Malaysiakini
BERITA

MB Selangor diminta campur tangan selesaikan isu tapak parkir bas

B Nantha Kumar

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Jul 2020, 9:45 pagi

Seorang pengusaha bas pesiaran hari ini menggesa Menteri Besar Selangor Amirudin Shari campur tangan bagi menyelesaikan tuntutan dua bidang tanah di Ara Damansara yang kini digunakan sebagai kawasan parkir bas.

S Krishnasamy, 55, berkata dia menggunakan tapak itu sebagai kawasan parkir bas dan bengkel sejak 2013 sebelum ia diwartakan sebagai tempat pemuliharaan haiwan dan kubur anjing.

"Saya pengusaha bas sejak 20 tahun. Pada 2013, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mencadangkan dua tapak ini sebagai kawasan parkir bas selepas tapak parkir bas sebelum ini di Kawasan Industri Ara Damasara menjadi tidak sesuai.

"Dua tapak ini masing-masing milik Indah Water Konsortium (IWK) dan Jabatan Parit dan Saliran (JPS). Dan saya pernah membuat permohonan untuk pemilikan hak sementara sebanyak dua kali pada tahun 2016 dan 2017 ditolak.

"Tapi, pelik apabila tiba-tiba Pejabat Tanah dan Galian pada Januari lalu memberitahu kami bahawa dua tapak ini diwartakan kepada pusat pemuliharaan haiwan dan memberi notis pengusiran selama dua minggu yang bakal tamat esok.

"Bagaimana permohonan awal saya sebanyak dua kali ditolak tetapi diwartakan kepada pusat pemuliharaan haiwan?" soal beliau dalam satu sidang media hari ini.

Terdahulu, pagi tadi Krishnasamy bersama MIC Selangor mengadakan protes di tanah tersebut untuk mendesak kerajaan negeri supaya campur tangan dalam isu tersebut.

"Sejak, 2016 saya pernah menulis surat kepada Azmin Ali (menteri besar ketika itu) dan juga mengadakan perjumpaan dengan Amirudin. Kedua-dua mereka memberi respons positif.

"Tetapi, tiba-tiba kedua-dua tapak ini diwartakan kepada orang ketiga sedangkan saya telah menghabiskan lebih RM100,000 untuk membersihkan kawasan ini," katanya.

Tiada tapak untuk parkir

Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Menteri Besar untuk mendapatkan penjelasan.

Krishnasamy menambah dia sedia berkongsi dua tapak ini dengan pusat pemuliharaan haiwan itu.

"Ada dua tapak. Saya tidak ada masalah kongsi salah satu daripadanya bersama mereka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MIC Selangor M B Rajah mempersoalkan rasional di sebalik keputusan kerajaan negeri mewartakan tapak IWK dan JPS sebagai pusat pemuliharaan haiwan.

"Saya telah melawat kawasan itu, ia terletak berdekatan sungai dan pusat penapisan air.

"Bagaimana jika najis haiwan itu bercampur di sungai? Lebih 55 peratus penduduk di kawasan ini adalah Muslim," katanya.

Rajah menambah MIC Selangor berharap ada penyelesaian dapat dicapai untuk kemudahan kepada semua orang.

Katanya kawasan Ara Damansara tidak mempunyai tapak parkir bas atau lori muatan berat.

"Maka, kerajaan negeri perlu menyediakan tapak parkir kepada mereka ini sebelum usir mereka," katanya.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.