mk-logo
Berita
Luxembourg haramkan bekas CEO bank berkait 1MDB kerja industri kewangan
Diterbitkan:  Apr 2, 2020 4:46 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Pihak berkuasa Luxembourg mengharamkan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Bank Edmond de Rothschild (Eropah), Marc Ambroisien daripada bekerja dalam industri kewangan selama sepuluh tahun.

Menurut laporan Luxembourg Times, pengawal selia kewangan negara itu, Comite de Surveillance du Secteur Financier (CSSF) mendakwa Ambroisien gagal mengendalikan memastikan urus tadbir dalaman yang kuat dan pengurusan risiko yang cermat ketika menguruskan bank tersebut.

Amborisien telah meletakkan jawatannya pada 2015 lalu. Bagaimanapun, pihak berkuasa Luxembourg enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai kesalahan Ambroisien.

Pada 2017, bank itu didenda €8.985 juta (RM42.9 juta) oleh CSSF.

Butiran denda tersebut diperoleh daripada laporan tahunan bank pada 2017 yang menyatakan bahawa ia telah menyisihkan €21 juta untuk perbelanjaan perundangan yang berkait dengan "kemungkinan berlaku pemalsuan dalam dana 1MDB."

Bank berkenaan ketika di bawah pengurusan Ambroisien dipercayai menerima bekas pengarah urusan Perbadanan Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) dan bekas ahli lembaga UAE Pelaburan Aabar Khadem Abdulla Al Qubaisi sebagai pelanggannya.

Penglibatan Khadem dalam dana 1MDB telah didokumenkan dalam Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang dipanggil “fasa Aabar-BVI (Genting/ Tanjong)."

Pada 2012, 1MDB telah mengumpul dana AS$3.5 billion menerusi pengeluaran bon yang dijamin oleh kerajaan Malaysia untuk membeli aset janakuasa tenaga.

Menurut DOJ, sebahagian wang itu masuk ke kantung Blackstone Asia Real Estate Partners (BVI) yang didaftarkan di British Virgin Islands. Walaupun namanya hampir sama, syarikat luar pesisir ini tidak ada kaitan dengan firma ternama yang diniagakan di bursa saham New York, Blackstone Real Estate Partners Asia.

Menurut Sarawak Report pada 2016, pihak berkuasa Luxembourg menyiasat Khadem selepas sejumlah AS$ 493.5 juta masuk ke akaun banknya melalui di negara itu melalui Blackstone Asia Real Estate Partners (BVI).

Di Malaysia, nama Blackstone Asia Real Estate Partners (BVI) telah disebut dalam perbicaraan kes bekas perdana menteri Najib Razak yang turut dipercayai menerima sejumlah wang daripada Blackstone Real Estate Partner Ltd.

Ketika Khadem didakwa menerima wang daripada syarikat luar pesisir itu, Ambroisien menerajui bank Edmond de Rothschild (Eropah) sebagai CEO.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS