Paling Popular
Terkini

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos gagal membatalkan saman fitnah terhadapnya yang difailkan oleh bekas menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim Yeo Bee Yin.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini menolak permohonan Jamal untuk membatalkan saman itu selepas peguam untuk kedua-dua pihak berhujah petang ini.

Bercakap kepada media selepas prosiding, peguam Jamal, Mohammad Nasser Yusof mengesahkan Hakim Rozana Ali Yusof menolak permohonan yang dibuat pemimpin Umno itu.

"Mahkamah menolak permohonan itu berdasarkan alasan bahawa ia tiada merit.

"Mahkamah menetapkan kos sebanyak RM2,000 (yang perlu dibayar oleh Jamal kepada Yeo)," kata Nasser.

Peguam Yeo, Sankara Nair turut mengesahkan mahkamah telah menolak permohonan membatalkan saman itu.

Katanya, mahkamah menetapkan 9 Oktober depan untuk tarikh pengurusan kes.

Yeo, yang juga ahli parlimen Bakri, dan Jamal tidak hadir dalam prosiding mahkamah hari ini.

Perbicaraan kes saman ini akan didengar di hadapan hakim Rozana selama lima hari dari 9 November depan.

Pada 8 Julai dilaporkan bahawa Jamal telah memohon mahkamah supaya membatalkan tuntutan saman fitnah yang dibuat ahli parlimen DAP itu, yang berkaitan dengan tuduhan penyalahgunaan dana dari Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Dilaporkan Jamal memfailkan permohonan itu dengan alasan Yeo didakwa membuat tuntutan terlalu awal kerana SPRM masih menjalankan siasatan mengenai isu tersebut.

Yeo memfailkan tindakan saman fitnah itu pada 14 Jun 2017, meminta ganti rugi RM5 juta daripada Jamal atas kenyataan yang berkaitan dengan isu Yawas.

Pada pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa bahawa defendan telah mengeluarkan kenyataan fitnah pada 21 Mac 2017, yang diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita dalam talian, dan di laman Facebook Jamal.

Yeo mendakwa kenyataan itu, antara lain, memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan merupakan seorang yang tidak mempunyai etika serta tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, Yeo memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya mengulangi kenyataan tersebut.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS