KOLUM

Hari raya dalam kurungan

Hishamuddin Rais

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Mei 2020, 12:02 pagi
0

Ketika saya menulis ini pada Isnin 18 Mei 2020, kita telah berpuasa selama 25 hari. Kita juga telah berkhalwat – tunduk mengikut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke tahap PKPB (Bersyarat) selama 62 hari. Pagi Isnin itu juga, parlimen kerajaan Perikatan Nasional aka kerajaan Muhyiddin Yassin bersidang untuk kali pertama.

Saya menangguhkan sambungan tulisan mengenai xenofobia. Pada hemat saya hari baik bulan baik ini biar saya merakam sejarah tentang puasa dan hari raya.

Untuk rakaman ingatan kita semua puasa dan hari raya tahun kini kita berkurung di rumah atas perintah Majlis Keselamatan Negara. Untuk pertama kalinya kita mengalami puasa dan hari raya dalam suasana yang amat amat berlainan.

Untuk saya raya tahun ini tak ada lemang, tak ada rendang daging, tak ada ketupat, tidak ada tapai, tak ada letupan mercun, tidak memasang pelita minyak malah bunyi ledakan meriam buluh tidak kedengaran.

Semua ini ialah ciri Islam budaya yang saya anuti. Tapi raya tanpa semua ini bukan satu yang baru untuk saya.

Raya senyap sunyi dan tidak sibuk tanpa tamu pasti satu pengalaman baru untuk majoriti umah. Kasihan kanak-kanak tahun ini duit raya pun tidak ada. Inilah yang saya panggil Raya Kobid. Amin.

Mengikut istilah warga Belgium saya ini dipanggil célibataire aka Jantan Bujang bukan Jantan Kobid. Jantan yang memilih gaya hidup membujang sebatang kara tidak akan menghadapi kesunyian bersendirian. Ini tepat sekali untuk diri saya. Malah berpuasa dan dikurung ini telah saya lalui berkali kali.

Kali pertama saya ditahan dan dimasukkan ke dalam lokap adalah dalam bulan puasa September 1974. Satu malam saya ditahan dalam lokap bandar Johor Bahru. 

Kemudian atas arahan mahkamah saya dihantar satu minggu ke Penjara Ayer Molek. Saya bersama rakan aktivis mahasiswa, kini arwah Yunus Ali (gambar, bawah) dikumpulkan dalam satu lokap dengan tiga orang anak muda Melayu.

Kem Komandan Ayer Molek memberi arahan semua tahanan reman Islam dipisahkan daripada yang bukan Islam kerana bulan puasa.

Tahun 1974 saya masih muda. Justeru puasa atau tidak puasa bukan satu yang penting untuk saya seorang penganut mazhab Islam Budaya. Puasa di Ayer Molek pada bulan September itu dipaksakan ke atas diri saya oleh arahan sistem penjara. Kalau bebas di luar besar kemungkinan saya tidak akan berpuasa.

Kemudian pada 10 April 2001 saya ditahan. Kali ini di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA). Saya ditahan bersama sembilan yang lain. Dua bulan kemudian 4 orang dibebaskan. Tapi saya bersama 5 yang lain dihantar ke Kem Tahanan Kamunting Taiping (Kemta) untuk ditahan selama dua tahun.

Lepas dua bulan kurungan bersendirian

Ezam Mat Nor, Saari Sungip, Tian Chua dan saya sampai ke Taiping dahulu. Ini setelah siasatan dua bulan kami selesai. Kemudian diikuti oleh Lokman Adam dan Ustad Dr Badrul Amin.

Sesampai di Kamunting Hishamuddin Rais dikenali sebagai Tahanan 2504. Panggilan nama diubah untuk memastikan kami tidak memiliki identiti diri. Hanya dikenali dengan angka.

Malam pertama Ezam Mat Noor, Saari Sungip, Tian dan saya dimasukkan ke dalam bilik yang sama. Kawasan ini dipanggil Kawasan Blok 4B. 

Bayangkan kegembiraan setelah dipenjara bersendirian seorang diri selama dua bulan kini dapat berbual dengan manusia. Dan bebas daripada mendengar lebong dan maki hamun SB yang menyiasat kami.

Kegembiraan tak sampai seminggu. Arahan baru sampai. Kami dipisahkan. Saari dan Ezam dipindah ke Blok 4A. Tian Chua dan saya terus tinggal di Blok 4B. Logiknya jika kami berkumpul maka kami akan merancang bagaimana hendak menjatuhkan Mahafiraun aka Mahathir Muhamad.

