyekat mudik sedang dipertimbangkan dengan serius oleh kerajaan.

"Keselamatan orang ramai adalah keutamaan kami," katanya seperti dipetik The Jakarta Post malam ini.

Menurut Jodi lagi kementerian itu sudah bermesyuarat dengan pelbagai institusi berkaitan pada Isnin lalu, dan akan diikuti dengan mesyuarat kabinet bagi membuat keputusan muktamad esok.

Ketika ini, katanya, ada tiga pilihan sedang dipertimbangkan iaitu membiarkan amalan itu berlangsung seperti biasa, tidak menggalakkan orang ramai mudik atau membuat larangan menyeluruh.

Lihat Komen
ADS