Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akta anti lompat parti boleh digubal jika PN ada keazaman politik

PARLIMEN l Akta anti lompat parti boleh digubal jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai keazaman politik untuk melaksanakannya.

Ahli Parlimen Pair Gudang Hassan Abdul Karim, berkata berdasarkan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan membenarkan sekatan ke atas gejala lompat parti.

"Ini boleh ditafsirkan bahawa Perkara 10(1)(C) bukanlah muktamad. Perlembagaan Persekutuan membenarkan Parlimen Malaysia membenarkan gejala lompat parti di kalangan ahli-ahli Parlimen atau Adun-Adun semacam aksi katak di bawah Fasal (2)(C) untuk digubal satu akta anti lompat parti demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya ketenteraman awam atau prinsip moral.

"Jika isu keperlembagaan ditimbulkan sebagai alasan untuk menghalang penggubalan akta anti lompat parti, maka dinasihati supaya Perkara 10(1)(C) hendaklah dibaca sama dengan Fasal 2 (C).

"Adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin mempunyai keazaman politik untuk menggubal akta lompat parti," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Semalam, menteri undang-undang Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang harus melucutkan empat Adun mengikut undang-undang antilompat parti negeri itu, jika pembangkang benar-benar mahukan undang-undang berkenaan dilaksanakan di peringkat persekutuan.

"Saya mencadangkan agar Pulau Pinang memecat para Adun tersebut dan membawa perkara ini ke mahkamah dan melihat apakah mahkamah akan menyokong keputusan mahkamah dalam kes 1992 Dewan Undangan Negeri Kelantan lawan Nordin Salleh," kata Takiyuddin ketika sesi penggulungan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Untuk rekod, dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan lawan Nordin Salleh, mahkamah memutuskan bahawa pindaan terhadap perlembagaan Kelantan, yang melarang melompat parti tidak sesuai dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan kebebasan berpersatuan.

Takiyuddin pada mulanya menyorot tiga Adun Pulau Pinang yang berpaling tadah dari parti mereka baru-baru ini, iaitu wakil Bertam Khalid Mehtab Mohd Ishaq, wakil Teluk Bahang Zolkifli Md Lazim dan wakil Seberang Jaya Afif Bahardin.

Oleh itu, katanya, kerajaan Pulau Pinang harus memaksa ketiga-tiganya mengosongkan kerusi mereka berdasarkan Enakmen Perlembagaan Pulau Pinang (Pindaan) 2012, yang merujuk kepada undang-undang antilompat parti negeri.

Undang-undang tersebut menyatakan bahawa wakil rakyat harus mengosongkan kerusi mereka jika mereka bertukar parti atau menjadi Adun bebas ketika penggal perkhidmatan mereka.

Dalam pada itu, mengulas keputusan mahkamah pada tahun 2012 yang dibangkitkan Takiyuddin di Parlimen semalam, Hassan berkata pada waktu itu belum ada akta anti lompat parti.

Katanya sebuah kerajaan Persekutuan yang diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tumbang angkara lompat parti tentu saja menjejaskan kepentingan keselamatan negara.

"Isu prinsip moral dalam demokrasi berparlimen juga timbul apabila ahli-ahli Parlimen yang melompat itu mengkhianati para pengundi yang memilih mereka di dalam pilihan raya.

"Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sempat berkuasa selama 22 bulan telah gagal menggubal akta anti lompat parti.

"Kesan daripada kegagalan itu kerajaan PH telah menjadi mangsa apabila ditumbangkan oleh perbuatan melompat parti di kalangan ahli Parlimen PH yang hilang prinsip moral kerana mengkhianat mandat rakyat," katanya lagi.

Kata Hassan, akta anti lompat parti tidak memerlukan sokongan dua pertiga sokongan di Dewan Rakyat serta tidak perlu meminda perlembagaan.

Lihat Komen
ADS