Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan warganegara enggan bayar kos kuarantin akan diambil tindakan
Diterbitkan:  May 14, 2020 4:35 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Kerajaan memberi amaran tindakan akan diambil terhadap individu bukan warganegara yang enggan membayar kos hotel dan lain-lain kos ketika menjalani kuarantin wajib.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob merujuk kepada pemegang pas pelawat jangka panjang (LTSVP) dan permastautin tetap (PR) yang bersama keluarga atau pasangan mereka pulang ke Malaysia sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Bagi pasangan dan ahli keluarga rakyat Malaysia yang berstatus Pemastautin Tetap dan Pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang dikuarantin wajib, kos kuarantin perlu ditanggung sendiri.

"Namun, terdapat di kalangan mereka ini yang enggan membayar kos kuarantin. 

"Justeru, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengambil tindakan termasuk membatalkan kemudahan imigresen yang dinikmati sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar harian di Putra

Sebelum ini rakyat Malaysia dan pasangan bukan warganegara yang memiliki LTSVP dan PR dibenarkan memasuki negara ini semasa PKP, namun mereka harus menjalani kuarantin selama dua minggu di hotel atau pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

Sehingga 8 pagi tadi, terdapat 231 pusat kuarantin beroperasi dan menempatkan seramai 14,496 individu.

Daripada jumlah tersebut, 416 adalah rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

Sejak 3 April, seramai 33,807 rakyat Malaysia yang pulang telah menjalani kuarantin dan 26,121 daripada mereka telah dibenarkan keluar dari pusat tersebut.

Perjalanan rentas negeri pasangan bekerja

Sementara itu, mengulas pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan kini melonggarkan perjalanan rentas negeri kepada ibu-bapa yang bekerja di negeri berlainan, Ismail berkata perjalanan berkenaan hanya dibenarkan seminggu sekali buat pihak yang terkesan.

Ismail berkata pasangan yang ingin pulang ke pangkuan keluarga perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis terlebih dahulu.

Muhyiddin pada Ahad lalu berkata permohonan rentas negeri boleh dibuat menerusi Aplikasi Gerak Malaysia atau di balai polis berdekatan.

"Misalnya, suami bekerja di Perlis, isteri di Johor. Oleh kerana larangan perjalanan rentas sempadan negeri, ada suami yang dah tak berjumpa anak dan isteri selama dua bulan.

"Jadi saya nak mengumumkan kita berikan kelonggaran kepada pasangan suami atau isteri ini untuk melakukan perjalanan rentas sempadan negeri bagi tujuan berjumpa dengan keluarga,” kata perdana menteri.

Lihat Komen
ADS