Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Lebih 300 anggota penguatkuasa beberapa agensi hari ini membuat serbuan di beberapa kawasan di Masjid India di Kuala Lumpur, yang dikenakan perintah kawalan pegerakan diperketatkan (PKPD).

Seorang penduduk berkata serbuan besar-besaran itu untuk mencari warga asing yang tidak memiliki dokumen sah.

Serbuan yang bermula kira-kira pada pukul sembilan pagi itu melibatkan Jabatan imigresen, polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam.

Turut dilihat adalah Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, yang meninggalkan kawasan tersebut kira-kira pada pukul 10.30 pagi.

Tinjauan Malaysiakini mendapati antara bangunan yang diserbu adalah Malayan Mansion, Menara Plaza City One dan beberapa bangunan lagi sekitar kawasan itu.

Ketika dihubungi seorang penduduk di Malayan Mansion memberitahu bahawa Jabatan Imigresen membuat pemeriksaan dokumentasi setiap unit rumah.

"Yang mana tidak ada dokumen sah, diminta turun ke bawah sebelum masuk ke trak," katanya yang enggan dinamakan.

Dia yang berstatus penduduk tetap itu berkata, ramai warga asing yang tiada dokumen sah diminta turun ke bawah.

Di Menara City One pula, sejumlah orang dipercayai warga asing tanpa dokumen dilihat berkumpul di satu sudut bangunan, kira-kira tengah hari tadi.

Seorang penduduk kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa pihak berkuasa tidak memberi makluman berkenaan tujuan kunjungan itu.

Bagaimanapun dia berkata pihak berkuasa mula bertanya tentang kewarganegaraan dan pasport penduduk.

"(Mereka) tiba-tiba datang pada pagi...Saya rasa mereka mengumpulkan pekerja (asing) tanpa dokumen kerana mereka bertanya tentang kewarganegaraan dan pasport.

"Dari beranda, say dapat lihat beberapa trak membawa orang dan beredar dari bangunan," katanya yang enggan dinamakan.

Seorang lagi penduduk memberitahu Malaysiakini pihak berkuasa memeriksa penduduk warga asing tanpa dokumen.

"Mereka buat pemeriksaan dari pintu ke pintu, kira-kira tiga jam. Saya tak pasti berapa banyak yang ditangkap," katanya yang juga enggan dinamakan.

Setakat jam empat petang tadi, operasi masih berjalan dan belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berkenaan perkara itu.

Malaysiakini telah menghubungi Khairul Dzaimee untuk mengulas tentang perkara ini. 

Lihat Komen
ADS