Blok 4B ini ada dua bangunan. Setiap bangunan seluas bilik darjah. Di setiap bangunan ada lima tandas dan kolah air mandi. Ertinya dibuat untuk menahan ramai orang. Begitu juga blok sebelah - Blok A. Keluasan blok ini rasa saya empat kali padang badminton. Tapi kami hanya empat orang. Ruang satu blok amat lumayan untuk dua penghuni.

Saya dikurung bersama Tian Chua. Minggu pertama memang seronok. Bersembang dan bertukar kesah soal siasat. Kemudian habis cerita. Habis pekara nak ditanya. Kami tak ada pilihan wajib berhadapan memandang muka yang sama.

Bayangkan, pada bulan pertama kami dikurung tidak ada bahan bacaan. Ketika ini saya mula berkawan dengan semut. Memerhatikan perjalanan semut masuk ke lubang. Memberi semut serpihan roti. Melihat betapa kuatnya semut berupaya mengangkat serpihan roti yang lebih besar daripada badan sendiri.

Empat bulan kemudian, 17 November 2001 masuk bulan puasa. Kali ini saya memang berniat hendak berpuasa. Rokok telah saya tinggalkan semenjak petang 10 April 2001 - petang saya ditangkap. Dengan berpuasa saya mahu membersihkan tubuh badan yang telah saya cemari. Untuk penganut Islam budaya puasa ialah proses detoksifikasi.

Untuk warga Blok 4A - Ezam dan Saari Sungip tak ada masalah. Mereka berdua akan sama berpuasa. Tapi bagaimana saya dan Tian Chua. Ketika berpuasa dalam Penjara Ayer Molek bulan September 1974 dahulu saya dikumpulkan dalam satu sel.

Bayangkan jika Ezam, Saari, Lokman, Badrul, Tian dan saya akan dimasukkan ke dalam satu blok. Ini mimpi basah yang dikhayalkan. Tetapi dikurung di Kemta Taiping mustahil mimpi basah ini akan berlaku. Arahan Kementerian Dalam Negeri aka Pak Lah - enam tahanan reformis wajib dikurung dalam tiga blok yang berasingan

Satu minggu sebelum puasa, satu lubang telah ditebuk di pintu untuk membolehkan dulang makanan masuk. Kami dikurung dalam bilik dari jam 7 pagi hingga 7 malam. Kerana itu dulang sahur wajib disorong melalui lubang ini jam 12.00 malam tanpa membuka pintu.

Untuk menyenangkan pengurusan makanan dalam blok saya, Tian Chua mahu ikut berpuasa sama.

Tian diminta menulis surat rasmi kepada Komandan Kemta untuk berpuasa. Jangan ketawa bila membaca babak ini. Ketika dikurung nak berpuasa pun wajib tulis surat. Inilah surah berkurung dalam bulan puasa Kemta.

Permintaan Tian Chua ditolak. Tian Chua kapir. Mungkin jika Tian berpuasa ini akan mengelirukan Si Malaikat yang menulis dosa dan pahala. Tian menulis surat rayuan. Ini beberapa hari sebelum puasa bermula.

Akhirnya pihak Kemta meluluskan permintaan Tian. Saya gembira kerana saya boleh tidur awal dan Tian boleh mengambil dulang sahur. Amin

Buka puasa bersama

Kemudian untuk melunakkan berpuasa ketika dikurung kami membuat rayuan agar kami berenam dapat berbuka bersama-sama. Kami memilih blok Ezam dan Saari. Awalnya permintaan ditolak. Selama tiga hari kami berpuasa di blok masing masing. Akhirnya hati Pak Lah dan menantunya terbuka. Rayuan kami diterima. Kami boleh berbuka secara berkumpulan.

Tapi ada syarat. Ini macam PKPB – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Syarat kami ialah semua ikut arahan. Kami akan dibawa ke Blok 4A sebelum berbuka. Lepas berbuka wajib pulang ke blok masing masing. Tidak lebih dari jam 9.00 malam kami wajib masuk ke sel.

Di sini saya rakamkan sejarah - pada bulan puasa November 2001 untuk pertama kalinya saya dapat bertemu dengan Ustad Badrul dan Lokman Adam. Mereka dikurung dalam Blok 3B yang amat jauh dari Blok4.

Juga dalam bulan puasa inilah pertama kalinya saya baru dapat mengenali dan berbual dengan Ustaz Badrul dan Lokman Adam. Walau pun dalam kenyataan media Ketua Polis Negara Norian Mai mengatakan bahawa kami ini dalam satu kumpulan sulit.

Kumpulan reformis ini dituduh sedang merancang untuk membuat huru hara. Kami dituduh akan menggunakan bom, molotov cocktail dan bola besi untuk menjatuhkan Mahafiraun.

