Malaysiakini
BERITA

Penyelesaian Goldman Sachs - Ganti rugi yang merugikan

A Kadir Jasin

Diterbitkan

ULASAN l Ganti rugi AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) oleh bank pelaburan antarabangsa, Goldman Sachs berkaitan penyelewengan 1MDB yang diuar-uarkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai kejayaan adalah sebenarnya keputusan yang merugikan negara.

Ia adalah akibat sikap terlalu tergesa-gesa kerajaan PN, khususnya Perdana Menteri, Muyhiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Mereka sepatutnya meneruskan tindakan undang-undang ke atas Goldman Sachs yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) beberapa bulan selepas menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei 2018.

Skandal 1MDB adalah kempen utama PH bagi menjatuhkan pemerintahan kleptokrasi BN pimpinan Najib Razak. Kleptokrasi ertinya kerajaan yang mencuri duit rakyat jelata.

Jadi yang lebih tahu mengenai tuntutan ke atas Goldman Sachs ini adalah kerajaan PH bukan kerajaan tebuk atap PN yang baru berusia enam bulan. Label tebuk atap adalah ciptaan Presiden PAS merangkap duta khas bertaraf menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang.

Sesiapa saja yang menghalusi dan memahami tuntutan dan tindakan undang-undang ke atas Goldman Sachs itu tentu mengakui bahawa penyelesaian AS$3.9 bilion itu lebih berupa “ego trip” kerajaan PN daripada penyelesaian sebenar.

Malah pihak-pihak yang terlibat dalam rundingan belakang tabir dengan Goldman Sachs dan pihak Arab di negara-negara teluk menyifatkan penyelesaian itu sebagai tergesa-gesa.

Akibatnya, kata salah seorang daripada mereka, kerajaan sanggup kehilangan AS$5 bilion semata-mata kerana mahukan penyelesaian segera.

Bagi Goldman Sachs, penyelesaian ini adalah ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Yang ditakuti oleh Goldman Sachs bukanlah ganti rugi tetapi tindakan mahkamah oleh kerajaan Malaysia dan penyiasatan oleh Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ).

Dengan penyelesaian itu, terlepaslah mereka daripada dua tindakan mahkamah oleh kerajaan PH. Yang pertama pada bulan Disember 2018 terhadap eksekutif dan bekas eksekutif serta agen Goldman Sachs, iaitu Tim Liessner, Roger Ng, Jasmine Loo dan Jho Low.

Mereka dituduh menipu kerajaan Malaysia dalam pengeluran tiga bon 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion yang dijamin oleh kerajaan Malaysia.

Kedua, pada bulan Ogos 2019 terhadap 17 ahli dan bekas ahli lembaga pengarah tiga buah anak syarikat Goldman Sachs, termasuk warganegara Amerika.

Pendakwaan inilah yang sangat mereka takuti kerana silap-silap mereka akan dijatuhkan hukuman penjara dan denda. Walaupun hukuman itu mungkin susah hendak dikuatkuasakan, namun mereka boleh diisytiharkan sebagai “fugitive” (pelarian jenayah).

Ini akan memalukan mereka, menyekat pergerakan mereka dan menjatuhkan imej syarikat mereka. Mereka tentulah tidak mahu menjadi “fugitive” macam Jho Low dan konco-konconya.

Mereka juga takut diharamkan daripada bergiat dalam industri kewangan seperti yang telah berlaku kepada rakan mereka, Leissner.

Jadi sebab itulah sebaik saja kerajaan PH dijatuhkan, mereka cepat-cepat bersetuju dengan kerajaan PN untuk membayar ganti rugi AS$3.9 bilion tersebut. Bagi mereka, duit boleh dicari asalkan imej mereka tidak tercemar.

Tetapi Muhyiddin dan Tengku Zafrul mungkin tidak nampak atau tidak peduli permainan licik Goldman Sachs ini kerana matlamat mereka adalah untuk menunjukkan kepada rakyat jelata bahawa mereka telah berjaya menyelesaikan satu masalah besar.

Bagi Goldman Sachs, apalah sangat ganti rugi sekali lalu sebanyak AS$3.9 bilion apabila keuntungannya bagi tahun 2019 saja adalah AS$8.47 bilion. Yang lebih penting adalah nama baik dan terlepas daripada beban tindakan undang-undang. Tidak hairanlah mereka berpesta selepas penyelesaian itu.

