Malaysiakini
BERITA

Langgar arahan Temco dosa besar, kata mufti

Bernama

Diterbitkan

Tindakan melanggar peraturan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 adalah dosa besar dari segi agama, kata Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata tindakan itu bukan hanya salah di sisi undang-undang malah merupakan dosa besar kerana membahayakan nyawa orang lain dan melanggar ajaran Nabi Muhammad SAW dalam menangani sesuatu wabak.

"Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdurrahman Auf bahawa Nabi Muhammad SAW pernah memberi arahan jika kita mendengar (wabak penyakit) taun di satu tempat jangan masuk dan orang yang berada di dalam jangan keluar," katanya kepada pemberita di Kangar hari ini.

Beliau berkata itulah yang sedang dilakukan oleh kerajaan bagi menunaikan tanggungjawab dalam memastikan keselamatan rakyat.

"Rakyat hendaklah patuh kepada arahan Temco dan golongan ahli agama yang berada di dalam kawasan terbabit iaitu ulama, ustaz dan imam perlu ingatkan orang ramai agar jangan keluar dari kawasan wabak dan patuhi arahan kerajaan sehingga tempoh Temco tamat," katanya.

Mohd Asri berkata dalam kes penularan Covid-19, individu yang bersikap degil melanggar Temco berdosa kepada semua orang yang terkena jangkitan dengan wabak yang disebarkan itu.

"Ini perkara serius dan perlu dipatuhi oleh semua orang kerana peranan agama juga adalah menjaga nyawa," katanya.

Pada Isnin lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan Temco di dua kampung dalam daerah Sanglang iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul yang dikuatkuasakan dari 10 hingga 31 Ogos.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.