Malaysiakini
BERITA

13 lagi positif, 2 kluster baru

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Ogs 2020, 11:19 tengahari

Setakat tengah hari tadi, 13 lagi individu dikesan positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak itu yang pernah direkodkan di Malaysia adalah 9,083.

Daripada 13 kes baru yang dilaporkan, sembilan merupakan kes import melibatkan lima warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara.

Kes import itu melibatkan individu yang pulang dari China (2 kes), India (2 kes), Jepun (2 kes), Ireland (1 kes), Indonesia, Yaman (1 kes). Kesemua kes dikesan di Semenanjung kecuali individu pulang dari Yaman (dikesan di Sarawak).

Baki kesemua empat kes baru penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia.

Daripada empat penularan kes baru itu, tiga dikesan di Pulau Pinang dengan dua daripadanya adalah dari Kluster PUI Sivagangga, dan satu kes daripada Kluster Kurau.

Satu kes penularan dalam negara dikesan di Putrajaya, iaitu daripada Kluster Meranti.

Kluster Kurau (di Pulau Pinang dan Perak) dan Kluster Meranti (di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya) merupakan kluster baru. Ini menjadikan kluster aktif kini adalah sebanyak 25.

Mengambil kira 8,784 kes pulih termasuk sembilan yang baru, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 174 kes.

Hanya satu kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan bantuan pernafasan. Tiada kematian baru dilaporkan (kekal 125 kes).

Kluster baru

Menurut Noor Hisham, kes pertama Kluster Kurau merupakan kes positif Covid-19 yang telah dilaporkan pada 7 Ogos.

Kes kedua kluster ini merupakan abang ipar kepada kes pertama yang telah dikesan hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat.

Sejumlah 115 individu kontak rapat telah disaring dan mendapati 106 negatif, sementara sembilan masih menunggu keputusan.

Punca Kluster Meranti pula kini masih dalam siasatan.

Kluster ini mula dikesan apabila kes ke-9083, iaitu seorang petugas kesihatan dikesan positif pada 8 Ogos.

Individu itu merupakan kontak kepada kes ke-8968, iaitu kes yang telah dikesan hasil daripada saringan pra pembedahan (kes ini telah dilaporkan pada 31 Julai).

Setelah disiasat, kes ke-8968 didapati pernah mempunyai sejarah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sama.

Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif sedang dijalankan dan setakat ini 15 individu telah disaring.


 



Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.