Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis serbu penempatan haram di Batang Kali, 238 individu ditahan

Polis yang menyerbu sebuah penempatan haram dibina dengan khemah plastik di Kampung Ulu Rening, Batang Kali di Kuala Kubu Bharu, hari ini, menahan 238 warga tempatan termasuk bayi.

Dalam operasi pukul lima petang itu, pihaknya menahan 76 lelaki dewasa, 77 wanita serta 85 kanak-kanak dan bayi, yang berada di kawasan hutan yang baru diteroka itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan soal siasat, penduduk terbabit mendakwa mereka adalah ahli Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara.

“Kita masih siasat persatuan ini dan apa yang kita tahu, mereka ini makan, mandi dan tinggal di kawasan ini.

“Polis masih menyiasat sejak bila kesemua mereka ini berada di kawasan itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu (KKB) malam tadi.

Mengenai dakwaan mereka berada di kawasan itu sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasa, beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Apa yang pasti mereka telah melanggar PKP dan mereka ini datang dari pelbagai negeri, ada Kuala Lumpur, Kelantan, dan lain-lain,” katanya.

Fadzil berkata pemeriksaan kesihatan akan dijalankan terhadap mereka, yang kini ditempatkan di Dewan Serbaguna KKB.

“Pihak Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Daerah KKB, turut membantu proses pemeriksaan kesihatan serta urusan kebajikan mereka,” katanya.

-Bernama

 

Lihat Komen
ADS