Malaysiakini
BERITA

Pati di Sabah diseru pulang ke negara asal sebelum op besar-besaran

Kow Gah Chie

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Ogs 2020, 12:06 pagi

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin memberi amaran kepada pendatang tanpa izin di Sabah untuk kembali ke negara asalnya sebelum pihak berkuasa memburu mereka.

"Saya ambil tindakan untuk memastikan tidak ada lagi dokumen yang lain selain yang telah pun ada.

"Dan kita selesaikan ini, supaya sesiapa saja yang tahu mereka tidak mempunyai dokumen tetap tinggal di Sabah cepat-cepatlah pulang ke negara asal sebab kita akan buat operasi besar-besaran," katanya memberitahu Dewan Rakyat semalam.

Beliau juga berkata kerajaan tidak akan mengeluarkan dokumen baru selain daripada yang telah dikeluarkan sebelum ini.

Beliau menjelaskan perkara ini selepas ahli parlimen daripada kedua-dua pihak menyatakan kebimbangan dan menentang cadangannya untuk menyeragamkan tiga dokumen yang dikeluarkan kepada pelarian dan pendatang yang tiba di Sabah sejak tahun 1970-an.

Pada 14 Julai, Hamzah dilaporkan berkata kerajaan tidak akan mengeluarkan dokumen baru terhadap pendatang tanpa izin yang ada di Sabah.

Hamzah, bagaimanapun, menekankan kepentingan untuk hanya menggunakan kertas IMM13 sekarang sebagai dokumen standard untuk mengatur 136,000 pendatang yang memegang pelbagai dokumen di Sabah.

Hansard Parlimen bertarikh 14 Julai menunjukkan Hamzah mengambil pendekatan yang lebih lembut dalam menangani masalah pendatang lama, terutama yang melibatkan kanak-kanak tanpa kerakyatan.

"Penting kepada kita adalah untuk menentukan supaya anak-anak yang stateless ini, kita tengok– kalau kita sudah tidak boleh beri apa sekalipun kelayakannya, kita akan pastikan mereka sekurang-kurangnya ada identiti untuk mereka hidup dalam negara ini.

"Pada saya, they are citizens of the world sama ada mereka di Sabah atau di mana pun, mereka masih lagi manusia. 

"Oleh sebab itu, saya hendak pastikan segala apa yang dilakukan ini supaya setiap mereka yang ada dalam negara kita ini mempunyai identitinya,” kata Hamzah.

Selain IMM13, pendatang juga memiliki Kad Burung-Burung yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri dan sijil banci yang dikeluarkan antara tahun 1970-an hingga awal tahun 2000.

Terdapat juga laporan bahawa pendatang tanpa dokumen terus menyelinap masuk ke sempadan Sabah. Isu ini dianggap sensitif terutamanya ketika rakyat Sabah akan mengundi pada pilihan raya negeri akan datang.

Pada bulan Januari, Warisan tewas pada pilihan raya kecil Kimanis sebahagiannya disebabkan oleh isu Pas Sementara (PSS) Sabah yang dibangkitkan BN.

Pada masa itu, Pakatan Harapan merancang untuk menyelesaikan masalah pendatang dengan mengeluarkan pas sementara yang boleh diperbaharui setiap tiga tahun.

Sebelumnya, Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort) membantah rancangan Putrajaya untuk menyeragamkan semua dokumen pendatang.

Beliau berkata rakyat Sabah bimbang sekiranya suatu hari nanti pendatang lebih ramai daripada anak tempatan di negerinya sendiri,

"Kita tidak tahu mereka datang dari mana. Kami bimbang yang kami akan menjadi minoriti di negeri sendiri," katanya.

[Baca berita asal]

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Iklan