SURAT

Dendam orang muda dalam politik

Mahdzir Ibrahim

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Mei 2020, 1:09 tengahari

SURAT | Ramai orang muda di bawah usia 40 tahun diberi kepercayaan menjadi pegawai kanan syarikat-syarikat multinasional atau setidak-tidaknya syarikat tempatan yang penting dan mempunyai reputasi tinggi.

Adakah kerana mereka ini lebih berpengalaman berbanding nama-nama popular lain seperti Vincent Tan, Ananda Krishnan, Syed Mokhtar Albukhary, atau Tony Fernandez? Pastinya tidak. Pengalaman orang-orang muda ini tak akan mampu menandingi luas dan dalamnya pengalaman tokoh-tokoh tersebut.

Tetapi mengapa ada di kalangan mereka yang diberi kepercayaan memimpin dan mentadbir satu organisasi besar yang bernilai jutaan ringgit? Bagi saya, ia kerana integriti, professional, kelayakan dan juga kemahiran yang dimiliki.

Di atas semua kelayakan ini, yang paling utama ialah sikap orang muda itu sendiri.

Apakah sikap seorang manusia muda?

Mereka sering dimomokkan sebagai ‘gopoh’ dan ‘berfikiran singkat’ hanya kerana sikap suka berterus terang dalam menerangkan idea dan keinginan yang tidak diselindung dengan retorik berlapis-lapis.

Dalam konteks peranan, sungguhpun bidang perniagaan atau korporat tidak banyak beza dengan politik, namun senario dalam dunia politik sememangnya lebih mencabar dan sukar.

Kesukaran yang saya maksudkan bukan berlegar seputar soal berparti, berorganisasi atau berkempen dan berstrategi, sebaliknya kesukaran ini adalah apabila berhadapan dengan status quo dan hegemoni pimpinan lama.

Jika Umno menanam benih perkauman dan ketakutan di kalangan orang Melayu, begitu jugalah halnya dengan pemimpin lama yang menanam benih kesetiaan atau ketaatan (wala’) yang tak bertepi. Wala’ ini ada dalam semua parti, bukan PAS sahaja.

Jika Umno berselindung dengan tema Melayu-Islam, pimpinan lama kita ini pula berselindung di sebalik ‘prinsip’. Jika ada orang muda yang menunjukkan unsur mempersoalkan pimpinan, mereka dianggap tidak memahami dan menentang prinsip yang dipegang pimpinan. Pastinya orang muda ini akan ‘mati berdiri’.

Benih-benih ini disemai lama sehingga orang muda tumbuh menjadi takut untuk mencabar kebiasaan dan takut mencabar keberadaan. Akhirnya, sikap pimpinan muda tidak ada beza dengan pimpinan lama.

Mereka diajar “masakan tiada angin, manaka pohon boleh bergoyang”. Akan tetapi yang mengajar itu lupa bahawa angin tidak berhembus untuk menggoyangkan pohon, sebaliknya untuk menguji kekuatan akarnya.

Orang muda juga sering dilayan sebagai ‘budak baru belajar’, dengan nasihat agar besar kelak menjadi pemimpin. Tetapi realitinya, mereka tidak yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan orang muda.

Ketidakyakinan ini sebenarnya tanpa sedar menunjukkan bahawa yang mengajar itu sendiri tidak mempercayai sistem pendidikan yang diasaskan mereka sendiri untuk generasi terkemudian. Ia juga bermakna mereka tidak pernah yakin dengan apa yang telah diajarkan kepada kita.

Orang muda perlu mengambil alih pimpinan sedia ada pada hari ini. Bukan sahaja untuk berhadapan dengan seteru politik, tetapi untuk memastikan politik kebencian kaum, pecah-belah dan ketamakan dapat diubah menjadi politik yang menjana kehidupan rakyat dengan menghasilkan pekerjaan untuk semua.

Orang muda harus menutup sejarah enam puluh tahun politik bangsa ini yang penuh dengan pengkhianatan. Orang muda jangan khianati cita-cita penubuhan Malaysia.

Golongan ini harus membalas dendam atas semua kerosakan yang dibuat ini. Balas dendam yang terbaik adalah dengan menjadikan diri anda lebih baik daripada mereka. Sememangnya semua ini kelihatan mustahil, sehinggalah ia terbukti nanti.


MAHDZIR IBRAHIM ialah seorang pelukis dan anggota jawatankuasa DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.