Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli-ahli parlimen pembangkang mendakwa sidang Dewan Rakyat yang bakal dilangsungkan untuk hanya sehari pada 18 Mei nanti akan menelan perbelanjaan belanja yang besar, memandangkan elaun hotel, makanan dan perjalanan yang diperuntukkan buat 222 ahli Dewan Rakyat akan menghadirinya kelak.

Ini termasuklah kos penerbangan untuk 57 ahli parlimen dari Sarawak (31), Sabah (25), dan Labuan (1) ke ibu kota bagi menghadiri acara yang akan berakhir sejurus tamatnya titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong dan majlis perasmian itu.

Lebih-lebih lagi, ahli-ahli parlimen juga perlu tiba di Kuala Lumpur beberapa hari sebelum 18 Mei bagi menjalani ujian Covid-19 dan disahkan sihat bagi menghadiri sidang Dewan Rakyat, yang pastinya akan meningkatkan lagi kos.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii memberitahu Malaysiakini, tiket penerbangannya sahaja melebihi RM2,000 - untuk kelas ekonomi, elaun makan RM100 sehari, elaun mesyuarat RM300, manakala untuk hotel pula, beliau boleh menuntut sehingga RM400 semalam.

“Disebabkan kekurangan penerbangan, saya terpaksa tinggal di KL nanti sekurang-kurangnya lapan hari,” katanya sambil menambah bahawa tuntutan untuk penginapan hotelnya akan mencecah sehingga RM3,200 untuk sidang Parlimen selama satu hari itu.

Secara keseluruhan, kos lapan hari penginapan Yii untuk menghadiri sidang yang singkat itu akan mencecah lebih RM6,000.

Lain ceritanya buat Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh. Beliau akan memandu ke KL dan layak menuntut elaun perjalanan dan petrol sebanyak RM0.85 bagi setiap kilometer serta bayaran tol. Untuk perjalanan pergi balik sejauh 230km, bayaran yang boleh dituntutnya mencecah RM390 untuk duit minyak, dan RM44 untuk tol.

“Saya tinggal di rumah sendiri di KL, jadi tak tuntut elaun hotel, tapi (buat tuntutan) lojing sekitar RM90,” katanya, yang turut boleh menuntut RM300 elaun mesyuarat dan RM100 elaun makanan harian.

Kata beliau, termasuk perjalanan untuk membuat ujian Covid-19 di Parlimen, kosnya mungkin lebih sedikit dari RM1,000, untuk sidang yang singkat itu.

Kasthuri Patto dari Batu Kawan, Pulau Pinang pula, berkata tuntutan perjalanannya sahaja akan menelan jumlah RM690, untuk jarak sejauh 342km serta caj tol sebanyak RM55 bagi perjalanan sehala. Beliau belum memutuskan sama ada akan pulang dahulu selepas ujian Covid-19, atau pun terus tinggal di KL.

“Elaun bilik adalah RM400. Jika lebih, MP kena tanggung sendiri,” kata Kasthuri yang menganggarkan kos keseluruhan menghadiri sidang itu nanti adalah kira-kira RM2,000.

Bagi yang tinggal di Lembah Kelang, seperti ahli parlimen Kepong Lim Lip Eng dan ahli parlimen Petaling Maria Chin Abdullah, kehadiran mereka ke Dewan Rakyat tidaklah menelan begitu banyak wang hasil pembayar cukai.

Ini memandangkan ahli parlimen yang tinggal kurang 32km dari Parlimen tidak layak membuat tuntutan sedemikian.

“Semua ahli parlimen ada elaun pengangkutan bulanan sebanyak kira-kira RM1,800 untuk petrol dan tol. Mereka yang tinggal di Lembah Klang, boleh tuntut dari elaun ini,” katanya yang menambah, elaun tambahan RM300 hanya diberikan apabila mereka hadir ke sidang parlimen, bukannya elaun tetap bulanan.

Terdapat 10 ahli parlimen di Kuala Lumpur dan anggaran 10 hingga 12 di Selangor yang tinggal di kawasan dalam lingkungan 32km dari parlimen.

Sidang Parlimen sehari itu menimbulkan kontroversi apabila banyak ahli parlimen menggesa agar sidang maya diadakan bagi menggantikan sidang tersebut, termasuklah veteran DAP Lim Kit Siang.

Sementara speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin, serta bekas menteri Liew Vui Keong menghantar usul bagi melanjutkan tempoh sidang ke lapan hari, agenda sidang itu disingkatkan hanya untuk titah diraja, tanpa ada ruang untuk sebarang usul atau perdebatan.

Wakil pembangkang turut mendakwa penggantian saat akhir setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat, hanya beberapa hari sebelum sidang 18 Mei itu merupakan perkembangan membimbangkan, kerana ia memberi persepsi bahawa wujud “pengaruh tidak wajar” oleh kerajaan terhadap Parlimen.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS