Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengguna mengadu aplikasi Gerak Malaysia tak boleh 'gerak'

Sejurus pengumuman kerajaan berkenaan aplikasi Gerak Malaysia, Nur Ain Romji bagaikan melihat sinar harapan untuk pulang menjaga orang tuanya yang kurang sihat di Batu Caves, Selayang.

Bagaimanapun, setelah beberapa kali gagal memasuki aplikasi tersebut melalui telefon bimbit, harapannya runtuh sedikit demi sedikit.

“Mak saya pesakit kencing manis, ayah juga sama dan mereka tinggal bersama tok (atuk) saya yang menghidap Alzheimer.

“Tolonglah saya nak balik sangat-sangat (ke Batu Caves),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Nur Ain yang terkandas di Johor turut menghadapi dugaan lain setelah suaminya yang bekerja di Singapura turut terkandas di negara tersebut.

“Suami saya bekerja di Singapura tidak dapat pulang, jadi saya sendiri di sini (Johor). Itu saya ingat nak pulang jaga orang tua saya, kesian mereka sakit,” katanya yang merupakan seorang pelatih perubatan.

Tidak berputus asa, Ain mencuba nasib untuk ke balai polis berdekatan bagi mendapatkan kebenaran merentas negeri. 

Namun dia mendakwa anggota polis tetap menyuruhnya memohon menerusi aplikasi tersebut.

Pada 22 April lalu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob menjelaskan orang ramai yang pulang ke kampung halaman sebelum tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) boleh memohon melalui aplikasi ‘Gerak Malaysia’.

Aplikasi yang dibangunkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia itu dilaksanakan bagi mengelakkan orang ramai  keluar rumah serentak bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Semalam Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (JSJ) Huzir Mohamed berkata, setakat semalam sebanyak 1,238,510 orang telah memuat turun aplikasi berkenaan.

Daripada jumlah itu seramai 503,276 telah membuat permohonan rentas negeri. 


Baca Polis keluarkan jadual perjalanan rentas negeri


Pihak polis juga telah mengeluarkan jadual pergerakan rentas negeri yang bermula dari 7 Mei hingga 10 Mei.

Selain itu Huzir berkata pemohon aplikasi Gerak Malaysia juga tidak perlu menunggu makluman atau notifikasi kelulusan permohonan mereka.

Aplikasi terlalu rumit

Keluhan berat turut dilepaskan oleh seorang pekerja sektor hartanah Jue Abdullah Sani, yang masih terkandas di Kuantan namun terpaksa pulang Isnin ini untuk bekerja di Kuala Lumpur.

“Bos (majikan) sudah panggil kerja Isnin ini, macam mana saya nak balik, aplikasi itu pun saya cuba masuk tetapi tak lepas-lepas, butang kod QR asyik tak lepas nak dapat.

“Dah tak tahu nak buat macam mana ini. Haih,” katanya setelah terkandas di Kuantan sejak PKP fasa pertama berkuatkuasa.

Jelasnya lagi, aplikasi tersebut juga terlalu rumit sehingga sukar untuk memohon perjalanan rentas negeri tersebut.

“Aplikasi juga tiba-tiba tak berfungsi, saya sudah nak putus asa. Tidak tahu bagaimana hendak buat apa. Saya hampir nekad nak gerak balik saja,” katanya.

Senada dengan Jue, seorang lagi pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Zura turut mendedahkan bahawa sehingga kini sukar untuk memasuki aplikasi tersebut.

“Saya dah cuba banyak-banyak kali, tetapi susah sungguh nak lepas, risau saya kalau tak dapat rentas negeri untuk kerja nanti,” katanya yang sudah terkandas di Perak sejak PKP fasa pertama dan ingin pulang ke Selangor.

Beliau mencadangkan kerajaan menangguhkan tarikh rentas negeri sekiranya terdapat rakyat yang masih tidak lepas untuk memohon menerusi aplikasi tersebut.

“Kerajaan beri tiga hari saja untuk rentas negeri. 7 Mei sampai 10 Mei ini, habis kalau yang tak dapat nak mohon bagaimana?

“Saya harap kerajaan pertimbang untuk lanjutkan sehingga lepas 10 Mei ini buat pihak yang tak dapat mohon macam kami,” katanya lagi.

Sementara itu, Ismail Sabri ketika dihubungi Malaysiakini menjelaskan bahawa pihaknya akan meneliti aplikasi tersebut dan siapa yang mempunyai masalah untuk memohon aplikasi tersebut boleh ke balai polis berdekatan.

“Mereka boleh ke balai polis berdekatan (untuk membuat permohonan),” katanya ringkas.

Untuk rekod, pemohon aplikasi Gerak Malaysia perlu kemaskini maklumat destinasi pada 4 hingga 5 Mei.

Perjalanan rentas negeri dari Perak, Johor dan Kelantan akan bemula pada 8 Mei.

Manakala, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang akan memulakan perjalanan pada 9 Mei. 

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed, berkata tiada kelulusan atau kod QR yang akan diberikan kepada pemohon yang memohon melalui aplikasi itu.

"Untuk pergerakan kali ini, dia tak akan keluar kod QR, tapi kita boleh kenal pasti (sama ada) dia memohon (atau tidak). Ini bukan untuk mencari kesalahan, kita nak aliran trafik (lancar).

"Sedaya upaya, kita takkan ganggu lalu lintas pada hari tersebut.

"Kita tak beri notifikasi untuk kelulusan, kamu cuma pohon, kita percaya melalui sistem sedia ada. Kita percaya (yang membuat perjalanan) memang kes-kes yang jujur (genuine)," katanya pada sidang media di Bukit Aman.

Tambahnya, orang ramai perlu menaik taraf (update) aplikasi berkenaan kepada versi 2.0 yang sudah dikeluarkan menerusi Android dan Apple Store.

“Orang ramai adalah dinasihatkan untuk menaik taraf atau update aplikasi Gerak Malaysia sedia ada sekarang kepada versi yang terbaharu iaitu versi 2.0,” katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS