SURAT

SURAT | Berlumba-lumba mengampu kerajaan Muhyiddin

Azam Mektar

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Mei 2020, 2:21 pagi

Bagai cendawan tumbuh selepas hujan, berlumba-lumba penganalisis politik membuat ulasan, mengampu kerajaan tanpa mandat rakyat pimpinan Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali.

Semalam mereka menyatakan PH seharusnya menumpukan sahaja PRU15 untuk mengambil alih kerajaan dan bukan masa ini demi kestabilan negara ketika berhadapan dengan ancaman kegawatan ekonomi serta Covid-19, sedangkan sidang parlimen yang dijalankan PN pun sekadar “cukup syarat”.

Hari ini mereka menggambarkan masa depan politik Dr Mahathir Mohamad kian malap, terutamanya selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengesahkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi parti berkenaan.

Ia ditambah lagi dalam satu kenyataan Wan Saiful Wan Jan yang dipetik Malaysiakini, menyatakan anggota Parlimen Bersatu, yang duduk di kerusi pembangkang pada sidang Dewan Rakyat hari Isnin lalu, perlu dilucutkan keahlian serta-merta.

Wan Saiful Wan Jan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang kalah di parlimen Pendang pada PRU14 lalu lupa, Dr Mahathir adalah individu yang sangat berjasa dalam mengasaskan parti Bersatu sehingga tertubuhnya secara rasmi pada 8 September 2016. Sedangkan beliau hanya muncul bersama Bersatu pada Mac 2018 kurang tiga bulan sebelum PRU14 dan terus menjadi calon.

Wan Saiful Wan Jan 

Untuk rekod Bersatu menang 13 kerusi parlimen pada PRU14 menggunakan logo PKR, kini merosot satu kerusi selepas kekalahan pada PRK lepas di Tanjung Piai.

Sebenarnya Muhyiddin Yassin hanya bersama enam MP asal Bersatu - Shahruddin Md Salleh, Rina Harun, Redzuan Yusof, Faizal Azumu, Muslim Yahya dan Eddin Syazlee Shith. Selebihnya MP Bersatu kini terdiri daripada pengkhianat PKR pimpinan Azmin Ali dan MP Umno yang keluar parti dan bersama Bersatu selepas terbentuknya kerajaan PH.

Ini adalah gambaran betapa goyahnya keyakinan PN dengan serangan Mahathir dan kini dia menjadi objek untuk dilemah dan disingkirkan dari parti Bersatu demi kelangsungan cita-cita peribadi Muhyiddin Yassin.

Sudah pasti PH tidak akan membiarkan keadaan ini selepas Mahathir menyatakan komitmen beliau, setia bersama rakan-rakan yang berjuang bersama sebelum PRU-14 lagi.

Membiarkan negara ini terus dikuasai PN adalah tindakan tidak bermaruah, kata Faiz Fadzil. Sudah pasti komponen PH perlu menghulurkan tangan menerima Mahathir tanpa ragu-ragu, seandainya Mahathir dan rakan Bersatu yang lain terus sanggup menjunjung agenda perjuangan PH dan mengembalikan kerajaan Mandat Rakyat.

Saya menyarankan Mahathir dan rakan-rakan Bersatu bersama mana-mana parti komponen PH sekiranya mereka benar akan dipecat seperti yang dinyatakan bekas ketua pegawai eksekutif Ideas. 

Sudah pasti saya juga akan berbisik kepada pimpinan Amanah untuk mempelawa Mahathir bersama parti ini.


AZAM MEKTAR ialah exco Pemuda Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.