Malaysiakini
BERITA

'Sesiapa bebas tubuh parti Melayu, tapi tiba masanya bergerak ke depan'

Diterbitkan

Mana-mana pihak bebas menubuhkan parti berasaskan Melayu namun sudah tiba masanya untuk masyarakat bergerak ke depan dan melangkaui penyelesaian berasaskan kaum, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Dia berkata demikian setelah diminta mengulas langkah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan sebuah lagi parti Melayu.

“Ini adalah negara demokratik, jadi rakyat harus bebas untuk tubuh sebarang parti tidak dihalang oleh peraturan dan perundangan. Bagaimanapun, saya mewakili PKR, sebuah parti yang menyuarakan soal reformasi dan keadilan melangkaui kaum...apa yang saya anggap lapuk (adalah) terdapat banyak penyelesaian lain selain yang berasaskan kaum.

“Saya fikir selepas 60 tahun merdeka, untuk menjadi masyarakat yang matang, untuk memastikan orang Melayu rasa selamat setelah diberi peluang, kehormatan dan maruah...semua warga termasuk Cina, India, Dayak dan Kadazan harus merasakan ini adalah negara mereka dan diberi hak, tanggungjawab dan kelebihan,” katanya ketika sesi soal jawab dalam program Malaysian Student Leaders’ Summit (MSLS).

Anwar turut memberikan ucaptama dalam program atas talian anjuran Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom dan Eire (UKEC) itu, yang membawa tema "bersatu teguh, bercerai roboh".

Presiden PKR itu turut memberitahu bahawa Mahathir belum menyampaikan jemputan kepadanya untuk menyertai parti yang akan ditubuhkan itu.

“Dia (Mahathir) pandai dan cukup berpengalaman untuk memahami pandangan saya berkenaan salah guna kuasa, pentadbiran dan perkauman...Saya kekal komited dengan agenda pelbagai kaum dalam parti ini (PKR),” katanya.

Hubungan antara Anwar dan Mahathir menjadi keruh selepas runtuhnya pentadbiran PH apabila kedua-duanya tidak mencapai persetujuan dalam soal calon perdana menteri jika gabungan itu berjaya merampas kembali kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN).

Jumaat lalu, Mahathir mengumumkan akan menubuhkan sebuah parti baru yang menurutnya tidak akan terikat dengan PH mahupun PN.

Sebaliknya, dia berkata parti itu akan menjadi penentu terhadap blok mana yang akan menang dalam pilihan raya akan datang.

Selain parti baru Mahathir itu, parti lain yang berasaskan Melayu adalah PAS, Umno, Bersatu dan Amanah.

Tangani kemiskinan sekarang

Seperti Mahathir, Anwar pernah menjadi sebahagian daripada Umno sebelum dipenjara pada tahun 1999.

Terkeluar daripada Umno dan memimpin sebuah parti pembangkang, Anwar membawa pendekatan berasaskan keperluan dengan menyifatkan pendekatan berasaskan kaum sudah lapuk, dan golongan Melayu-Bumiputera berpendapatan rendah juga akan mendapat manfaat daripadanya.

Dia mengulangi pendirian itu hari ini, dengan menjelaskan meskipun negara menunjukkan pertumbuhan ekonomi, ia tidak menangani jurang antara kumpulan pendapatan yang berbeza, dan ia "diburukkan dengan defisit pendidikan, kesihatan dan kekayaan".

Dalam ucapannya, Anwar merujuk satu kajian pada 2017 yang menyatakan sejumlah 20.7 peratus kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah pertumbuhan ekoran kekurangan zat makanan. Ini, katanya, adalah tanda ketidaksamaan sosioekonomi.

Dia kemudian mengkritik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed yang berkata bahawa Malaysia akan membasmi kemiskinan pada tahun 2030, dengan mempersoalkan tempoh masa yang ditetapkan itu,

“Saya rasa marah, bagaimana jika ini memberi kesan kepada anak anda?

“Mengapa tidak anda(kerajaan) berkata akan mengambil apa saja tindakan yang wajar dan tidak menunggu sehingga 2030?...Ini adalah kegagalan kerajaan bila kita hanya mampu menyebut statistik dan angka.

"Mari tangani isu ini sebagai rakyat Malaysia. Jangan lupa, Melayu dan Bumiputera juga jatuh bawah kategori ini.

Bersedia untuk pilihan raya

Sementara itu, mengulas berkenaan pertukaran kerajaan, anggota Parlimen Port Dickson itu sekali lagi berkata, meskipun hubungannya dengan Mahathir nampak tegang, tiada apa-apa isu peribadi antara mereka.

Katanya lagi, PH telah memberikan Mahathir peluang untuk memerintah tetapi kini sudah tiba masanya untuk "beralih melangkaui aturan lama (old arrangement)".

Ditanya sama ada dia menyokong pilihan raya mengejut diadakan atau tidak, Anwar berkata jentera PH sudah bersiap sedia.

Pada masa sama, dia mempersoalkan keperluan ia diadakan dengan menegaskan bahawa PH telah mendapat mandat rakyat yang sah pada PRU ke-14.

“Kita sudah terima mandat (tetapi) kalau perdana menteri mahu pilihan raya diadakan, sudah tentu kami bersedia.

“Tetapi mengapa perlu di saat...dan dengan keadaan kita berdepan wabak. (Ketika) kempen, perlu pakai pelitup muka, penjarakan sosial dan tentunya dana yang besar diperlukan (untuk melaksanakan pilihan raya)," katanya lagi.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.