Malaysiakini
BERITA

Pua kemuka usul tubuh jawatankuasa khas pemulangan aset 1MDB, SRC

Yasmin Ramlan

Diterbitkan

PARLIMEN l Tony Pua (DAP-Damansara) menyerahkan notis cadangan untuk mengemukakan usul supaya sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas ditubuhkan segera untuk memantau dan menilai tindakan terhadap pemulangan aset berkaitan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

"Harap satu Jawatankuasa Khas Parlimen memantau pihak kerajaan dan diharapkan pihak tuan Speaker memberi usul ni dibahaskan sama ada jawatankuasa khas ini dapat ditubuhkan ataupun tidak," katanya pada sidang media bangunan Parlimen hari ini.

Menurut Pua, usul tersebut merupakan pindaan ke atas usul menjunjung kasih titah ucapan diraja atas nama Ahmad Maslan (Umno-Pontian) yang akan dibentangkan pada Isnin depan.

Bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata, pindaan usul tersebut menambah perkataan "dan memutuskan supaya sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas ditubuhkan segera untuk memantau, menilai dan mengesyorkan cadangan kepada kerajaan terhadap tindakan-tindakan yang telah dan akan diambil oleh pihak kerajaan untuk memulangkan wang dan aset- aset yang berkait dengan 1MDB dan SRC International, termasuk penyelesaian dengan Goldman Sachs, International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dan Riza Aziz."

"Dalam minggu-minggu yang terkini sudah kita lihat pihak kerajaan PN telahpun mengambil tindakan mencapai penyelesaian dengan pelbagai pihak dan dalam isu-isu penyelesaian tentang 1MDB dan SRC, penyelesaian ini telah bangkitkan banyak soalan dan kerisauan baahwa hak negara Malaysia telahpun terjejas akibat penyelesaian tersebut," katanya.

Pua mengambil contoh penyelesaian dengan Goldman Sachs ia akan membayar AS$2.5 bilion kepada kerajaan dan juga menjamin bahawa dalam pulangan aset antarabangsa pada Malaysia, nilai pulangan aset itu akan mencapai sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion.

"Dalam perkara ini, bekas peguam negaraTommy Thomas telah sebut bahawa permintaan Malaysia pada Goldman adalah AS$7.5 bilion dan tindakan mahakamah telah diambil ke atas Goldman dan pengarah mereka.

"Beliau (Tommy) merasa bahawa kes-kes tu telah digugurkan sebelum dibangkitkan dalam mahkamah, ia mampu menjejaskan negotiation power (kuasa rundingan) antara pihak kerajaan dengan Goldman.

"Oleh sebab itu jumlah tuntutan yang kita peroleh AS$2.5 bilion adalah berkurangan," katanya.

Di bawah penyelesaian berjumlah AS$3.9 bilion (RM16.62 bilion), Goldman Sachs akan membayar AS$2.5 bilion (RM10.66 bilion) secara tunai kepada kerajaan Malaysia manakala baki AS$1.4 bilion (RM5.97 bilion) sebagai "jaminan" untuk memastikan aset yang diperoleh menggunakan dana 1MDB akan dikembalikan ke Malaysia.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini berkata, wang tunai AS$2.5 bilion akan diterima dalam masa dua bulan manakala AS$1.4 bilion akan dibayar selepas aset tersebut dipulangkan kepada kerajaan.

Pua pada masa sama turut membangkitkan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, dalam kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.

"Jadi sebagai parlimen yang berwibawa, kita harap sebuah jawatankuasa pilihan khas akan ditubuhkan di mana parlimen dapat jalankan fungsi parlimen untuk pantau pihak executive kerajaan," katanya.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.