Puasa ketika dikurung di Kemta penuh nikmat dan seronok untuk saya. Bukan nikmat makanan tapi nikmat dapat bertukar pandangan dan mendengar pendapat yang lain tentang ke arah mana gerakan reformasi ini akan dihala.

Dalam bulan puasa tahun 2001 inilah kali pertama kami dapat bertanya secara jujur tentang pengalaman Ezam sebagai setiausaha politik Anwar Ibrahim. Saya cukup yakin dan percaya kepada surah dan kejujuran sosok yang bernama Ezam Mat Noor.

Ketika dikurung dalam bulan puasa ini Ezam telah menyakinkan kami semua bahawa tuduhan liwat terhadap Anwar Ibrahim hanya konspirasi Mahafirauan.

Setiap malam selepas berbuka puasa, lepas sembahyang dan sesudah makan malam kami akan menggunakan masa yang singkat untuk berbincang.

“Kalau Anwar gila nak jadi PM… Anwar takan lawan Mahathir….Anwar ikut sahaja apa kata Mahathir…Anwar boleh tunggu…” Ayat ini saya dengar keluar dari mulut Ezam di Kamunting pada bulan puasa November 2001 di Blok 4A.

Orang ramai juga sering mendengar ayat yang sama dalam ceramah Ezam Mat Noor.

Pada hari baik bulan baik November 2001 - saya telah di yakinkan tentang kejujuran Anwar Ibrahim oleh setiausaha politiknya. Tentang keimanan dan betapa waraknya sosok yang bernama Anwar Ibrahim. Dalam bulan puasa ini Ezam melupuskan semua was was dan prasangka saya terhadap sosok yang bernama Anwar Ibrahim. Amin.

Tengah kami berbincang tetiba lampu picit datang menyuluh. Setiap malam kami akan bertengar dengan Cikgu aka warder. Mereka akan datang dengan lampu picit sebelum jam 9 malam. Mereka akan meminta kami ikut arahan pulang ke blok masing masing.

Inilah tanda bukti budaya berkurung. Kami juga sama seperti kawasan Pasar Borong Selayang atau Selangor Mansion. Kami di Kemta dipagari kawat berduri. Ada tembok dan ada dinding zink yang dibaluti oleh kawat berduri. Kawat berduri memagari kami bukan kerana Kobid tapi kerana fikrah kami.

Satu minggu sebelum puasa tamat kami diberitahu bahawa keluarga kami boleh datang membawa makanan pada pagi raya. Kami juga diberi tahu bahawa sembahyang hari raya akan diadakan di kawasan tahanan jenayah.

Mata-mata perhati

Kami mencuba nasib sekali lagi. Kami minta kebenaran dari Kem Komandan untuk kami berenam bermalam di Blok 4A pada malam raya. Permintaan kami diluluskan.

Pada petang 15 Disember 2001 Tian Chua dan saya membawa bantal, kain selimut dan pakaian kami untuk berpindah semalam ke bilik Ezam dan Saari di Blok 4A.

Pada malam raya itu kami cukup seronok. Esok hari raya dan kami dapat bermalam bersama-sama kali pertama di Kemta.

Pagi esoknya Cikgu sampai dan kami diringi ke kawasan tahanan banduan. Kawasan amat luas. Dipagari oleh kebun sayur. Kali pertama kami sampai ke sini pada 31 Ogos 2001. Ini waktu Hari Sukan 31 Ogos.

Dari kawasan ini kami dibawa ke satu bangunan kayu yang menjadi masjid kami. Yang membaca khutbah raya ialah Ustaz Kemta. Saya tak ingat apa isi khutbah pada pagi itu.

Mata saya merayau untuk mengenali tahanan dari blok lain. Di belakang lilitan kawat berduri saya tahu ada tahanan Mujahideen, tahanan Jemaah Islamiah, tahanan Al-maunah dan tahanan Syiah.

Selesai sembahyang kami bersalam-salaman. Tahanan politik dan banduan semua tersenyum gembira. Hati parah jiwa resah tanpa anak bini dan kaum keluarga dilupakan buat sementara. Kami tak sempat bercakap banyak. Cikgu pengawal kami ingin bergerak. Mata-mata terus memerhatikan kami dari jauh untuk memberi laporan kepada Pak Lah.

Dari Masjid Badrul dan Lokman pulang ke Blok 2B. Ezam, Saari dan saya ke Blok 4A. Tian Chua menunggu. Kemudian saya dan Tian pulang ke tempat asal kami Blok 4B.

Ahad ini kita berhari raya – Raya Kobid. Bergembiralah kerana kita selesai berpuasa. Bergembiralah kita masih selamat dari Karona. Bergembiralah kerana semua ini satu pengalaman. Hidup ini satu perjalanan untuk sampai bukan tujuan. Perjalanan itulah kebahagian. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.