Wakil khas yang dilantik oleh kerajaan PH bagi membantu proses itu berkata, Goldman Sachs amat kedekut tetapi apabila dituduh di mahkamah kita, mereka mula berlembut.

Mereka tidak berani datang ke Malaysia untuk berunding kononnnya takut ditangkap. Tahu pula mereka takut.

Mereka bukan saja takut kepada mahkamah dan undang-undang kita, tetapi mereka lebih takut kepada tindakan kerajaan mereka sendiri. Mereka amat takut dikenakan tindakan oleh DoJ.

Wakil khas itu berkata, kalau mereka mempunyai kes yang kuat dan tidak melakukan apa-apa kesalahan, mengapakah mereka hendak berunding dengan kita?

Dia amat yakin daripada beberapa siri rundingan yang dihadirinya di Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan Goldman Sachs dan pihak Arab bahawa Malaysia boleh mendapat ganti rugi yang lebih besar jika kerajaan PN bersabar dan meneruskan tindakan yang diasaskan oleh kerajaan PH.

Usaha mendapatkan balik duit 1MDB ini bermula sebaik saja Kkerajaan PH mengambil alih. Ia melibatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi, Daim Zainuddin, Peguam Negara, Tommy Thomas serta wakil-wakil SPRM, PDRM, GIACC dan beberapa agensi lain.

Kerajaan PH menuntut ganti rugi AS$9.6 bilion kerana itulah anggaran kerugian yang telah dan akan ditanggung oleh kerajaan dan rakyat jelata akibat penjualan tiga bon 1MDB oleh Goldman Sachs itu.

Kerajaan PH tidak bersedia menerima sebarang penyelesaian kurang daripada AS$4.8 bilion dan yakin matlamat ini boleh dicapai. Tetapi kerajaan PN “bergumbira” dengan hanya AS$3.9 bilion.

Kerajaan PH juga menuntut ganti rugi atau penyelesaian melibatkan AS$4.3 bilion daripada pihak-pihak Arab yang terlibat dengan “pelaburan atas angin” 1MDB.

Jumlah AS$3.9 bilion yang diterima dengan gembira oleh kerajaan PN itu tidak pun cukup untuk menampung separuh beban hutang yang Najib dan Jho Low lambakkan ke atas kita semua.

Ganti rugi AS$9.6 bilion yang Kerajaan PH tuntut itu terdiri daripada ASS$493.18 juta komisen yang dibayar kepada Goldman Sachs, AS$2.07 bilion faedah pinjaman dan AS$7.7 bilion bayaran pokok.

Jumlah yang dituntut itu adalah akibat daripada pinjaman AS$6.5 bilion yang diatur oleh Goldman Sachs. Ia tidak termasuk aset dan wang tunai milik 1MDB yang diperoleh semula daripada pihak-pihak yang mencurinya.

Tetapi Zafrul nampaknya memasukkan hasil “asset recovery” ke dalam kiraan bagi memberi gambaran bahawa Kerajaan PN telah berjaya mendapat ganti rugi yang besar.

Natijahnya kalau Muhyiddin yang pernah menjadi anggota kanan kerajaan PH meneruskan kaedah “recovery” yang diasaskan oleh PH, jumlah ganti rugi yang mungkin diperoleh adalah jauh lebih besar.

Tetapi nampaknya dia lebih percaya kepada nasihat Tengku Zafrul daripada hati kecilnya sendiri atau dia cuba meyakinkan rakyat jelata yang dia lebih hebat daripada Dr Mahathir dan kerajaan PN lebih berjaya daripada PH.

Realitinya sama ada AS$3.9 bilion yang dipersetujui oleh kerajaan PN atau AS$9.6 bilion yang dituntut oleh kerajaan PH, semua ini tidak akan berlaku sekiranya kerajaan kleptrokasi BN tidak ditumbangkan oleh kerajaan PH dengan sokongan rakyat pada 9 Mei 2018.


A KADIR JASIN merupakan tokoh wartawan dan pernah menjadi penasihat media Dr Mahathir Mohamad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Iklan