Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Kepong tawar bantu jelaskan denda remaja turunkan pelitup muka
Diterbitkan:  Aug 9, 2020 7:21 PM
Dikemaskini: 11:23 AM

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menawarkan diri untuk menolong remaja yang didenda RM1,000 kerana dikatakan menurunkan pelitup mukanya ketika menunggu di platform kereta api.

Dalam catatan di Facebook, Lim meminta remaja berkenaan untuk menghubunginya untuk dibantu menjelaskan denda berkenaan.

"Pihak DAP Kepong bersimpati dengan pelajar yang dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka di stesen komuter.

"Kepada pelajar tersebut, sila hubungi saya bagi membantu menjelaskan denda RM1000 tersebut.

"Saya juga berharap agar orang ramai khususnya remaja dapat sama-sama mematuhi SOP (prosedur operasi standard) bagi mencegah penularan Covid-19," katanya.

 

Awal hari ini, pengguna media sosial menyatakan sokongan pada remaja itu, dengan mempersoalkan penguatkuasaan peraturan peilitup muka yang didakwa tidak sama rata kepada semua orang.

Ia susulan terdapat beberapa ahli politik yang dilihat pada gambar berada di tempat awam tanpa memakai pelitup muka dan tidak dikompaun.

Terdapat kekeliruan mengenai istilah "tempat awam yang sesak" sejak keputusan mewajibkan pemakaian pelitup muka berkuat kuasa pada 1 Ogos.

Pada 5 Ogos, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan senarai temat sesak dan majlis di mana orang ramai harus memakai pelitup muka.

Ketika peringkat awal perintah kawalan pergerakan yang bermula pada bulan Mac, timbul juga dakwaan bahawa pihak berkuasa lambat bertindak terhadap ahli politik dan VIP yang dilihat melanggar SOP.

Meskipun beberapa ahli politik itu kemudiannya didenda, pengguna media sosial mempersoalkan kelewatan tindakan diambil ketika orang awam lain didenda serta-merta.

Lihat Komen
ADS