Malaysiakini
BERITA

Balu pegawai polis pulih dari Covid-19

Diterbitkan

Balu kepada seorang pegawai polis yang meninggal dunia akibat Covid-19 bulan lepas pulih daripada jangkitan, selepas lebih seminggu dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Aiza Shafinaz Sahak, 34 disahkan negatif malam tadi, kira-kira dua minggu selepas suaminya, Mohd Fairuz Saberon meninggal dunia.

Bapanya, Sahak Mohd Harun, 58, juga pulih selepas 19 hari dirawat di Hospital Permai, Johor.

"Allah maha baik, Allah maha baik, Allah maha baik.

"Dengan keberkatan dan kemuliaan hari Jumaat sayyidul ayyam penghulu segala hari, akhirnya ujian saringanku yang ke-2 (30.03.2020) dan ke 3 (4.4.2020) telah disahkan negatif dan bebas Covid-19.

"Ya Allah sujud syukur kepada Allah, Allah maha berkuasa. Ayah saya juga telah pulang ke rumah di Simpang Renggam setelah 19 hari berjuang di wad Hospital Permai JB. Terima kasih semua," katanya dalam catatan di Facebook.

Menurutnya, selepas disahkan negatif beliau dipindahkan ke Pusat Belia Antarabangsa, Cheras untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.

"Terima kasih ya Allah kau izinkan aku bernafas lagi meneruskan perjuangan dan engkau angkat kesakitanku.

"Kekuatan yang Allah pinjamkan untuk aku yang berlawan dengan emosi setiap hari, setelah Covid-19 meragut nyawa buah hati tercinta, suami yang menjadi tempat bergantung harapan. Al-fatihah untuk Mohd Fairos bin Saberon," katanya.

Aiza bersama arwah suami, bapanya dan ahli-ahli keluarga yang lain melawat ke Bandung, Indonesia dari 9 Mac hingga 12 Mac.

Fairuz menunjukkan simptom sehari selepas itu dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac.

Beliau meninggal dunia pada 26 Mac yang kebetulan merupakan Hari Polis. Bapa mentuanya, Sahak diuji positif pada 20 Mac.

Sahak merupakan penduduk Bandar Baru Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor. 

Kampung berkenaan dan Kampung Datuk Ibrahim Majid diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) pada Mac 27, berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di kawasan itu.

PKDP di kawasan berkenaan yang mengenakan perintah berkurung sepenuhnya dijadual berakhir pada 9 April tetapi dilanjutkan sehingga 14 April.

Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham sebelum ini berkata sebahagian mereka yang diuji positif di kawasan-kawasan ini turut menghadiri acara tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 3 Mac.

Lebih daripada 40 peratus daripada kes-kes jangkitan Covid-19 di Malaysia dikesan daripada program Tabligh di Sri Petaling.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.