Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Tinggi KL tolak permohonan semak DNAA Riza Aziz

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak permohonan meyemak semula keputusan mahkamah sesyen yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) anak tiri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz, yang dikemukakan seorang peguam kanan.

Dihubungi Malaysiakini tengah hari tadi, peguam terbabit, Shaharudin Ali, mengesahkan hal berkenaan.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai penolakan berkenaan melalui sepucuk surat yang dihantar timbalan pendaftar mahkamah tinggi jebayah bertarikh semalam (21 Mei).

"Betul," katanya melalui pesanan mesej kepada Malaysiakini.

Shaharudin juga berkata, tiada alasan diberikan atas penolakan berkenaan.

"Saya fikir tidak adil untuk hakim mengetepikan surat saya tanpa memberikan sebarang alasan ke atasnya," kata Shaharudin.

Keputusan menolak permohonan semakan itu juga, katanya, adalah sesuatu yang serius dan akan memberi kesan. Justeru kata Shaharudin, hakim perlu memberikan alasan atas keputusan berkenaan.

"Ini adalah pandangan saya sebagai peguam," katanya lagi.

Kemuka permohonan 20 Mei

Pada masa sama Shaharudin berkata dia sedang mempertimbangkan apa yang akan dilakukan selepas ini.

"Saya akan menelitinya dan akan mengambil tindakan lanjut," katanya.

Riza yang juga anak Rosman Mansor didakwa di mahkamah atas atas lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat pelaburan milik Malaysia, 1MDB.

Jumlah yang terlibat adalah sebanyak AS$248 juta (RM1.25 bilion).

Melalui keputusan DNAA mahkamah - tertakluk kepada beberapa syarat dipersetujui - pada 14 Mei lalu kerajaan Malaysia dijangka menerima semula aset dari luar negara yang diperolehi melalui dana 1MDB berkenaan.

Shaharudin Ali

Nilai yang akan diterima balik oleh kerajaan Malaysia dianggarkan AS$107.3 juta (RM465.3 juta). 

Sementara itu menurut surat mahkamah kepada Shaharudin itu, ia menyatakan permohonan Shaharudin - bertarikh 20 Mei - dirujuk kepada hakim Mahkamah Tinggi (Jenayah) Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan.

"Setelah YA hakim merujuk dan meneliti surat tuan, YA hakim tidak berhasrat untuk menjalankan semakan berhubung perkara ini.

"Oleh itu permohonan semakan ini adalah ditolak," kata surat yang ditandatangani Catherine Nicholas.

Pada 20 Mei Malaysiakini melaporkan Shaharudin memfailkan permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang membenarkan DNAA ke atas Riza.

Untuk rekod Riza merupakan penerbit filem Hollywood yang menghasilkan filem seperti The Wolf of Wall Street dan Dumb and Dumber To.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS