Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: rakyat M'sia rugi RM3 juta akibat penipuan sepanjang PKP
Diterbitkan:  Mar 28, 2020 4:18 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan di saat penularan wabak Covid-19.

Dalam sidang media di Putrajaya hari ini, Ismail berkata polis telah membuka 393 kertas siasatan berkenaan kes penipuan dalam tempoh seminggu perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Antara penipuan yang dikesan ialah penjualan topeng muka dan skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Pada 25 Mac, pihak polis telah membuka sebanyak 393 kertas siasatan penjualan palsu atas talian seperti topeng penutup mulut dan hidung yang menyebabkan kerugian berjumlah RM3 juta.

"Dan apabila kerajaan umumkan bahawa orang ramai boleh membuat pengeluarkan untuk KWSP, scammer juga mengambil kesempatan untuk membuat penipuan dengan mengeluarkan tawaran melalui media sosial (dengan mengatakan) mereka yang mahu mengeluarkan boleh hantar nombor kad pengenalan, malah nombor akuan.

"Saya harap rakyat berhati-hati dengan scammer ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat menteri-menteri berhubung PKP.

Ismail juga mengingatkan, susulan pengumuman pakej rangsangan ekonomi untuk membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, akan ada pihak yang akan cuba mengambil kesempatan.

Berkenaan pengeluaran akaun 2 KWSP, beliau menasihatkan orang ramai agar berhubung secara terus dengan KWSP dan mengikut prosedur yang ditetapkan badan itu.

Dalam pada itu, Ismail yang juga menteri kanan memaklumkan sejak bermulanya PKP sehingga semalam, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 114 kertas siasatan berhubung berita palsu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS