Paling Popular
Terkini
story images
story images

  • Dikemas kini dengan keadaan di Kulai dan Cheras, anggaran harga makanan serta gambar kandungan bungkusan.

Anggota parlimen PH mendakwa bantuan makanan Covid-19 kerajaan untuk golongan 40 peratus berpendapatan paling rendah (B40) tidak bernilai RM100 seperti dijanjikan.

Wakil rakyat Rasah Cha Kee Chin berkata pejabatnya menerima 150 bungkusan malam tadi tetapi nilainya dianggarkan cuma sekitar RM35.

Ia sebahagian daripada 1,000 bungkusan makanan Covid-19 untuk golongan berpendapatan rendah B40 bagi tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diperuntukkan untuk setiap kawasan parlimen.

Cha mendakwa, dalam setiap bungkusan terdapat tujuh barangan, iaitu lima kilo beras, sekilo minyak masak, satu paket bihun kering, satu paket biskut teh dan kopi segera.

“Kami buka lepas pembantu saya bawa balik bungkusan makanan (ke pejabat) dan kandungannaya di luar jangkaan.

“Beras itu ada tanda harga RM13, harga minyak dan bihun bernilai antara RM2 ke RM3 setiap satu. Bungkusan makanan ini mungkin bernilai, paling tinggi pun, RM35,” tambahnya.

Pek beras 5kg hanya mampu bertahan untuk seminggu jika penerima mempunyai empat hingga lima ahli keluarga, luah Cha ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam.

Katanya, dia telah cuba mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seremban berhubung bungkusan makanan “kurang nilai” itu tetapi pegawai berkenaan memberi jawapan itulah barangan yang diterima daripada orang atas.

Kandungan makanan dalam bungkusan bantuan di Rasah

Bagi mengelakkan salah faham orang awam, kata Cha, dia dan pasukannya terpaksa memberi penjelasan semasa pengagihan makanan kepada penerima bahawa bungkusan makanan itu bukan dibeli oleh pejabat parlimennya, tetapi oleh JKM.

“Kalau tak ada penjelasan diberikan, orang akan tersilap anggap bahawa kami hanya guna RM35 daripada peruntukan RM100 untuk setiap bungkusan makanan.

“Mereka akan salah anggap bahawa saya dan pembantu saya songlap (baki lagi RM65),” kata Cha.

Cha dan pasukannya akan terus menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan mengutamakan komuniti miskin, meskipun berdepan masalah sedemikian.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan kawasan parlimen Kulai dan Cheras, nilai bungkusan makanan yang disumbangkan nampaknya lebih kurang setara pula dengan nilai yang dijanjikan kerajaan.

Anggota Parlimen Kulai dari DAP Teo Nie Ching dan anggota Parlimen Cheras Tan Kok Wai kedua-duanya mengesahkan bahawa nilai bungkusan makanan yang diterima mereka adalah sekitar RM100.

Menurut Teo, terdapat 10 barangan dalam bungkusan makanan itu: beras 10kg, minyak masak 5kg, gula 2kg, tepung gandum 2kg, setin sardin, dua tin susu sejat, dan satu pek biskut, bihun, dan teh/kopi.

Dengan itu, bahan makanan yang diterima isi rumah di Kulai lebih dua kali ganda daripada yang diagihkan di Rasah.

Jumlah bantuan makanan di kawasan Kulai dianggarkan bernilai RM90.50.

 Sementara itu, bungkusan makanan yang tidak diagihkan di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak mengandungi 14 barangan apabila diperiksa oleh Tan.

Setiap bungkusan mengandungi dua bungkus tepung gandum, tiga bungkus minyak masak, tiga bungkus gula, satu bungkus mihun, sebungkus garam, tiga tin sardin, tiga tin susu sejak, sebotol kicap dan sos cili, tiga bungkus biskut, sebungkus cili kering, sebungkus serbuk kopi dan sebungkus teh.

Berdasarkan pemeriksaan harga yang dibuat di laman web pasar raya Tesco, jumlah keseluruhan barangan berkenaan adalah bernilai RM110.

 JKM merupakan agensi kerajaan di bawah Kementerian Wanita dan Keluarga.

Malaysiakini sudah menghubungi menteri kementerian itu, Rina Harun, dan JKM setempat untuk mendapatkan maklum balas.

Sebelum ini, Tan mendedahkan bahawa sehingga 750 bungkusan makanan untuk golongan berpendapatan rendah, terbiar tidak diagihkan selama dua minggu di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak.

Tan (atas) mendakwa dia dinafikan bahagian bantuan makanan itu kerana dia merupakan wakil rakyat pembangkang, manakala peruntukan 1,000 bungkusan untuk kawasan Bandar Tun Razak di bawah Timbalan Menteri Luar Negeri Kamaruddin Jaafar sudah pun diagihkan.

Jumaat lalu, anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh mendakwa bahawa sekurang-kurangnya 54 kawasan Parlimen pembangkang masih belum menerima peruntukan bantuan makanan untuk kawasan masing-masing.

Bantuan yang disalurkan di Cheras

Yeoh, yang merupakan mantan timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, mendakwa bahawa kawasan Segambut hanya menerima 250 bungkusan sahaja.

Adalah dilaporkan bahawa hanya satu kawasan pembangkang yang menerima kuota penuh 1,000 bungkusan makanan ialah Langkawi di bawah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sementara Kangar di bawah Noor Amin Ahmad dari PH, dan Kubang Pasu di bawah Amiruddin Hamzah dari Bersatu, telah menerima 900 bungkusan setiap satu.

[Baca berita asal]

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS