Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Klip video lagu raya Adham buat pelakon alami 'ketumbuhan'

Ramieza Wahid

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Mei 2020, 2:04 pagi

'Bara' klip video memaparkan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, merakamkan suara untuk lagu raya nampaknya belum reda.

Muncul sejak beberapa minggu lalu, ia memaparkan ahli parlimen Tenggara itu menyanyi dalam studio rakaman bersama seorang artis, Sufian Suhaimi.

Klip video menggandingkan dua anak Johor itu kebanyakannya mengundang kecaman atau bahan persendaan.

Terkini seorang pelakon filem dan pentas, Tony Eusoff, menyindir klip tersebut melalui ciapannya di media sosial.

"Otak saya baru saja mengalami ketumbuhan selepas menonton ini," ciapnya ringkas pagi tadi.

Setakat lewat petang ini ia diulang ciap sebanyak 224 kali dan mendapat 384 tanda suka.

Dalam video yang tular itu Adham - yang berbaju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok - mendendangkan lagu bertemakan Aidilfitri menggunakan irama lagu Despacito.

Di sebelahnya ialah Sufian yang juga penyanyi lagu Takkan Merubah.

Ia menjadi lebih menarik perhatian kerana umat Islam akan meraikan Aidilfitri dua hari lagi.

Sementara itu Adham ketika dihubungi menjelaskan lagu tersebut didendangkannya sudah agak lama dan bukannya pada tahun ini.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba

Kata beliau, rakaman berkenaan dibuat bersama-sama Sufian pada 2017 dan untuk pengundi di kawasan yang diwakilinya namun ditularkan kembali akhir-akhir ini.

“Itu lama punya lagu, masa 2017. Lagu Despacito, itu waktu saya nyanyi dengan Sufian Suhaimi dan untuk kawasan saya Tenggara.

“Itulah orang pandai-pandai nak keluarkan balik, saya tak ada buat lagu baru pun,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Hasil semakan Malaysiakini mendapati bahawa lagu tersebut merupakan terbitan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada Jun 2017.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.