Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM: Pelan penamatan PKP perlu secara 'bertahap' ke arah 'kebiasaan baru'

Pelan penamatan perintah kawalan pergerakan (PKP) perlu dilakukan secara bertahap - atau soft landing - agar Malaysia dapat memulakan "kebiasaan baru" dan pada masa sama terus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

"Tentunya kita sedang melihat kepada strategi keluar (daripada PKP), kita sedang merancangnya dan melihat bagaimana kita dapat memperbaiki situasi.

"Jadi apabila kita bermula (penamatan PKP), ia mesti secara soft landing dari segi melihat kepada dua minggu seterusnya, dan kemudian dua minggu lagi, bagaimana kita dapat perlahan-lahan memastikan kita dapat benar-benar kembali kepada, bukan seperti dulu, tetapi kebiasaan baru.

"Kembali kepada kebiasaan baru untuk kita memastikan dapat terus menghalangnya, atau memutuskan rantaian jangkitan Covid-19," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

 Noor Hisham juga menegaskan, walaupun PKP ditamatkan nanti, selagi vaksin Covid-19 belum ditemui, semua orang perlu mengubah kebiasaan dan gaya hidup mereka demi menghalang wabak itu.

"Masalah pada masa ini ialah kita boleh kurangkan bilanga kes, tetapi kita tak boleh hapuskannya (secara keseluruhan). Selagi kita tiada vaksin, kita perlu ambil strategi pencegahan.

"Ini bermakna cara hidup dan tindakan kita perlu diubah, walaupun jika tiada PKP. Kita perlu melihat satu strategi keluar yang dapat mengawal dan mencegah Covid-19," katanya lagi.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), penemuan vaksin akan mengambil masa kira-kira satu setengah tahun, justeru pertubuhan itu menjangka "perang" melawan wabak itu akan terus berjalan sehingga tahun depan.

Justeru, kata Noor Hisham, kawalan pergerakan - dengan tahapnya bergantung kepada keadaan - akan terus ada antara tiga hingga enam bulan.

"Kita mungkin akan ambil sedikit masa, mungkin tiga atau enam bulan.

"Dasar kita perlu berubah, dari segi tiada perhimpunan awam misalnya, dan penjarakan sosial dan terus mengingatkan orang awam agar membasuh tangan dan lebih penting untuk kekal di rumah jika tiada urusan untuk ke tempat awam," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS