SURAT

Isyarat dari sidang DUN Johor esok

Azam Mektar

Diterbitkan

SURAT | Sidang dewan undangan negeri (DUN) di Melaka dan Perak sudah berlalu. Kita dapat nmelihat beberapa aksi menjadi lakaran sejarah di situ selepas Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan tanpa mandat rakyat.

Esok - 14 Mei - lensa pemerhati politik seluruh negara akan beralih ke selatan pula, ke bumi Johor. Ia adalah sebuah lagi kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) yang tumbang selepas berlakunya Langkah Sheraton yang dimulai Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali pada 23 Feb lalu.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat membayangkan persidangan akan berjalan tanpa kejadian "luar biasa" esok. Ini adalah isyarat awal terhadap kerapuhan dan ketidakyakinan 'kerajaan tebuk atap' PN di Johor.

Jika kita melihat kepada peristiwa dalam sidang DUN Melaka dan Perak selepas mandat rakyat dirompak, usul pertukaran speaker menjadi agenda utama kerajaan PN.

Ia menjadi keutamaan demi kelangsungan dan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri terbabit.

Menariknya sidang DUN Johor akan turut dihadiri perdana menteri 'kerajaan tebuk atap' yang juga merupakan Adun Gambir. Mantan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, juga akan bersama sebagai Adun Simpang Jeram.

Ketidaksefahaman Umno dan Bersatu Johor menjadi faktor persidangan DUN kali ini berlangsung dengan sekadar ‘cukup syarat’. Ia diadakan bagi mengelakkan DUN berkenaan terbubar dengan sendirinya selepas sidang terakhir diadakan tahun lalu. Sidang tersebut berakhir pada 1 Dis 2019.

Menteri Besar Hasni Mohammad juga terpaksa memendekkan sidang DUN kali ini tanpa sebarang usul. 

Beliau nampaknya berselindung di sebalik alasan Covid-19 sedangkan hakikatnya ia berlaku atas keretakan sokongan dalam kalangan 11 Adun Bersatu terhadap kepimpinannya.

Kebiasaannya sidang DUN pada Mei atau Jun ini akan diisi dengan pembentangan bajet tambahan untuk kelulusan dewan. Tiada usul atau rundingan dan rang undang-undang, hanya perasmian dewan oleh Sultan Johor esok.

Adakah kegagalan menukar speaker DUN Johor esok akan memanjangkan lagi ‘cakap-cakap’ bahawa nasib menteri besar ke-18 Johor ini seperti telur di hujung tanduk? Sama-sama kita tunggu esok.


AZAM MEKTAR ialah exco Pemuda Amanah Nasional merangkap Exco Pemuda Amanah Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.