Malaysiakini
BERITA

Dr M akan ke Sabah, mahu 13 Adun berpaling tadah dihukum

Diterbitkan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa beliau akan mengunjungi Sabah menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan di negeri itu.

Mahathir berkata bahawa 13 anggota dewan undangan negeri (Adun) yang berpaling tadah kepada pembangkang di negeri itu yang menyebabkan Ketua Menteri Shafie Apdal terpaksa membubarkan DUN bagi menggagalkan cubaan rampasan kuasa, akan dihukum.

"Saya akan pergi ke Sabah kerana saya mendapati bahawa apa yang berlaku di Sabah adalah contoh rasuah yang sangat buruk.

"Saya dapati 13 Adun yang keluar dari parti kerajaan negeri ditawarkan wang. Mereka disogok. Ini sesuatu yang ingin kita hapuskan.

"Mereka akan ditolak sepenuhnya oleh rakyat Sabah kerana mereka tidak boleh dipercayai. Mereka ini hanya ikut duit, bukan ada prinsip. Apabila mereka mendapat duit, mereka melompat," katanya semasa rancangan bual bicara dalam talian yang dianjurkan oleh kumpulan usahawan MyPerintis.

Tanpa menyebut nama secara spesifik, Mahathir mendakwa pihak yang bertanggungjawab membuat sogokan itu adalah orang yang sama yang sebelumnya memerangi rasuah.

"Saya dapati bahawa amalan rasuah lama yang ingin kita hapuskan telah muncul di Sabah.

"Apa yang menyedihkan adalah orang yang sebelum ini memerangi rasuah adalah orang yang kini terlibat secara langsung dalam memberi rasuah," katanya.

Mahathir berkata, wakil rakyat boleh meninggalkan parti mereka dalam isu-isu prinsip dan bukannya kerana ditawarkan habuan.

Mengulas isu berasingan, Mahathir berkata moratorium pinjaman tidak dapat bertahan selama-lamanya dan perniagaan mesti mengatur semula operasi dalam tempoh moratorium untuk persiapan sebelum moratorium berakhir.

Mahathir berkata antara langkahnya adalah beralih kepada penjualan dalam talian.

Bagaimanapun, Mahathir mengakui tidak semua peniaga dapat melaksanakannya.

"Sebagai contoh, orang yang mempunyai gerai di tepi jalan, mereka tidak dapat melakukan apa-apa lagi.

"Saya bersimpati dengan mereka yang tidak dapat beralih ke perniagaan lain tetapi perlu ingat bahawa moratorium bukan selama-lamanya.

"Pada tahap tertentu, anda harus membayar hutang anda," katanya

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.