Malaysiakini
SUKAN

Hilang punca pendapatan, Kafa rayu bantuan k'jaan Kelantan

Bernama

Diterbitkan

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menagih bantuan kewangan daripada kerajaan negeri bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh persatuan itu selepas hilang punca pendapatan utama akibat penularan pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, berkata rayuan untuk mendapatkan bantuan itu adalah bagi meringankan bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung ketika ini terutamanya selepas penaja utamanya, After Image Sdn Bhd menarik diri baru-baru ini.

"Kami merayu kerajaan negeri bantulah kami dalam kemelut kewangan yang meruncing ini. Sayangilah Kelantan FA yang pernah menaikkan nama Kelantan suatu ketika dahulu," katanya dalam kenyataan, di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan krisis kewangan KAFA semakin parah selepas Datuk Wan Rakemi Wan Zahari meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd berkuat kuasa serta-merta.

Peletakan jawatan itu juga secara tidak langsung menyaksikan After Image sebagai pihak berkepentingan terbesar dalam Team TRW Sdn Bhd turut menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi pasukan.

Ahmad Muzakkir berkata bantuan kewangan itu diperlukan kerana persatuan bergantung sepenuhnya kepada rakan penaja serta hasil penjualan tiket dan jersi.

"Sekarang saingan Liga-M (Liga Malaysia) ditangguhkan menyebabkan aliran kewangan tidak masuk ke akaun KAFA.

"KAFA adalah milik rakyat, mereka juga turut bersedih dengan nasib yang menimpa kami, ramai di antara mereka telah menterjemahkannya dengan derma yang dilancarkan sebelum ini," katanya.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.